Thursday, January 8, 2009

MB arah kain BN balut pusat media ditanggalkan

Wow…besarnya! Begitulah luahan rasa terkejut teman Si Keldai apabila melihat kain pemidang BN yang terpampang di luar bangunan Pusat Media Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.
Kami ke sana kerana ada sidang media Menteri Besar, Ahmad Said. Bukan sekadar nak dengar cakap MB, tapi juga nak jumpa rakan-rakan dari akhbar yang berlabuh di situ.
Langkah kanan, rupa-rupanya ada makan tengah hari. Oleh kerana ramai reporter yang berbaris menunggu hidangan bufet, Si Keldai nampak ada kerusi kosong di sebelah MB. Lalu cari jalan mudah untuk makan.
``Boleh duduk sini Datuk,’’ Si Keldai minta izin.
``Silakan,’’ kata MB dengan senyuman yang asli.
Meja lapan kerusi itu dipenuhi pembantu-pembantu politik beliau dan pegawai-pegawai kerajan. Mereka berborak dalam loghat Terengganu. Susah orang luar nak tumpang semangkuk perbualan rancak mereka.
Di tengah perbualan, salah seorang pembantu merapati beliau lalu menyuakan handphone kepada MB sambil berkata:``Datuk Bandar...(Kuala Terengganu).’’
Si Keldai yang duduk di sebelahnya dapat mendengar perbualan MB dengan Datuk Bandar.
Rupa-rupanya sifat MB Terengganu tidaklah seperti cerita yang Si Keldai dengar. Kononnya dia gedebe (istilah orang Kelantan yang bermakna samseng).
Apa yang Si Keldai dengar, MB melayan Datuk Bandar Kuala Terengganu dengan penuh sopan-santun. Nada suaranya langsung tidak tinggi macam kebanyakan bos.
Dia memberi salam dan menjemput Datuk Bandar itu menghadiri satu majlis perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri di Kuala Terengganu.
``Kalau tak boleh tak mengapa,’’ katanya.
Mendengar cerita `gedebe’ mengenai MB itu, Si Keldai menyangkakan tentulah lebih mudah beliau memberi arahan kepada Datuk Bandar supaya hadir, bukannya bertanya sama ada boleh hadir jika tidak sibuk.

Selesai makan tengah hari, MB keluar daripada bangunan dan mendongak melihat kain pemidang kempen BN yang membaluti hammpir seluruh bangunan pusat media itu.
``Bila pasang ni?’’ tanyanya disusuli dengan arahan ``tanggalkankanlah, ini pusat media, bukan tempat kempen.’’

No comments: