Sunday, March 22, 2009
Segalanya berlaku selepas Anwar gagal gantikan Mahathir
BASHIR AHMAD22 Mac 2009Akhbar Harakah keluaran 23-26 Mac 2009 yang dipasarkan lebih awal pada 22 Mac menjerit di muka depan dengan tajuk besar.``AGONG BERKUASA TOLAK NAJIB''Tajuk kecil pula berbunyi: ``Tuanku Mizan berhak untuk tidak melantik Najib Razak sebagai Perdana Menteri.''Di bawah tajuk besar itu, akhbar milik Pas itu membariskan petikan kata-kata Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dari UIAM yang kononnya dipetik sebagai berkata:``Dalam sebuah sistem demokrasi yang adil, terbuka dan telus memang Yang di-Pertuan Agong wajib mengikut kehendak majoriti sebagaimana ditetapkan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan. Tetapi dalam sebuah sistem yang kotor dan penuh dengan misteri dan penipuan, baginda perlu bijak dan berani jika tidak negara ini akan jatuh ke kancah kebinasaan.''Sebelum itu, akhbar milik Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan, dalam keluaran 17-24 Mac 2009 pula menyiarkan di muka depan cerita yang bertajuk besar: ``Abdullah kekal PM?''Apakah yang tersirat di sebalik cerita-cerita akhbar milik pembangkang ini? Mereka tidak mahu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak jadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Mereka tidak mahu Najib kononnya kerana beliau berlumuran dengan masalah peribadi. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz tumpang semangkuk dengan meminta Najib `membersihkan dirinya' sebelum jadi PM. Sebelum ini, semua orang tahu tentang Gobind Singh Deo, anak Pengerusi DAP Karpal Singh membuat tuduhan di Dewan Rakyat tentang penglibatan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya.Sebenarnya pembangkang tidak mahu Najib jadi PM kerana mereka tahu anak Tun Razak itu lebih berkaliber untuk berhadapan dengan para pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Hadi Awang.Selepas hampir-hampir menumbangkan BN di bawah pimpinan Abdullah, Anwar yang lebih mengenali Najib khususnya amat percaya bahawa beliau adalah satu-satunya pemimpin dalam UMNO yang boleh menyekat `kemaraan' pembangkang.Dan secara peribadi, Anwar juga sangat percaya bahawa jika Najib menjadi PM, peluangnya untuk ke Putrajaya akan terus tertutup.Sebenarnya, apa kurangnya Pak Lah selepas memimpin BN untuk mendapat mandat paling besar dalam pilihan raya umum 2004. Apa yang tidak dikata tentang Pak Lah. Pelbagai penghinaan disiarkan dalam blog dan laman web yang propembangkang.Pokoknya, pembangkang akan menentang siapa jua pemimpin BN, khususnya yang telah jadi PM dan akan jadi PM. Tapi terhadap Najib, nampak usaha mereka sudah keterlaluan. Ada juga cerita tersebar, kononnya ada satu komplot yang turut melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dengan Anwar untuk menyekat Najib. Kononnya lagi, mereka cuba mendapat sokongan Pak Lah dan Tun Dr. Mahathir. Sejauh mana kebenaran cerita ini, telitilah perkembangan yang berlaku sepanjang sebulan lalu dan seterusnya pada dan selepas Perhimpunan Agung UMNO yang bermula 24 Mac ini.Episod-episod selanjutnya kelihatan seperti jigzaw puzzle yang belum dicantumkan sepenuhnya. Semakin hampir Perhimpunan Agung UMNO yang akan mengesahkan Najib sebagai Presiden UMNO yang baru, semakin jelas cebisan-cebisan jigzaw itu.Tidak lama dulu kononnya ada pertemuan sulit antara Ku Li dan Pak Lah. Pertemuan itu diadakan atas permintaan Ku Li. Isi dan tujuan perbincangan tiada siapa yang tahu. Kononya, Ku Li juga ada bertemu dengan Anwar sebelum itu.Tidak lama kemudian dua orang ahli UMNO telah memfailkan saman menuntut perintah Mahkamah Tinggi membatalkan Perhimpunan Agung UMNO sekiranya kira-kira 900 aduan rasuah politik tidak diselesaikan.Selepas itu heboh cerita Anwar bertemu Pak Lah atas jemputan Syeikh Mahmud Al-Majzub di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat.Kemudian heboh pula fasal bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim menyeru Yang di-Pertuan Agong supaya tidak melantik Najib sebagai PM.Ini diikuti dengan cerita-cerita dalam Harakah dan Suara Keadilan yang jelas berupa hasutan dan adu-domba untuk menghalang Najib daripada jadi PM. Suasana yang keruh selepas pilihan raya umum 2008 nampaknya semakin hari bertambah keruh.Rakyat Malaysia yang saban hari diracuni dengan pelbagai cerita kini semakin bingung. Disebabkan semakin bingung, mereka kini sudah tidak tahu lagi untuk membezakan cerita yang benar, cerita karut dan fitnah. Yang berserban sangat percaya, yang berkopiah menerima apa sahaja dan yang tidak berkopiah apatah lagi . Akhirnya kaca akan disangka intan. Yang bohong akan disangka benar. Yang benar akan disangka bohong. Ketika itu, akan terjunamlah Malaysia ke dalam kancah kebinasaan. Hura-hara negara angkara fitnah yang berleluasa.Dan segalanya semakin berlaku dan menjadi-jadi selepas Anwar gagal untuk menjadi pengganti Mahathir. - malaysiaaktif.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment