Wednesday, November 26, 2008

Fatwa yoga: Bersoraklah syaitan-syaitan di Malaysia

BASHIR AHMAD26 November 2008
FATWA mengharamkan yoga bagi umat Islam yang diumumkan oleh media pada Sabtu lalu telah menjadi isu besar. Akhbar membincangkannya melalui kenyataan dan komen-komen yang disiarkan, bukan sahaja dari mulut orang Islam tapi juga bukan Islam.Pada hari ini penulis meneliti kandungan Utusan Malaysia yang boleh dianggap sebagai suara Melayu dan masyarakat Islam. Tiada lagi berita atau rencana mengenai isu fatwa yoga. Tentu ada sebabnya Utusan Malaysia menghentikan polemik mengenai fatwa yoga. Sebaliknya isu tersebut masih mendapat perhatian besar akhbar The Star dan theSun, yang selalu ke depan dalam mengemukakan tuntutan dan pandangan bukan Islam.The Star yang semalam menyiarkan berita utama di muka depan berjudul Yoga Fatwa on hold (Fatwa yoga ditangguh), hari ini sekali lagi menjadikan isu tersebut berita utama muka depan dengan tajuk Rulers decide. Mesej tersurat yang The Star cuba sampaikan ialah fatwa tersebut belum muktamat dan setiap negeri hanya boleh mengharamkan yoga setelah diperkenan oleh Sultan atau Raja. Yang tersirat, Islam telah diperlekeh.theSun yang turut menjadikan isu tersebut bahan laporan utama di muka depan semalam dengan tajuk Yoga fatwa on hold, bagaimanapun mengendurkan sedikit perhatiannya pada hari ini dengan menyiarkan kenyataan MB Perak sebagai berita utama di muka 6 dengan tajuk Fatwa not a problem if royal consent given: MB.Sekadar maklumat latar, dua akhbar ini turut ke depan dalam menyiarkan pandangan pihak gereja di Malaysia yang menuntut hak menggunakan perkataan Allah dalam kitab-kitab agama Kristian.Peranan akhbar Inggeris dalam mengupas dan menjuarai isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam adalah satu fenomena baru. Ketara hanya pada zaman pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat telah memberikan ruang kepada perbincangan mengenai agama. Isu Inter Faith Council juga muncul pada zaman Abdullah dan mendapat tentangan hebat umat Islam.Melalui pengalaman, semua pengarang akhbar tahu bahawa isu agama amat sensitif dan perlu ditangani dengan penuh kewaspadaan kerana ia boleh membangkitkan kemarahan yang mudah menggoncang keamanan. Namun pada kebelakangan ini, kewaspadaan terhadap isu agama kelihatan tidak dipedulikan lagi. Kenapa The Star dan theSun cuba menjuarai perbincangan isu yoga? Ingin ditanya apakah motif pengarang-pengarang bukan Islam berkenaan? Jika perbincangan mengenai fatwa yoga dijuarai oleh akhbar berbahasa Melayu, ia adalah berbeza kerana khalayaknya boleh dikatakan orang Melayu yang beragama Islam walaupun sebilangan kecil pembaca adalah bukan Melayu. Apabila akhbar yang pengarang dan sebahagian besar pembaca dan kakitangan jabatan pengarangnya adalah bukan Islam, maka ia adalah satu perkara yang berbeza.Amat jelas suara yang mahu disampaikan oleh The Star dan theSun ialah fatwa mengenai yoga itu tidak munasabah dan wajar ditentang. Apa hak The Star dan theSun mahu menentang fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, iaitu pihak yang diberi kuasa oleh negara untuk mengeluarkan fatwa mengenai apa jua perkara yang berkaitan dengan umat Islam?The Star yang lebih ke depan daripada akhbar lain lebih banyak mengetengahkan pandangan yang mempertikai Majlis Fatwa Kebangsaan dan fatwa yoga yang dikeluarkannya. Akhbar ini antara lain memetik pandangan Sultan Selangor, Raja Muda Perak, Mufti Perlis dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.Natijah persoalan yang cuba dibangkitkan ialah kenapa yoga diharamkan sedangkan bab senaman tanpa membabitkan mantra dan meditasi (beratib) tidak menyalahi ajaran Islam? Majlis Fatwa Kebangsaan sudah pun menjelaskan bahawa pengharaman itu bertujuan supaya umat Islam tidak terjerumus ke tahap yang boleh menjejaskan akidah dengan mengamalkan yoga yang secara sistematik boleh menyebabkan pengamal secara tidak sedar beralih daripada senaman biasa ke tahap lebih tinggi yang mengandungi unsur ajaran Hindu.Umat Islam sepatutnya menerima secara terbuka dan ikhlas fatwa ini sebagai satu panduan demi kebaikan mereka, jika mereka mahu memelihara iman mereka. Banyak lagi senaman lain yang tidak melibatkan unsur agama boleh diamalkan. Kenapa yoga dijadikan isu? Barangkali ada unsur komersial kerana penentangan ini berpunca daripada kalangan yang menjadikan yoga sebagai sumber pendapatan. Atau ada udang yang lebih besar di sebalik batu, iaitu mahu memperlekeh Islam dan institusi-institusi Islam di Malaysia. Di manakah keutuhan agama Islam jika sebahagian umat Islam sendiri mempertikai perkara-perkara yang dilaksanakan hanya dengan tujuan demi memilihara kesucian Islam. Sungguh malang orang-orang seperti Mufti Perlis dan Nik Aziz turut diseret oleh The Star untuk mempertikai fatwa ini yang telah dibuat selepas kajian dan perbincangan yang halus dan panjang lebar? Jangan lupa pengumuman fatwa ini pernah ditangguhkan. Pasti ada sebab dan kewajarannya.Penulis percaya Mufti Perlis dan Nik Aziz amat memahami tentang sejarah bagaimana arak diharamkan bagi umat Islam. Sebelum larangan diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w, arak bebas diminum oleh umat Islam. Larangan diturunkan apabila seorang sahabat Rasulullah mengimamkan sembahyang dalam keadaan mabuk, menyebabkan tunggang-langgang solat jemaah yang dipimpinnya.Larangan yang diperintahkan bukan setakat tidak minum, tapi hendaklah menjauhi arak. Tidak pula larangan itu sekadar ``minum arak boleh, tapi haram sampai mabuk.''Dalam semangat yang samalah, penulis yakin Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengharamkan yoga. Walaupun ada bab yang tidak menyalahi agama, tapi ditakuti ada pengamal yang secara tidak disedari terlajak ke peringkat yang boleh merosakkan akidah. Tujuan fatwa itu ialah supaya umat Islam menjauhi sebarang bentuk senaman yang pada akhirnya boleh menjejaskan atau merosakkan akidah mereka, sama seperti menjauhi arak yang mengotorkan hati dan merosakkan fikiran.Dan penulis juga percaya bahawa bersoraklah syaitan-syaitan di Malaysia apabila fatwa mengenai yoga ini dipertikai termasuk oleh kalangan yang beragama Islam.Bertambah gempitalah sorakan syaitan-syaitan itu kerana kehidupan umat Islam di Malaysia boleh dicorakkan oleh bukan Islam, termasuk The Star dan theSun. Di manakah maruah umat Islam, termasuk Sultan dan Raja yang menjadi ketua agama negeri, apabila mereka dengan begitu mudah diperalatkan oleh puak yang mahu memperlekeh Islam sehingga akhirnya agama ini diragui oleh umatnya sendiri.Jika Sultan dan Raja mempunyai pandangan yang berbeza dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, bincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Jangan bincang dalam media terutama akhbar yang sahih tidak berjiwa Islam. Segala keputusan hendaklah disampaikan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak-pihak berkuasa agama dengan cara bijaksana.Semua orang tahu, termasuk bukan Islam, bahawa arak dan babi adalah haram bagi umat Islam. Tapi di Malaysia tiada pun sekatan kepada bukan Islam daripada minum arak atau memakan babi. Malah penternakan babi dibenarkan dan iklan-iklan arak disiarkan begitu kerap dan ketara oleh akhbar bukan Islam, terutama The Star dan theSun.Jika umat Islam membiarkan bukan Islam mencorakkan apa yang halal dan haram bagi mereka, di manakah letaknya martabat Islam sebagai agama rasmi dan agama majoriti penduduk Malaysia. Kelihatan proses itu sudah bermula. Satu benteng kekuatan iman telah roboh, dirobohkan oleh kelemahan umat Islam itu sendiri. - malaysiaaktif.com

No comments: