Monday, December 14, 2009

Rakyat lebih cerdik dari Menteri Besar

KOPITIAM TALK 14 Disember 2009

DAP belum pun berkuasa penuh di negeri Selangor tetapi telah dapat mengadakan tekanan politik yang menunjukkan bahawa ia lebih berkuasa daripada parti Keadilan dan Pas dalam Pakatan Rakyat.
Tidak ada apa keuntungan dan kebanggaan yang dapat dilihat dan dirasakan oleh orang Melayu di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat Selangor kecuali kehilangan satu demi satu kuasa mereka dan penghinaan termasuk penghakisan martabat Sultan Selangor.
Yang paling terkini ialah perayaan Hari Keputeraan Sultan Selangor yang berlalu tanpa disedari oleh kebanyakan rakyat yang jelas menunjukkan pencapaian hasrat DAP untuk memperkecilkan semua institusi Melayu.
Tidak pernah perayaan keputeraan Sultan sesepi ini jika dibandingkan dengan era UMNO atau Barisan Nasional menguasai Selangor. Keadaan ini berlaku selain dari sikap tidak ambil berat oleh Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim adalah juga kerana perasaan lesu rakyat pada keseluruhannya untuk merayakannya. Rakyat tidak berada dalam semangat perayaan tetapi perkembangan di negeri Selangor akhir-akhir ini banyak menyebabkan mereka merasakan berada dalam keadaan berkabung.
Ucapan baginda Sultan Selangor adalah menggambarkan perasaan rakyatnya. Rakyat dapat merasakan betapa sudah hilangnya hubungan yang baik antara orang politik dengan pegawai kerajaan, betapa pegawai kerajaan di pandang sebagai musuh oleh parti dalam Pakatan Rakyat dan betapa kerajaan negeri Selangor dilihat berkelakuan sebagai pembangkang dan bukannya sebagai kerajaan.
Pegawai - pegawai kerajaan Melayu di Selangor sebenarnya tidak lagi mendukung kerajaan Selangor akibat dari satu kes penghinaan terhadap mereka yang melukakan perasaan mereka sehingga ke saat ini. Jika Khir Toyo memberikan penyapu, Pakatan Rakyat telah menyapu arang ke muka mereka.
Lebih buruk lagi bila titah ucapan Sultan Selangor yang amat mudah tidak difahami oleh Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim bila beliau menafikan sebagai ditujukan terhadapnya.
Mungkin beliau menggagap rakyat tidak secerdiknya maka beliau mempolitikkan ucapan baginda itu yang menegur kerajaan Selangor kerana lebih asyik bermain politik dari menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat. Ramai merasakan teguran ini jujur dan membina.
Bahawa Khalid masih bermain politik atas titah ucapan baginda Sultan itu adalah mengesahkan titah baginda bahawa kerajaan negeri mengutamakan politik lebih dari segalanya demi untuk mengekalkan kuasa yang dirasakannya sekarang sebagai berada di hujung tanduk.
Penafian beliau itu ini memberikan dua gambaran iaitu pertama mungkin MB lebih bodoh dari rakyat biasa yang dapat merasa dan memahami ucapan itu. Keduanya mungkin MB bukan seorang ahli politik yang tidak sensitif terhadap perasaan rakyat dan Sultan.
Bagaimanapun tidak ada sesiapapun yang dapat disalahkan tentang wujudnya kerajaan negeri Selangor yang senantiasa kecoh, goncang, kalam-kabut dan terumbang ambing di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat sekarang kecuali rakyat yang telah memilihnya.
Yang jelas MB Selangor Khalid Ibrahim, Keadilan dan Pas terpaksa tunduk kepada telunjuk DAP kerana mahu mengekalkan kuasa dan ini adalah membayangkan apa yang akan terjadi kelak jika mereka ini menguasai kerajaan Pusat bersama DAP.MUNSYHI ABDULLAH

No comments: