Monday, January 12, 2009

Perang poster KT: Strategi siapa yang menang?

BASHIR AHMAD11 Januari 2009KUALA TERENGGANU - Enam hari sebelum pembuangan undi pilihan raya kecil pada 17 Januari, ibu negeri Terengganu dibanjiri poster, bendera, sepanduk dan papan iklan kempen.Lambang dacing Barisan Nasional dan Pas kelihatan hampir sama banyak. Di celah-celah lambang Pas di kawasan Melayu terdapat lambang PKR, tetapi hampir tidak kelihatan lambang roket DAP.Gambar wajah Datuk Wan Ahmad Farid terpampang di merata tempat. Ada gambar wajah dan ada gambar-gambar yang mahu memperlihatkan bahawa calon BN itu mesra rakyat. Di mana sahaja anda berada, di situ anda pasti nampak wajah Wan Farid. Bukan sahaja gambar kecil bersaiz poster, tetapi gambar besar pada papan iklan. Cukup banyak.,Sebaliknya gambar calon Pas, Abdul Wahid Endut hampir tidak kelihatan, kecuali anda mencari-cari. Gambar Wahid hanya kelihatan di markas-markas kempen dalam bentuk poster. Juga pada risalah-risalah kecil yang diedarkan pekerja-pekerja parti Pas.Adakah Pas tidak menonjolkan gambar sebagai satu strategi atau hanyalah kebetulan?Mungkin yang mahu dikempenkan ialah parti bukannya calon. Maksudnya, undilah Pas bukannya Wahid yang sekadar seorang calon bagi memenuhi syarat pilihan raya.Jika begitu, amat ketara BN dan Pas menggunakan strategi yang berbeza dalam perang poster. BN amat menonjolkan calonnya Wan Farid, bukannya parti. Itulah gambaran yang dipaparkan.BN juga menampilkan gambar besar Perdana Menteri Datuk seri Abdullah Badawi, timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, di celah-celah gambar Wan Farid.
Sebaliknya wajah pemimpin-pemimpin Pas sukar dicari. Yang ada beberapa sahaja gambar Datuk Nik Aziz, Mursyidul Am Pas yang menjadi pujaan para penyokong parti kerana kemampuannya menolak serangan hebat BN dalam beberapa pilihan raya berturut-turut di Kelantan.Jika perang poster memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pengundi, keputusan pilihan raya kecil pada 17 Januari ini akan menunjukkan strategi pihak mana yang tepat. Strategi BN atau Pas? - malaysiaaktif.com

No comments: