Friday, January 16, 2009
Janganlah jaja diri kita orang beriman
CUBIT-CUBIT15 Januari 2009ADA orang kata...handsome juga calon Pas Abdul Wahid Endut. Si Keldai ni jantan, jadi kurang ariflah untuk menilai sama ada dia handsome atau tidak. Kena tanya orang betinalah.Tapi mesti ada kualiti istimewa pada Wahid. Jika tidak tentulah dia tak jadi ADUN Wakaf Mempelam lima kali berturut-turut. Jika tidak tentulah Haji Hadi Awang tak pilih dia jadi calon Pas lawan Wan Ahmad Farid. Kalau bukan Wahid, tentulah bukan lawan buku dengan ruas. Wan Farid ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Wahid pula Ketua Pas Kawasan Kuala Terengganu.Jadi kalau Pas nak promosi Wahid, promosilah dengan segala macam pujian pun tak mengapa. BN nak promosi dan angkat Wan Farid pun dengan segala macam cerita pun tak mengapa. Terpulanglang kepada pengundi untuk menerima atau tidak.Cuma Si Keldai tidak berkenan apabila Pas menjaja Wahid sebagai orang BERIMAN. Ia terpampang pada papan iklan kempen.Amboi-amboi, adakah Pas bermaksud Wan Farid bukan orang beriman? Setahu penulis, yang tahu keimanan seseorang hanyalah Allah s.w.t. Orang yang sembahyang lima waktu, berpuasa dan dah naik haji pun belum tentu beriman. Itu baru sekadar Islam, belum lagi beriman. Iman bukanlah sesuatu yang boleh dilihat. Apatah lagi untuk dipromosi atau dijaja kepada umum. Takbur namanya jika kita beritahu kepada orang lain kita ni beriman.Iman dan Islam dua perkara berbeza. Keislaman kita boleh dilihat oleh orang lain. Keimanan kita adalah ghaib atau abstrak. Yang tahu sama ada kita beriman atau tidak adalah diri kita sendiri dan Allah. Itu pun kita hanya boleh merasai tahap keimanan kita dengan berpandukan kepada beberapa petunjuk yang Allah nyatakan dalam Quran.Salah satu petunjuk dinyatakan dalam ayat 2 surah Al Anfal yang bermaksud:``Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah gementar hatinya, apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambah keimanannya dan kepada Allah jualah mereka bertawakal.''Untuk memahami maksud ayat ini, seseorang perlu mengalami sendiri apa yang Allah sebutkan. Misalnya apabila disebut nama Allah gementar hatinya. Berapa orang yang gementar hatinya sehingga menggigil badannya apabila lidahnya menyebut nama Allah? Apakah orang lain boleh tahu sama ada hati kita gementar apabila disebut nama Allah? Percayalah bahawa ramai antara kita yang tidak pernah sekalipun gementar hati walaupun selalu menyebut nama Allah, termasuk pada majlis-majlis tahlil atau menyebut `Allahuakhbar!' Setakat melaungkan ``takbir'' dan menyahut dengan pekikan ``Allhuakhbar'' memanglah mudah.Jadi untuk mempromosikan calon Pas dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu seorang yang beriman adalah tidak wajar. Ia juga memperlihatkan secara kias seolah-olah Pas bermaksud bahawa Wan Farid tidak beriman. Janganlah bercakap takbur kerana dunia. Tidak baik untuk akhirat.SI KELDAI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment