Monday, October 19, 2009

Dua cerita nasihat dari PWTC

BASHIR AHMAD

18 Oktober 2009

Dua cerita berikut ini dipetik daripada ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2009 di PWTC baru-baru ini.

1. CERITA NAJIB:

Cerita ini berasal dari mulut Menteri Pertahanan Afrika Selatan yang bernama Lekote yang pernah ditahan selama 14 tahun di Pulau Robbins, Afrika Selatan kerana berjuang menentang dasar apartheid bersama Nelson Mandela.

Ada kalanya cuaca di pulau itu sangat sejuk di bawah paras beku. Ditambah dengan tiupan angin laut, kesejukannya boleh membunuh.

Menurut Lekote, bagi mengelakkan mati akibat kesejukan, kesemua orang tahanan anti-apharteid itu duduk berlonggok dalam dua bulatan. Bulatan luar terdiri daripada orang-orang tua dan barisan dalam adalah orang-orang muda.

Ini bermakna orang-orang yang tua lebih terdedah kepada kesejukan dan orang-orang muda lebih terlindung daripada kesejukan.

Berfikir sekali imbas memanglah keadaan itu nampak tempang. Yang muda sepatutnya berada di luar dan yang tua di bahagian dalam linkungan.

Tapi ada sebabnya mereka berbuat begitu. Orang-orang tahanan yang tua mahu memastikan orang-orang muda yang terselamat daripada bencana kesejukan.

Kata Lekote kepada Najib, mereka mahu memastikan perjuangan anti-apartheid berkesinambungan. Mereka mahu orang-orang muda terus hidup untuk meneruskan dan menyuburkan perjuangan. Jika orang-orang tua mati, tidak mengapa kerana tenaga dan semangat mereka sudah sampai ke penghujung.

MORAL CERITA: Perjuangan yang tulen menuntut pengorbanan jiwa dan raga.

2. CERITA SHAFIE:

Di penghujung satu kursus bina`feel’ atau perangai, setiap peserta diberikan sebiji benih untuk dibawa pulang. Mereka diminta tanam benih itu dan dibawa semula ke kursus kedua selepas 60 hari. Mereka diberitahu, sesiapa yang benihnya tumbuh paling subur akan menerima hadiah kemenangan.

Selepas 60 hari, para perserta pun kembali ke kursus dengan membawa tumbuhan daripada benih yang dibekalkan.

Kesemua benih tumbuh subur, kecuali seorang peserta yang membawa hanya pasu kosong tanpa tumbuhan.

Ditanya kenapa benihnya tidak menghasilkan tumbuhan, peserta itu menjawab beliau tidak tahu kenapa walaupun telah berusaha dengan pelbagai cara...membubuh baja, menggebur tanah dan menyiram air.

Memendekkan cerita, peserta yang benihnya tidak tumbuh itu diisytiharkan pemenang.

Sebabnya, kesemua benih yang dibekalkan adalah benih sambang yang tidak akan tumbuh sekalipun dibajai, disiram dan dijaga dengan baik.

Kesimpulannya, lain-lain peserta telah menanam semula benih lain, bukan lagi benih asal yang diberikan kepada mereka. Ertinya mereka telah menipu.

Oleh kerana kursus itu adalah pembinaan peribadi, tujuan pemberian benih itu adalah untuk menguji siapakah peserta yang ikhlas dan jujur.

MORAL CERITA: Keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan amatlah penting.

KESIMPULAN: Najib dan Shafie menyampaikan cerita-cerita itu tentulah kerana mereka melihat nilai-nilai berkaitan telah luput atau terhakis di kalangan ahli-ahli UMNO. Jika mereka mahu mengubah parti mereka ke arah transformasi yang dihasratkan, nilai-nilai tersebut mestilah dikembalikan.

Oleh kerana nilai moral itu bersifat universal, ia juga boleh dijadikan panduan dan iktibar oleh mana-mana organisasi dan jemaah. – malaysiaaktif.com

No comments: