Thursday, October 15, 2009

Bagan Pinang monumen harapan Najib

BASHIR AHMAD
15 Oktober 2009
SETELAH tewas tujuh kali dalam pilihan raya kecil di Semenanjung, kemenangan besar di Batang Pinang menjadi satu monumen harapan bagi UMNO untuk menghadapi pertarungan hidup atau mati pada pilihan raya umum ke-13.
``Sememangnya kejayaan ini (pilihan raya kecil Batang Pinang), membenarkan hakikat bahawa UMNO masih merupakan parti pilihan orang Melayu dan UMNO masih merupakan parti pilihan rakyat,’’ tegas Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar sulungnya sebagai Presiden UMNO di Perhimpunan Agung Khas pagi ini.
Bagaimanapun beliau mengingatkan UMNO bahawa ``kita harus menerima kemenangan itu dengan tenang , penuh tawaduk dan rasa kerendahan hati.’’
Najib lalu memetik pepatah Inggeris One swallow does not make a summer yang bermaksud takkan dek kerana seekor burung lelayang kita merasakan musim panas sudah tiba.
Peringatan Najib itu amat realistik kerana Batang Pinang semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran untuk membuat kesimpulan bahawa kepercayaan rakyat terhadap UMNO telah pulih selepas Barisan Nasional yang ditunjanginya mencatatkan keputusan paling buruk dalam sejarah pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.
Usaha transformasi UMNO yang mahu dilakukan, secara rasminya baru sahaja bermula di perhimpunan agung khas ini yang telah meluluskan usul menghapuskan sistem kuota dan beberapa lagi pindaan perlembagaan, termasuk memberikan kuasa memilih pemimpin kepada 146,000 orang dan tidak lagi 2,500 orang perwakilan ke perhimpunan agung UMNO.
Pindaan perlembagaan ini bertujuan untuk menyekat politik wang yang dipercayai menjadi punca kehakisan kepercayaan terhadap parti itu.
Bagaimanpun, sebagaimana yang dinyatakan oleh dua mantan Presiden UMNO – Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi – meminda perlembagaan tidak mencukupi jika sikap dan budaya ahli-ahli UMNO masih tidak berubah.
Oleh itu, rakyat akan terus menilai sejauh mana pemimpin-pemimpin dan ahli UMNO berubah mengikut asas-asas yang diletakkan oleh Najib dalam ucapan dasar di PWTC pagi ini.
Antara lain Najib menggariskan:
· Kita mahukan UMNO diterima rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan sahaja untung nasib Melayu dan Bumiputera akan tetapi menjangkau semua kumpulan etnik di Malaysia.
· UMNO menjadi parti yang berpegang kepada falsafah wasatan yakni bersederhana, atau apa yang disifatkan oleh ilmu sains politik sebagai centrist party.
· Ahli-ahli UMNO yang menjadi pemimpin mestilah bersifat merendah diri dan tawaduk dengan rakyat.
· Calon pilihan raya dari UMNO mestilah seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting – rakyat, parti dan negara.
· Budaya berparti dalam UMNO haruslah bersifat inklusif dan bukannya insular atau terpulau. Lebih banyak program penataran (outreach) harus dilaksanakan yang tidak terbatas kepada ahli UMNO semata-mata.
· Kembalikan budaya khidmat dan kesukarelawan .

Najib memberikan penekanan kepada budaya khidmat dan kesukarelawan dengan menceritakan semula betapa kaum wanita UMNO dulu telah melurut cincin, gelang dan rantai emas demi membiayai rombongan pimpinan Tunku ke London bagi merundingkan kemerdekaan.
Bagaimanapun semasa perbahasan ucapan dasar presiden pada sebelah petang, wakil Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Suffian Awang telah membangkitkan tentang kekurangan wang untuk menjalankan kegiatan di peringkat cawangan dan sebagainya.
Pengerusi persidangan, Datuk Badruddin Amiruddin terus mencelah dengan mengingatkan beliau bahawa orang-orang dahulu hanya makan mihun sahaja.
Secara tersirat Badruddin bermaksud bahawa Mohd Suffian tidak wajar membangkitkan perkara tersebut kerana Najib dalam ucapannya pagi tadi telah merayu ahli-ahli UMNO supaya mengembalikan budaya khidmat dan kesukarelawan.
Jika ketika punggung masih panas di dewan perhimpunan pesanan Presiden telah dilupai, bagaimana sesudah pulang ke tempat masing-masing nanti?
Najib menamatkan ucapannya dengan menyeru ahli-ahli UMNO di semua lapisan supaya bangkit bersama-sama beliau untuk memartabatkan semula perjuangan parti. Nada seruannya penuh emosi, mengundang perwakilan termasuk Tun Mahathir untuk berdiri dan bertepuk tangan.
Tepukan dan penghormatan berdiri tidak memadai kerana yang lebih penting ialah mematuhi dan melaksanakan segala harapan dan amanat Presiden parti- malaysiaaktif.com

No comments: