Thursday, January 29, 2009

Selepas KT, Pas yakin tawan Terengganu

NASIR SUKIMAN28 Januari 2009
BELUM pun dua minggu mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu, Pas sudahpun memasang cita-cita lebih besar – merampas Terengganu daripada tangan Barisan Nasional atau lebih tepat lagi UMNO.
Ini dijadikan matlamat bagi pilihan raya umum akan datang dijangka pada 2013 kelak. Impian menawan negeri pengeluar utama minyak itu disuarakan Timbalan Presiden pada ucapan di majlis-majlis meraikan kemenangan parti itu pada pilihan raya kecil 17 Januari lalu.
Kejayaan Mohd Abdul Wahid Endut mengalahkan calon UMNO, Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoriti lebih 2,600 itu sekaligus membakar semangat Pas untuk merangka rancangan jangka panjangnya.
Puncanya: Ia yakin pengundi dan rakyat di negeri-negeri Pantai Timur atau lebih khusus lagi di Terengganu masih tetap mahu menyokong dasar Pas dianggap lebih Islamik atau condong kepada agama.
Daripada segi personaliti calon saja Pas sudah dapat mencongak, pengundi lebih mengutamakan pegangan Islam daripada aspek-aspek lain.
Bagi Pas Wahid Endut, Adun Wakaf Mempelam melambang seorang ustaz kampung yang lebih berwibawa berbanding ahli korporat dan birokrat seperti Wan Farid diketengahkan UMNO.
Masalah dalaman UMNO terutama membabitkan kes-kes rasuah politik menjelang mesyuarat cawangan dan bahagian tahun lalu, memburukkan lagi keadaan bagi parti pemerintah itu.
Pas dan sekutunya, DAP serta Parti Keadilan Rakyat menggunakan isu rasuah dan anggapan Wan Farid berasal daripada latar belakang keluarga senang-lenang berbanding majoriti rakyat yang berada dalam kemiskinan, bagi meraih simpati dan undi ketika kempen tempoh hari.
Perebutan kuasa sebelum mesyuarat bahagian UMNO hingga menyebabkan Allahyarham Datuk Razali Ismail, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, tersingkir akibat permainan politik puak Wan Farid pula dikatakan membuat ramai guru sama ada tidak keluar mengundi atau memberi sokongan kepada parti lawan.
Jelas bahawa andaian UMNO pengundi Melayu menolak kerjasama di antara Pas dengan DAP yang anti-Islam dan anti-ketuanan Melayu tidak membantu calonnya .
Mengapakah Pas masih tetap mahu menjalin kerjasama erat dengan parti yang menentang pelaksanaan hudud? Jawapan diberikan adalah hanya dengan cara ini sajalah Pas terjamin mendapat kuasa baik di peringkat negeri mahupun apa dicita-citakannya iaitu di peringkat pusat.
Pas pernah menguasai kerajaan Terengganu iaitu di antara 1999 hingga 2004, tetapi akibat kegagalannya mentadbir dengan cekap dan pelbagai masalah lain, ia ditolak rakyat pada pilihan raya 2004 dan sekali lagi pada Mac 2008. - malaysiaaktif.com

Tuesday, January 27, 2009

Fahamkah Najib, Muhyiddin tentang nilai dan imej?

KOPITIAM TALK23 Januari 2009
NAIB Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata UMNO tidak lagi mempunyai tarikan kepada rakyat dan perlu mengambil langkah radikal untuk memperbaiki persepsi rakyat terhadapnnya.
Saya tidak tahu adakah Muhyiddin memahami apa yang diperkatakannya dan demikian juga pemimpin-pemimpin UMNO dari atas sampai ke bawah atau mereka sekadar menjadi burung tiong.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga memberikan pandangan yang sama sambil menekankan UMNO perlu kepada perubahan nilai dan imej.
Menimbangkan kepada pembangunan, kemudahan dan keselesaan hidup tertutama di luar bandar yang dinikmati rakyat malah peningkatan taraf hidup rakyat secara menyeluruh menerusi pelbagai projek yang diberikan oleh kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional, maka apabila rakyat menolak BN hingga hampir jatuh dalam pilihan raya 2008, ternyatalah bahawa nilai rakyat telah berubah apabila berada di zon selesa. Mereka laparkan pengisian jiwa dan idealisme kerana perut sudah kenyang.
Pengisian ini menuntut kepada kepimpinan yang bersih, cekap dan amanah yang pernah menjadi slogan pilihan raya BN, imej yang tidak menonjolkan kekayaan dan kecurangan yang dilambangkan oleh kereta besar dan jam tangan berpuluh ribu ringgit harganya sekalipun hanya ketua bahagian. Bagaimana jadi ketua bahagian atau jadi setiausaha politik pun sudah mampu macam tauke besar? Yang menyebarkan cerita adalah rakan-rakan sekeliling juga dan sampai kepada rakyat bawahan.
Ini adalah pekara pekara kulit yang tidak sukar untuk dinafikan daripada menjadi penilaian rakyat. Sesungguhnya wakil rakyat UMNO yang kerakyatan sifatnya tetap diterima oleh rakyat kecuali yang telah dicantas oleh Khairyi Jamaluddin and the Gang sebelum pillihan raya lalu (bukan sedikit bilangannya).
Menteri Besar Selangor ditolak kerana dia tidak mahu dikenali sebagai Toyo dan kerana itu menukarkan mukanya dan isterinya yang dikurniakan Allah tanpa cacat-cela, sehigga hampir-hampir mereka tidak dikenali ramai. Wang terlalu banyak sehingga nampak wajah sendiri pun buruk (cerita kerana makan tempe bohong besar).
Selain daripada itu, banyak penyamun, pencuri, kaki putar belit, kaki rasuah dan orang-orang yang tidak bnermoral telah disokong oleh kerana Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri untuk mendapat kurniaan datuk dan sebagainya. Ini merosakan imej UMNO dan kerajaan.
Adakah Datuk Najib bakal Perdana Menteri benar-benar memahami pekara-perkara remeh-temeh yang menyinggung perasaan rakyat, yang menjadi bualan pemandu teksi, orang kampung dan kaki borak kedai kopi.
Mungkin apabila Najib dan Muhyiddin berkata UMNO perlu membuat perubahan, mereka tidak tahu apa sebenarnya yang dikehendaki oleh rakyat berbagai lapisan. Kalau faham masakan Najib berbaji kot dan tali leher menemui pemandu teksi dan Muhyiddin memakai topi koboi berjenama menemui para penternak.
Ini adalah jauh bezanya berbanding dengan kerajaan PAP Singapura yang walaupun bersifat bandar dan dikuasai oleh golongan berpelajaran tinggi, tetapi menampilkan imej rakyat bawahan dari sejak ia berkuasa. Uniform anggota Parlimennya ialah baju putih seluar putih tanpa tali leher hingga ke hari ini. Sekalipun ini sandiwara, tetapi berkesan.
Di Malaysia, wakil rakyat bukan sahaja berubah imej di Parlimen, tetapi juga ketika menemui rakyat.
Semua ini menjadi perhatian rakyat. Sebaliknya Menteri Singapura, ada yang tak kenal kasut berjenama walapun bergaji paling tinggi di dunia. Kualiti mereka ialah pemikiran mereka, bukan pakaian berjenama.
Cerita Imelda Marcos mempunyai beribu pasang kasut adalah suatu cerita yang mengejutkan pada suatu ketika dahulu kepada rakyat Malaysia, tetapi sebenarnya Imelda telah berada di kalangan rakyat Malaysia. Sekarang pun sedang heboh tentang isteri menteri mempunyai beribu pasang kasut.
Setiap majlis yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan kerajaan atau UMNO, maka para jawatankuasanya atau pegawai-pegawainya mesti berpakaian seragam batik atau yang melambangkan jabatan atau pertubuhan masing masing. Di Singapura semua ini tidak ada kerana merupakan pembaziran. Kerajaan boleh membantu tukang jahit dengan cara lain.
Imej yang boleh memisahkan pegawai kerajaan, wakil rakyat, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan sebagainya daripada rakyat mestilah dihapuskan. Imej mesra rakayt mesti dibangunkan.
Mungkin ini pekara yang dianggap remeh-temeh tetapi kerana pakaian tok guru pondok Nik Aziz yang tidak bertukar selama memimpin Kelantan dan imej kerakyatannya, maka rakyat membantu mengekalkan Pas terus memerintah Kelantan.
Majlis-majlis perkhawinan anak-anak ketua bahagian UMNO pun macam perkahwian diraja. Memang orang Melayu suka kepada sesuatu yang bersifat feudalisme tetapi apakah nilai ini yang harus kita pupuk dalam pembangunan masyarakat kita?
Untuk UMNO kembali memenangi hati rakyat, maka penjenamaan semula mestilahlah dilakukan dengan rawatan kejutan dari atas hingga ke bawah, dari ketua cawangan, bahagian hingga kepada anggota parlimen dan menteri.
Jika tidak pesepsi yang dikemukakan oleh Muhyiddin Yassin akan berterusan “UMNO tidak berubah, kita dianggap parti sombong, memikirkan kepentingan sendiri serta tidak mendekati rakyat”. Itulah ketakutan Muhyiddin tetapi fahamkah beliau terhadap ketakutannya itu.
Sebenarnya kita telah tersesat dalam kekayaan dan kemakmuran.
MUNSYI ABDULLAH(malaysiaaktif.com)

Friday, January 23, 2009

Muhyiddin: UMNO hilang daya tarikan

UTUSAN MALAYSIA20 Januari 2009
MANAMA (Bahrain) 19 Jan. – UMNO perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu yang sudah hilang daya tarikan serta membolehkannya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut perlu kerana UMNO kini dibelenggu oleh pelbagai persepsi negatif yang dilontarkan terhadap parti itu.
“Kita perlu ada wow factor (daya tarikan) supaya pengundi kembali kepada kita. Kini kita kehilangan faktor itu dan kita perlu mencari jalan untuk mendapatkan ia kembali.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya perlu melakukan perubahan secara radikal terhadap UMNO,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau yang berada di sini dalam lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengulas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.
Pada pertandingan tiga penjuru itu, calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut yang memperolehi 32,883 undi menang dengan majoriti 2,631 undi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.
Muhyiddin juga menegaskan bahawa UMNO sehingga kini masih belum membuat sebarang perubahan walaupun rakyat sudah memberi isyarat jelas supaya parti itu berubah segera.
“Persepsi terhadap UMNO tetap tidak berubah, kita dianggap parti yang sombong, memikirkan kepentingan sendiri serta tidak mendekati rakyat.
“Walaupun saya tidak kata ia betul, tetapi itu adalah persepsi rakyat. Persepsi itu penting kerana ia mempengaruhi rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO perlu ada penjenamaan semula iaitu kembali kepada cita rasa rakyat tanpa mengorbankan prinsip parti.

Wednesday, January 21, 2009

Najib akan gali kuburnya sendiri

SEPERTI kebiasaannya, selepas sahaja kekalahan calon BN dalam pilihan raya kecil, berbagai-bagai analisis diberikan oleh pemimpin, wartawan, ahli akademik, pemblog dan penganalisis kedai kopi yang bertujuan untuk memberikan maklumat membantu BN memperbaiki dirinya sebagai persediaan menghadapi kemungkinan beberapa pilihan raya kecil lagi dan bagi mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-13.Bagi kekalahan BN di Kuala Terengganu, pandangan popular ialah kesalahan dalam pemilihan calon yang tidak mesra rakyat. Hanya Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang tidak dapat menerima faktor ini atas sebab-sebab yang sangat jelas.
Sukar untuk dipercayai Khairy tidak campur tangan dalam pemilihan sahabat karibnya untuk calon KT. Ini lebih mudah daripada kerjanya sebelum ini membantu Presiden UMNO dalam memilih calon-calon UMNO untuk pilihan raya 2008 bagi memastikan kejayaan percaturannya untuk laluan mudah ke tangga Perdana Menteri.
Jika dia mengakui faktor calon menyebabkan kekalahan BN di Parlimen KT, maka bererti beliau menyalahkan dirinya sendiri.
Mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir pula menganggap kekalahan ini kesan daripda pucuk pimpinan parti memilih pemimpin-pemimpin yang rasuah menjadi anggota kabinet. Sekaligus bagi sesiapa yang membaca kenyataan itu mempercayai tidak ada rasuah dan penylahgunaan kuasa di zaman Mahathir.
Anggapan ini tidak benar. Jika sekiranya Dr. Mahathir begitu bersih, maka bagaimanakah semua anaknya menjadi jutawan. Adakah semua kerana usaha sendiri? Bezanya ialah Dr. Mahathir pandai menyembunyikan tangan dan pandai pula menambahkan rezeki rakyat di samping keluarga.
Bezanya ialah dalam pemilihan kabinetnya, Dr.Mahathir telah menolak mereka yang terbukti terlibat dengan rasuah dan politik wang dalam parti, tetapi Abdullah mengambil sampah yang dibakulsampahkan oleh Dr.Mahathir termasuk yang telah pun ke mahakamah dan dihukum parti. Mereka telah diampunkan dengan cepat dan diberikan kedudukan terhormat kerana terdiri daripada kawan rapat Khairy. Salah seorang menjadi Bendahari UMNO dan seorang lagi menjadi Menteri.
Maka itu apa pun dilakukan oleh Pak Lah untuk membersihkan imej kerajaan dan juga untuk menampakkan keadilan pengadilan dan kehakiman tidak diyakini oleh rakyat, tidak dapat memenangkan semula hati rakyat.
Inilah yang dibimbangi oleh Dr.Mahathir akan terus berlaku dalam pemerintahan Najib yang akan bermula daripada pemilihan Majlis Tertinggi kelak. Jika orang-orang dalam kategori ini menang dan dilantik menjadi anggota pentadbiran, maka dalam pilihan raya ke-13 BN akan tamatlah riwayat UMNO dan berakhirlah kerajaan BN.
Jika Najib membuat perlantikan kabinetnya berasaskan kepada kemenangan dan populariti seseorang dalam pemilihan MT, maka Najib tidak lagi mempunyai harapan untuk menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya ke-13.
Yang sudah jelas dalam hal ini ialah Khairy Jamaluddin sendiri yang sekalipun akan menang jawatan Ketua Pemuda UMNO, tetapi rakyat bukan sahaja Melayu tetapi bukan Melayu juga tidak dapat menerimanya. Kekalahan Wan Ahmad Farid di KT adalah penolakan Khairy oleh rakyat yang mengetahui hubungannya dengan Wan Farid.
Faktor lain yang menyebabkan tewasnya calon BN ialah kebijaksanaan strategi pembangkang dalam memperlihatkan Pas terus berdiri di atas dasar asalnya sekalipun berkawan dengan parti pembangkang yang tidak menyokong Islam dan Melayu. Ini dapat dilihat dalam isu hudud.
Khairy meyangka bahawa dengan mancabar pelaksanaan hukum hudud dalam suatu majlis forum dengan Naib Presiden Pas , Husam Musa maka Pas akan terdedah kepada bukan Melayu sebagai parti pelampau Islam.Tetapi Pas telah dapat menukar sesuatu yang dianggap negatif kepada positif baginya.
Kenyataan Husam untuk meneruskan hukum hudud jika berkuasa telah menerima cabaran dari Penasihat DAP, Karpal Singh yang mengancam DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat jika Pas melaksanakannya. Tetapi Pas tidak gentar dan mengulangi penegasan untuk melaksanakan hukum Allah itu dan disamping itu beberapa orang pemimpinnya pula mengecam Karpal Singh. Inilah yang dikehedaki oleh Pas dalam pilihan raya untuk membertiahu penyokong-penyokong fanatiknya tentang ketegasan prinsipnya sekalipun berkawan dengan kafir.
Sekalipun Pas amat jelas telah mengkhianati bangsa dan agamanya di Perak, tetapi dalam pilihan raya sentimen mengatasi kewarasan.
Di sebalik sandiwara ini, Pas dan DAP tahu di mana batas ideologi dan teori politik mereka. Yang tidak tahu bahawa dia telah dipergunakan atau termakan jeratnya ialah Khairy Jamaluddin dari Oxford University dan bakal Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Pas mengambil kesempatan daripada kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO bahwa Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia untuk menunjukan kepada rakyat UMNO menentang hukum Allah. Isu ini bukanlah isu baru tetapi Khairy yang mencabar perlekasanaanya telah terperangkap.
Pandangan, kritikan, kecaman dan sebagainya yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap kekalahan calon BN di KT menunjukan pada umumnya rakyat masih mahukan UMNO dan BN terus menerajui negara ini, tetapi BN khususnya UMNO mesti mengambil langkah berani yang drastik dan radikal untuk memperbaiki imejnya, untuk turun dari parti elitis kepada parti rakyat.
Jika ini gagal dilakukan oleh Najib lebih kerana mengutamakan pertimbangan populariti sesaorang yang menang dalam Majlis Tertinggi tanpa mengambil kira dari segi moral, kualiti dan kebersihan dalam kemenangan maka bererti Najib menggali kuburnya sendiri.
MUNSYI ABDULLAH(malaysiaaktif.com)

Obama kulitnya hitam, hatinya tetap putih

CUBIT-CUBIT21 Januari 2009

BARACK Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden AS semalam. Seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia turut menyaksikan peristiwa yang disiarkan secara langsung melalui telivisyen itu.Minat seluruh dunia terhadap Obama, bukan sahaja kerana beliau Presiden AS kulit hitam pertama, tetapi beliau menang kerana slogan politik `masanya untuk berubah.' Juga kerana Amerika kali ini menjadi kepala hantu yang menyebabkan krisis kewangan global yang akan memporakperandakan dunia.Soalan - bolehkah Obama mengubah keadaan dunia yang sudah diporakperandakan oleh negaranya?Di Malaysia, soalan yang asas ialah bolehkah Obama berubah pendirian terhadap Israel dan memihak kepada dunia Islam serta Palestin?Jawapan Si Keldai, kulit dia hitam tapi hati dia tetap putih walaupun bapanya seorang kulit hitam beragama Islam. Hatinya putih kerana dia dibesarkan oleh ibunya yang berkulit putih. Dia juga dikelilingi oleh orang-orang kulit putih. Dia juga mengangkat sumpah jawatan dengan memegang kitab Bible atau Injil.Di Amerika, dasar negara bukan ditentukan mutlak oleh Presiden sahaja. Ada Kongres, Senat, Pentagon, CIA dan FBI yang dikuasai oleh orang kulit putih. Sebilangan besar ketua mereka masih setia kepada bekas Presiden Bush dan parti Republican.Jadi kepada mereka yang bermimpi perubahan akan berlaku, mereka hanyalah bermimpi di siang hari.Kepada rakyat Malaysia yang masih dihantui oleh serangan Israel ke atas penduduk Gaza (hinggakan Utusan Malaysia sudah lebih seminggu menyiarkan gambar Gaza di muka depan), janganlah lupa untuk meneruskan tindakan memboikot barangan Made in USA. Janganlah setelah menonton kemeriahan dan keghairahan upacara Obama angkat sumpah jawatan, anda semua terleka dipukau harapan. Biarlah rakyat Amerika sahaja yang bermimpikan perubahan, apa fasal kita rakyat Malaysia mahu turut serta.Teruskan boikot Made in USA, tapi janganlah pula sampai mahu bakar restoran McDonald's atau Starbuck. Si Keldai dapat tahu, ada seorang pekerja di Starbuck di Kuala Lumpur kena baling dengan cangkir (mug). Janganlah begitu bodoh. Pekerja itu hanyalah seorang rakyat Malaysia. Dia tidak bersalah walaupun dia bekerja di sebuah restoran Made in USA. Memadailah dengan minum atau makan di tempat lain. Jangan sampai mencederakan rakyat Malaysia yang bekerja di Starbuck kerana dia bekerja di situ disebabkan belum dapat kerja di tempat lain.SI KELDAI

Sunday, January 18, 2009

Salah calon punca utama BN kalah di Kuala Terengganu

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL P.036 KUALA TERENGGANUCalon BN - Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh - 30,252 undiCalon Pas - Mohd Abdul Wahid Endut - 32,883Calon Bebas - Azharuddin Mamat - 193MAJORITI - 2,631 undi(Undi rosak - 665)(Peratusan Mengundi 79.93%)

BASHIR AHMAD17 Januari 2009KUALA TERENGGANU - Kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu menimbulkan pertanyaan sama ada parti gabungan yang memerintah negara selama 51 tahun ini mempunyai kekuatan seterusnya untuk menghalang arus `tsunami politik' yang melanda pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.Selepas kehilangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum itu, BN tewas pula dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dengan majoriti yang besar.Bagaimanapun, kekalahan di Permatang Pauh sudah diduga ramai kerana ia merupakan kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diangkat oleh pakatan pembangkang menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat selepas kemenangannya.BN diharapkan dan berharap akan menang di Kuala Terengganu kerana kawasan Parlimen ini telah dipegang oleh wakilnya Datuk Razali Ismail sejak pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 1,933 undi, dan pada 2008 dengan majoriti 628 undi.Kemenangan Razali pada 2004 agak menarik kerana tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu - Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok - jatuh ke tangan Pas. Ini bermakna faktor peribadi Razali merupakan sumbangan besar kepada kemenangannya.Bagaimanapun, calon BN kali ini Datuk Wan Ahmad Farid tidak mempunyai kekuatan peribadi yang setanding dengan Razali untuk berhadapan dengan calon Pas Abdul Wahid Endut yang telah menjadi ADUN Wakaf Mempelam selama lima penggal.Kekuatan peribadi Wahid yang dikatakan mudah ditemui dan peramah menjadi faktor yang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pertimbangkan sebagai kelebihan untuk berhadapan dengan Wan Farid yang sebaliknya mempunyai masalah imej.
Siang-siang lagi apabila namanya diumumkan sebagai calon BN, kempen secara bisik-bisik memburukkan Wan Farid berjalan bukan sahaja di kalangan orang-orang Pas, tapi turut menjadi buah mulut di kalangan orang-orang UMNO. Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu yang juga bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri itu mengambil risiko besar dalam percaturan politik peribadinya dengan meletakkan jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Dewan Negara (Senator) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Tetapi risiko yang diambilnya tidak mendatangkan simpati yang diharapkan.Wan Farid dilabel sebagai `sombong,' satu sifat yang sangat diambil kira oleh pengundi-pengundi Melayu. Malah pada hari-hari terakhir sebelum pembuangan undi, risalah-risalah yang menyerang peribadi Wan Farid telah disebarkan meluas. Risalah tersebut turut memburukkan beliau sebagai seorang `bangsawang.' Istilah `bangsawang' itu mempunyai dua makna - bangsawan dan bangsa wang. Malah di kalangan orang-orang UMNO sendiri tersebar luas mesej ringkas (SMS) yang menyuruh penerima mengundi Wahid, bukannya Wan Farid.Dipercayai mereka adalah penyokong-penyokong kuat Razali yang sangat kecewa dengan kegagalan Allahyarham dalam pertandingan merebut jawatan Naib Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu. Mereka beranggapan Razali kalah kerana tidak mendapat sokongan Wan Farid yang menjadi Ketua Bahagian UMNO. Wan Farid dituduh mencemburui Razali kerana menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal sedangkan beliau tidak dicalonkan.Krisis politik dalaman UMNO jelas menjadi salah satu punca kekalahan BN.Juga perkatakan kononnya Wan Farid adalah calon Pak Lah, sedangkan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan Zubir Embong, seorang pegawai pelajaran yang popular di kalangan guru-guru, sama seperti Allahyarham Razali. Ramai yang berpendapat bahawa jika Zubir bertanding, tentulah keputusannya berbeza.UMNO menyedari faktor sokongan guru-guru ini dan menugaskan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memujuk mereka supaya tidak merajuk dan terus menyokong BN. Namun kehadiran Hishammuddin di Kuala Terengganu dalam tempoh kempen yang agak lama gagal memulihkan keadaan walaupun beliau telah bertungkus-lumus berusaha.Calon BN juga tidak mendapat sokongan kuat daripada pengundi-pengundi Cina di kawasan DUN Bandar. Jika dulu majoriti pengundi Cina boleh diharapkan menyokong BN, sejak pilihan raya 2008 dan kali ini ramai yang berubah selera.Pengundi-pengundi Cina di Kuala Terengganu tidak lagi memandang serong terhadap Pas yang disokong kuat oleh DAP dalam pilihan raya kecil ini. Isu hudud menjadi bahan ketawa sahaja kerana mereka tahu hukum hudud tidak akan dapat dilaksanakan oleh Pas bersendirian tanpa sokongan DAP dan PKR.Pas turut memainkan dua isu utama untuk memburukkan BN - projek-projek mega Taman Tamadun/ Masjid Kristal, Lumba kapal layar Monsoon Cup - dan dakwaan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO mengamalkan rasuah, dipercayai turut mempengaruhi sebilangan pengundi untuk tidak menyokong BN.Pas menggunakan sepenuhnya isu rasuah. Poster dan pemidang seloka (Datuk) Nik Aziz yang berbunyi `` Beri rasuah salah, tak beri salah, jadi UMNO serba salah'' di tampal dan diregang di banyak tempat.Kombinasi faktor-faktor inilah yang menyumbangkan kepada kekalahan calon BN, Wan Farid.Tetapi persoalan yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu ialah persepsi bahawa kekuatan UMNO dan BN tidak lagi seperti dulu.Ketika kemenangan ini menyuntik semangat pakatan Pas-PKR-DAP untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan keyakinan yang lebih tinggi, UMNO dan BN akan terpaksa memerah otak, tenaga dan apa jua sumber untuk mendapatkan semula sesuatu yang belum hilang sepenuhnya, tetapi kelihatan semakin terlucut daripada genggaman. - malaysiaaktif.com

Friday, January 16, 2009

Janganlah jaja diri kita orang beriman

CUBIT-CUBIT15 Januari 2009ADA orang kata...handsome juga calon Pas Abdul Wahid Endut. Si Keldai ni jantan, jadi kurang ariflah untuk menilai sama ada dia handsome atau tidak. Kena tanya orang betinalah.Tapi mesti ada kualiti istimewa pada Wahid. Jika tidak tentulah dia tak jadi ADUN Wakaf Mempelam lima kali berturut-turut. Jika tidak tentulah Haji Hadi Awang tak pilih dia jadi calon Pas lawan Wan Ahmad Farid. Kalau bukan Wahid, tentulah bukan lawan buku dengan ruas. Wan Farid ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Wahid pula Ketua Pas Kawasan Kuala Terengganu.Jadi kalau Pas nak promosi Wahid, promosilah dengan segala macam pujian pun tak mengapa. BN nak promosi dan angkat Wan Farid pun dengan segala macam cerita pun tak mengapa. Terpulanglang kepada pengundi untuk menerima atau tidak.Cuma Si Keldai tidak berkenan apabila Pas menjaja Wahid sebagai orang BERIMAN. Ia terpampang pada papan iklan kempen.Amboi-amboi, adakah Pas bermaksud Wan Farid bukan orang beriman? Setahu penulis, yang tahu keimanan seseorang hanyalah Allah s.w.t. Orang yang sembahyang lima waktu, berpuasa dan dah naik haji pun belum tentu beriman. Itu baru sekadar Islam, belum lagi beriman. Iman bukanlah sesuatu yang boleh dilihat. Apatah lagi untuk dipromosi atau dijaja kepada umum. Takbur namanya jika kita beritahu kepada orang lain kita ni beriman.Iman dan Islam dua perkara berbeza. Keislaman kita boleh dilihat oleh orang lain. Keimanan kita adalah ghaib atau abstrak. Yang tahu sama ada kita beriman atau tidak adalah diri kita sendiri dan Allah. Itu pun kita hanya boleh merasai tahap keimanan kita dengan berpandukan kepada beberapa petunjuk yang Allah nyatakan dalam Quran.Salah satu petunjuk dinyatakan dalam ayat 2 surah Al Anfal yang bermaksud:``Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah gementar hatinya, apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambah keimanannya dan kepada Allah jualah mereka bertawakal.''Untuk memahami maksud ayat ini, seseorang perlu mengalami sendiri apa yang Allah sebutkan. Misalnya apabila disebut nama Allah gementar hatinya. Berapa orang yang gementar hatinya sehingga menggigil badannya apabila lidahnya menyebut nama Allah? Apakah orang lain boleh tahu sama ada hati kita gementar apabila disebut nama Allah? Percayalah bahawa ramai antara kita yang tidak pernah sekalipun gementar hati walaupun selalu menyebut nama Allah, termasuk pada majlis-majlis tahlil atau menyebut `Allahuakhbar!' Setakat melaungkan ``takbir'' dan menyahut dengan pekikan ``Allhuakhbar'' memanglah mudah.Jadi untuk mempromosikan calon Pas dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu seorang yang beriman adalah tidak wajar. Ia juga memperlihatkan secara kias seolah-olah Pas bermaksud bahawa Wan Farid tidak beriman. Janganlah bercakap takbur kerana dunia. Tidak baik untuk akhirat.SI KELDAI