Thursday, November 13, 2008

Pas Selangor tak habis-habis majlis sambutan

NASIR SUKIMAN13 November 2008
SEMPENA Aidilfitri memanglah wajar Pas di bawah gabungan Pakatan Rakyat menganjurkan jamuan.
Dulu UMNO pun tidak pernah melepaskan peluang mendekatkkan diri dengan masyarakat. Tetapi hari ini, Pas melangkah setapak lagi dengan menganjurkan pula majlis korban perdana sempena Aidiladha.
Kedua-duanya adalah acara berkaitan agama dicampur dengan kempen senyap-senyap Pas untuk menguasai masjid dan surau seperti didakwa Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhd Muhammad Taib.
Tetapi pokoknya benarkah dakwaan Muhd Taib itu? Mungkin di beberapa kawasan di Selangor ada pertukaran di kalangan AJK surau dan masjid, tetapi jangan lupa di bawah kerajaan UMNO ada masjid tidak menganjurkan mesyuarat agung sehingga 10 tahun.
Ini menyebabkan wujudnya AJK yang jumud dan pelbagai projek bermanfaat tergendala sehingga ada juga rancangan terbantut dan pentadbiran tidak licin.
Bagaimanapun pada mata kasar, dua perubahan jelas sejak Pas berkuasa. Pertama pensyarah dan khatib solat Jumaat yang pernah ‘digam’ dulu kini boleh berkhutbah serancak dulu.
Tema yang mereka bawa pun amat relevan dan tidak ada kena mengena dengan politik semasa. Malah kehadiran semula khatib dan imam berwibawa ini amat dinantikan.
Di sesetengah tempat pula, bekas imam yang diyakini sebagai pro kerajaan pun diberikan peluang berkhidmat semula, sekali gus menolak dakwaan imam UMNO diketepikan.
Sepatutnya menteri menegur ahli-ahli UMNO yang jarang ke surau dan masjid supaya mengubah sikap mereka dan sedia berjemaah.
Dalam soal ibadat tidak timbul ‘orang Pas' atau ‘orang UMNO' tetapi selama ini memang ramai orang politik yang tidak tahu melangkah ke surau dan masjid, seolah-olah mereka asyik mencari duit dan bermesyuarat.
Pas dan Pakatan Rakyat pun usahlah sejak Mac hingga kini sibuk dengan acara sambutan saja. Di manakah projek membantu peniaga kecil Melayu seperti di Ampang Jaya.
Ramai yang berselerak berniaga di gerai kecil, kedai sederet tidak bermaya. Bilakah mereka ini boleh dibela? - malaysiaaktif.com

No comments: