UTUSAN MALAYSIA20 Januari 2009
MANAMA (Bahrain) 19 Jan. – UMNO perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu yang sudah hilang daya tarikan serta membolehkannya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut perlu kerana UMNO kini dibelenggu oleh pelbagai persepsi negatif yang dilontarkan terhadap parti itu.
“Kita perlu ada wow factor (daya tarikan) supaya pengundi kembali kepada kita. Kini kita kehilangan faktor itu dan kita perlu mencari jalan untuk mendapatkan ia kembali.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya perlu melakukan perubahan secara radikal terhadap UMNO,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau yang berada di sini dalam lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengulas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.
Pada pertandingan tiga penjuru itu, calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut yang memperolehi 32,883 undi menang dengan majoriti 2,631 undi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.
Muhyiddin juga menegaskan bahawa UMNO sehingga kini masih belum membuat sebarang perubahan walaupun rakyat sudah memberi isyarat jelas supaya parti itu berubah segera.
“Persepsi terhadap UMNO tetap tidak berubah, kita dianggap parti yang sombong, memikirkan kepentingan sendiri serta tidak mendekati rakyat.
“Walaupun saya tidak kata ia betul, tetapi itu adalah persepsi rakyat. Persepsi itu penting kerana ia mempengaruhi rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO perlu ada penjenamaan semula iaitu kembali kepada cita rasa rakyat tanpa mengorbankan prinsip parti.
Friday, January 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment