Sunday, October 4, 2009

Memang layak Sisters In Islam diharamkan

BASHIR AHMAD4 Oktober 2009

Sisters In Islam (SIS) sekali lagi mengundang kontroversi dengan kritikan terhadap hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi, wanita Malaysia yang dihukum kerana minum arak di khalayak umum di Kuantan.
Lalu beberapa NGO di Pahang membuat laporan polis terhadap SIS.
Sudah beberapa kali SIS yang diketuai oleh bekas wartawan New Straits Time, Zainah Anwar mencetuskan kontroversi melalui kenyataan dan pendirian yang menimbulkan kemarahan kalangan yang menganggap pertubuhan yang didaftar sebagai entiti perniagaan itu hanyalah ejen pemikiran liberal yang condong kepada kehendak Barat.
Sebab itulah Pas kawasan Shah Alam telah mengemukakan usul di muktamar parti itu tidak lama dulu supaya SIS diharamkan.
Namun jika semakin ramai umat Islam tidak senang dengan gelagat SIS, masih ramai juga yang mempertahankannya termasuk PKR dan DAP, sekutu Pas dalam pakatan pembangkang.
Turut membela SIS daripada tekanan pengharaman ialah Tun Mahathir, mantan Perdana Menteri yang anak perempuannya Datuk Marina juga sealiran pemikiran dengan Zainah dan SIS.
Kata Mahathir, beliau tidak semestinya menyokong kenyataan dan pendirian SIS tetapi dalam ruang demokrasi percambahan dan kepelbagaian pendapat janganlah disekat sehingga mendorong pengharaman sesebuah pertubuhan.
Anehnya Mahathir juga pernah berkata bahawa demokrasi dan kebebasan juga perlu ada batasnya. Jika tidak, keterlaluan dalam kebebasan akan membunuh kebaikan demokrasi itu sendiri.
Disebabkan usul Pas Shah Alam itu mendapat tentangan hebat termasuk dari kalangan PKR dan DAP, akhirnya ketua Pas kawasan Shah Alam Khalid Abdul Samad membuat penjelasan aplogetik dan usul pengharaman SIS itu dikuburkan.
Sebenarnya bukan kalangan dalam Pas sahaja yang gelisah dengan gelagat dan keceluparan mulut pemimpin dan aktivis SIS. Hanya disebabkan kalangan Pas yang lebih lantang bersuara terhadap SIS, maka kelihatan seolah-olah penentangan terhadap SIS datangnya dari golongan yang konservatif sahaja.
Ramai juga ahli UMNO terutama kalangan lelaki yang berpendapat bahawa SIS membawa pandangan liberal yang sama sekali bertentangan dengan hukum Allah.
Suatu masa dulu SIS pernah menganjurkan satu seminar yang tidak menyembunyikan agendanya untuk mengharamkan poligami. Ketika itu isteri Perdana Menteri, Allahyarham Datin Seri Endon diundang merasmikan seminar itu.
SIS kelihatan seolah-olah dinaungi oleh keluarga Datuk Seri (sekarang Tun) Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu. Salah seorang aktivis SIS ialah Nori, anak perempuan Abdullah yang juga isteri Khairy Jamaluddin (ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia).
Turut menganggotai SIS ialah beberapa orang wartawan wanita seangkatan dengan Zainah. Malah Zainah juga mempunyai `kabel’ yang kuat kerana mendapat sokongan daripada beberapa orang ketua pengarang dan pengarang akhbar.
Ketika itu saban hari ada-ada saja pendapat dan kenyataan SIS yang disiarkan oleh beberapa akhbar arus perdana. Publisiti yang cukup meluas untuk SIS membolehkannya mendoktrinasi’ pemikiran rakyat Malaysia tentang `Islam yang betul’ mengikut acuan SIS.
Betapa Amina Wadud yang mencatat sejarajh di Amerika Syarikat sebagai wanita Islam yang pertama menjadi imam solat jemaah yang turut dimakmumi oleh lelaki telah ditonjolkan sebagai ikon Islam oleh SIS. Beliau turut dipanggil oleh SIS untuk berceramah di Malaysia.
Tindakan-tindakan SIS telah dilihat sebagai cuba mengubah hukum yang terkandung dalam al-Quran. Inilah yang menimbulkan kemarahan sebilangan umat Islam yang berasa sungguh tercabar dengan gelagat Zainah dan SIS.
Jika di negara-negara Islam lain mungkin SIS telah lama diharamkan dan pemimpinnya barangkali menghadapi tindakan balas yang bukan sekadar kutukan dan kritikan.
Seorang pemblog telah menyuarakan kegelisahannya terhadap desakan terbaru SIS dengan mendakwa bahawa salah seorang pemimpin SIS pernah melakukan dosa yang lebih besar daripada Kartika Sari Dewi yang minum arak di khalayak umum. (lihat maharajablogger.blogspot.com)
Berdasarkan perkembangan terbaru ini, barangkali ada kewajaran untuk menoleh semula kepada usul Pas kawasan Shah Alam.
Apakah rasionalnya membiarkan SIS terus mencelaru dan mengelirukan umat Islam khasnya dan bukan Islam amnya dengan kenyataan dan pendapat yang lebih mirip kepada ajaran dan pemikiran agama lain. – malaysiaaktif.com

No comments: