Sunday, November 2, 2008

Berita perkahwinan lebih menyenangkan

CUBIT-CUBIT2 November 2008
KETIKA pergolakan politik yang tidak menyenangkan masih menjadi sajian akhbar saban hari, berita perkahwinan anak lelaki ADUN Pas Sungai Abong, Johor Dr. Sheikh Ibrahim Salleh dengan anak perempuan ADUN BN Bukit Bunga, Kelantan Mohd Adhan Kechik amat menyenangkan.
DR. SHEIKH Ibrahim Salleh (kiri) dan isteri, Dr. Salmah Bahari (kanan) serta Mohd. Adhan Kechik (dua dari kiri) bergambar bersama pasangan pengantin iaitu Salleh dan Ernie Muneerah pada majlis perkahwinan anak mereka di Muar, semalam.
Harapan Si Keldai, semoga ia membuka pintu cahaya di zaman kemuraman yang menyelubungi umat Islam akibat suasana politik sekarang.Kata orang, perkahwinan bukan sekadar ikatan antara dua sejoli, tetapi juga menaut silaturrahim dua keluarga.Pada 30 Oktober lalu di Pakistan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dikahwinkan dengan seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia empat. Polis menyerbu majlis perkahwinan itu kerana undang-undang di Pakistan melarang perkahwinan remaja berusia di bawah 18 tahun.Adalah jelas kenapa berita perkahwinan itu mendapat liputan hangat seluruh dunia. Namun kata bapa kanak-kanak lelaki itu, mereka dikahwinkan bagi menyelesaikan pertikaian antara dua keluarga.Tidaklah Si Keldai berharap sangat perkahwinan anak ADUN Pas dan UMNO akan menyelesaikan pertikaian antara dua parti Melayu ini, tapi ia sekurang-kurangnya membayangkan betapa dalam beberapa hal kedua-dua pihak juga boleh mengetepikan perbezaan politik.Alangkah baiknya jika kedua-dua ADUN itu mengundang pucuk pimpinan parti masing-masing ke majlis yang mulia ini.Namun begitu, ingin juga dicatatkan bahawa Mingguan Malaysia 2 November 2008 yang menyiarkan gambar dua wakil rakyat itu berdiri sebelah menyebelah bersama pasangan pengantin, turut menyiarkan berita Presiden Pas, Hadi Awang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri Selangor melantik Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Pebadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). SI KELDAI

No comments: