Monday, December 28, 2009

Rais Yatim lebih layak jadi PM

ENTAH apa gerangannya, setelah dilaporkan bercakap dari hati ke hati dengan Pak Lah selama hampir tiga jam pada 16 September lalu, tiba-tiba pendirian Datuk Mohd Najib Tun Abdul Razak berhubung peralihan kuasa berganjak sedikit.Muncul bersama dalam sidang akhbar pada 17 September, Pak Lah mengumumkan bahawa beliau dan Najib akan terus berpegang kepada tarikh peralihan pada pertengahan 2010. Mereka juga bertukar potfolio Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan. Pak Lah juga mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Najib Timbalan Presiden pada perhimpunan agung Disember ini.Najib turut mengiakan cakap Pak Lah, pada hal beliau baru-baru ini menegaskan bahawa ahli-ahli parti yang berhak menentukan soal tersebut.Cuma apabila ditanya oleh wartawan sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk jawatan Presiden, Najib berkata:`` Kami sama-sama bersetuju dengan perkara itu. Kami serahkannya kepada parti. Kami telah menawarkan diri masing-masing, kami harap parti akan menerimanya.''Kalau diamati dan dipegang cakap Najib, ertinya akhir kata terletak pada parti, yakni ahli-ahli. Berdasarkan sistem demokrasi UMNO, kuasa pemilihan terletak pada bahagian. Pencalonan Presiden, Timbalan Presiden dan anggota Majlis Tertinggi (MT) dibuat di peringkat bahagian. Kemudian pemilihan dibuat di perhimpunan agung oleh perwakilan bahagian.Kita tunggu bahagian-bahagian UMNO mula bermesyuarat selepas Hari Raya Aidilfitri. Jika lebih banyak bahagian yang mencalonkan Najib menjadi Presiden, apakah beliau akan menolak kehendak parti? Jika beliau menolak, ia membayangkan ada sesuatu yang tidak kena. Dan dalam jangka panjang, keengganan Najib untuk mematuhi kehendak parti akan menjejaskan kewibawaan kepimpinannya di kaca mata ahli-ahli UMNO.Agak menarik soal peralihan kuasa ini tidak dibincangkan panjang lebar pada Mesyuarat MT semalam. Bagaimanapun, dilaporkan Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan penjelasan berhubung kenyataannya di Singapura yang menegaskan perlunya peralihan kuasa dipercepatkan.Menurut Muhyiddin, beliau menyuarakan pendapatnya itu demi kepentingan parti dan penjelasannya diterima baik oleh seluruh ahli MT termasuk oleh Pak Lah, tanpa perbincangan lanjut.Nampaknya Pak Lah terpaksa menerima hakikat bahawa soal peralihan kuasa ini tidak boleh ditentukan hanya oleh beliau dan Najib kerana ia melibatkan masa depan parti UMNO dan Barisan Nasional. Malah ramai juga rakyat jelata yang bukan ahli-ahli parti politik berpendapat bahawa ia melibatkan masa depan negara yang terus diselubungi keadaan tidak menentu ekoran keputusan Pilihan Raya Umum 2008 dan kegilaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.Satu tinjauan pendapat oleh Radio 24 kepunyaan kerajaan pada 18 September memperdengarkan pelbagai komen yang menarik. Pada awalnya para pendengar dijemput memberikan komen mengenai peralihan kuasa antara Pak Lah dan Najib. Walaupun banyak yang menyokong peralihan kuasa disegerakan, ada juga yang menyatakan bahawa peralihan kuasa tidak akan membawa sebarang perubahan kerana yang memerintah adalah parti yang sama.Bagaimanapun, salah seorang pendengar memberikan pandangan yang menarik. Kata pendengar ini, dalam keadaan sekarang pemimpin UMNO yang lebih layak dan berkaliber untuk menjadi Perdana Menteri ialah Datuk Rais Yatim. Bukan Pak Lah dan bukan Najib.Walaupun pandangan si pendengar itu boleh dianggap sebagai pandangan terpencil, ia sebenarnya menggambarkan bagaimana suasana politik negara semakin tidak menentu dan kalut. Perbincangan yang semakin bebas oleh media, termasuk media kerajaan, menimbulkan tanda tanya sama ada kebebasan yang tidak terkawal sekarang menambah baik atau memburukkan lagi keadaan.Tiada siapa yang pernah terfikir bahawa sebuah stesen radio milik kerajaan boleh menyiarkan dengan bebas pandangan pendengar mengenai peralihan kuasa itu. Malah seorang lagi pendengar menegaskan bahawa kuasa hendaklah diberikan kepada Anwar Ibrahim, bukan Pak Lah atau Najib. Jelas bahawa si pendengar itu penyokong Pakatan Rakyat.Kemudian pada sebelah petang, Radio 24 mengemukakan soalan yang berbeza sedikit - mana lebih penting antara peralihan kuasa dan harga minyak dikurangkan? Hampir saya tidak percaya bahawa soalan tersebut datangnya dari sebuah stesen radio milik kerajaan. Ini soalan yang kalut. Sudah tentulah kebanyakan pendengar mahukan harga minyak dikurangkan kerana ini persoalan periuk nasi yang menyentuh hati nurani kebanyakan rakyat Malaysia.Bagaimanapun, ada juga pendengar yang berfikiran matang dan mempertahankan peralihan kuasa sebagai persoalan yang lebih penting.Pokoknya, jika peralihan kuasa tidak dibuat mengikut kehendak majoriti, lebih-lebih lagi majoriti ahli UMNO, suasana akan bertambah kalut. Hari ini orang akan menamakan si polan dan si anu lebih layak daripada Pak Lah dan Najib. Lama kelamaan lebih banyak orang akan berpendapat, ``kalau susah sangat, lebih baik serahkan kepada Anwar Ibrahim sahaja.'' - malaysiaaktif.com

No comments: