Wednesday, March 25, 2009

BN perlu kerja lebih keras di Bukit Gantang

BASHIR AHMAD22 Mac 2009
SUASANA di sepanjang jalan apabila kami memasuki kawasan Parlimen Bukit Gantang dari Kuala Kangsar semalam bagaikan kempen selepas hari penamaan calon sudah bermula.Bendera-bendera BN dan Pas sudah dipasang di kiri, kanan dan merentangi jalan. Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac 2009. Lazimnya lambang-lambang parti yang bertanding akan membanjiri persekitaran bermula pada hari berkenaan.Begitulah hangatnya suasana pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang diadakan pada 7 April akan datang ekoran kematian Roslan Shaharum, Ahli Parlimen Pas yang menewaskan calon BN, Datuk Abdul Azim Mohamad Zabidi dengan majoriti 1,566 undi pada pilihan raya umum Mac 2008.Kawasan ini dulunya adalah kubu BN, tapi entah macam mana terlepas kepada Pas dalam pilihan raya umum lalu. Ada yang mengandaikan faktor tsunami politik yang melanda seluruh negara turut mempengaruhi kawasan parlimen ini yang 35,265 pengundinya adalah Melayu dan 15,057 lagi bukan Melayu.Ada juga andaian bahawa calon BN ketika itu tidak dikenali oleh pengundi kerana beliau adalah `calon paracut' dari Kuala Lumpur. Maka kali ini BN mengambil keputusan memilih anak tempatan yang dikenali oleh rakyat tempatan, Ismail Saffian, Pengarah Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara.Pas belum lagi menamakan calonnya dan dijangka melakukannya pada 24 Mac ini. Ada cadangan supaya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin bertanding bagi membolehkannya membalas dendam terhadap BN yang mengambilalih kuasa pemerintahan Perak berikutan dua anggota DUN PKR dan seorang daripada DAP keluar parti dan menyokong BN.Berdasarkan pengalaman pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, jika pucuk pimpinan Pas merasakan peluang Nizar untuk menang adaklah lebih besar daripada calon-calon lain, kemungkinan besar nama Nizar akan naik walaupun beliau seorang ADUN. Di Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memilih seorang ADUN, Abdul Wahid Endut untuk bertanding dan akhirnya beliau menang.Bagi Pas, kemenangan di Bukit Gantang bermati-matian dicari untuk membuktikan bahawa parti itu lebih mendapat sokongan rakyat selepas kemelut politik Perak menyaksikan Sultan Perak memperkenan BN mengambilalih pemerintahan. Bukit Gantang akan menjadi medan untuk mengukur sejauh mana kesan kemelut politik itu terhadap para pengundi Melayu di negeri itu.Kesungguhan Pas untuk mempertahankan Bukit Gantang dapat dilihat daripada kehadiran jentera kempennya yang awal-awal lagi sudah berkampung di kawasan Parlimen ini.Hampir setiap kawasan Pas di Kelantan telah menghantar wakil dan membuka markas di setiap ceruk. Ini berlaku ketika UMNO masih sibuk dengan persiapan dan suasana menjelang Perhimpunan Agung ke-58 yang akan berlangsung pada 24 hingga 28 Mac ini.Pada hari ini penulis dan rakan bertemu dengan dua orang kakitangan UMNO yang masih tercari-cari rumah penginapan untuk dijadikan markas kumpulan mereka di kawasan Kamunting.Bersama si rakan Cina itu, penulis kemudian memandu ke Kuala Sepetang untuk makan mi udang di gerai yang masyhur di tepi jalan ke pekan nelayan Cina itu. Selepas pertama kali menikmati mi udang yang berharga RM10 semangkuk di gerai yang diselubungi bau busuk longkang di tepinya, kami beredar ke Kuala Sepetang.Kuala Sepetang adalah pekan nelayan Cina. Dulu kawasan yang majoriti penduduknya orang Cina itu dikuasai oleh MCA.Setibanyanya kami di pekan itu, kelihatan sesuatu yang janggal. Bendera dan sepanduk Pas tampak di merata tempat. Bendera BN amat sedikit dan kecil-kecil pula, kelihatan ketara hanya di markas Parti Gerakan. Jika bendera menjadi ukuran kekuatan, nampaknya Kuala Sepetang adalah kawasan Pas walaupun penduduknya adalah Cina, kecuali kakitangan kerajaan termasuk polis yang bertugas di sebuah balai di situ.Pas Kelantan sudah membuka markas di pekan itu dan sedang giat berkempen.Ketika kami berada di pekan itu, jarum jam menunjukkan waktu kira-kira 1.00 tengah hari.Di sebuah kedai minum Cina, seorang lelaki Melayu berumur 50-an yang memakai kopiah dan berbaju Melayu duduk di sebuah meja yang dipenuhi lelaki-lelaki Cina. Sebilangan lelaki Cina itu sedang sedang minum bir, tetapi lelaki Melayu itu tidak minum apa pun.Lelaki Pas itu dari Kota Bharu Kelantan. Dia sedang memujuk orang-orang Cina Kuala Sepetang di kelilingnya supaya mengundi Pas. Katanya dalam bahasa Melayu, di Kelantan Pas memerintah tanpa sedikit pun menganggu kehidupan bukan Islam. Orang Cina masih boleh minum arak yang hanya diharamkan untuk orang Islam.Menurut lelaki itu, jika pengundi-pengundi Cina tidak percaya cakapnya, mereka boleh pergi sendiri ke Kelantan untuk melihat keadaan sebenar.Rakan penulis bertanya kepada penduduk di situ sama ada jentera kempen BN sudah berkempen di kedai-kedai kopi di Kuala Sepetang sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki Melayu Pas dari Kota Bharu itu. Jawapannya, Pas sudah lebih ke depan dalam berkempen.Pada malam ini, Naib Presiden Pas Mohamad Sabu dijadualkan beceramah di Kuala Sepetang.Dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan di Taiping, kelihatan bendera-bendera BN dan Pas hampir sama banyak di kawasan perumahan Melayu. Menariknya, bendera-bendera BN sekarang juga dikibar pada batang-batang buluh, satu perkara yang dulu hanya dilakukan oleh Pas.Kami kembali ke Taiping dengan membuat kesimpulan bahawa BN perlu bekerja 10 kali lebih keras jika mahu merampas kembali Bukit Gantang daripada tangan Pas. - malaysiaaktif.com

No comments: