NASIR SUKIMAN16 Julai 2009SEGOLONGAN kecil peneroka asal di kawasan hutan Sungai Peria dan Lata Rek yang membuang undi pada 14 Julai lalu pada pilihan raya kecil N.41 Manek Urai memberi kelebihan kepada Pas untuk terus menguasai kawasan undi itu.
Mereka ini adalah golongan tua dan generasi kedua yang kekal di kebun getah dalam Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) dikendalikan Pas sejak 1970. Mereka tidak syak lagi adalah antara 65 pengundi yang memberikan suara majoriti kepada Mohd Fauzi Abdullah, 50 calon Pas dalam mengalahkan calon Umno-BN Tuan Aziz Tuan Mat, 39 .
Peniaga ikan, Fauzi lebih dikenali sebagai Abe Uji mendapat 5,348 undi berbanding 5,283 untuk Tuan Aziz, bekas pengurus kanan Kesedar.
Peneroka awal itu diingatkan dua perkara utama oleh Pas pada ceramah-ceramah khususnya di kampung Lata Rek dan kampung Sungai Peria. Pertama betapa salahnya mereka jika mengundi Umno-BN yang dituduh berbuat salah seperti menghadiahkan kain dan sejadah yang didakwa belum dibayar sejak 2004; berdosa jika tidak memangkah Pas kerana ia saja memperjuangkan Islam manakala Nik Aziz pula menggesa peneroka asal agar tidak lupa jasa Pas memberi mereka 10 ekar tanah seorang.
Apa yang Nik Aziz tidak sentuh adalah betapa peneroka Sungai Peria dan Lata Rek itu masih kekal hidup di takuk lama sejak 1970 hingga hari ini kerana kegagalan Pas menyediakan prasarana dan kemudahan serta suntikan modal baru bagi membawa keluar peneroka dari lubuk kemiskinan.
Oleh kerana termakan pujukan ‘tidak payah mengejar harta dunia’ inilah selain pangkah Pas ‘dapat masuk syurga’ pengundi juga penyokong tegar Pas ini memberi undi kemenangan kepada Abe Uji.
Penelitian senarai saluran undi di Pusat Penjumlahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai menunjukkan Umno-BN menang tipis di tujuh kawasan mengatasi Pas tetapi undi dari Sungai Peria dan Lata Rek mengubahnya membuat Tuan Aziz tewas.
Tuan Aziz antara lain menang di Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama, Chuchoh Puteri dan Sungai Sok begitu juga di Temalir terletak dalam kawasan kebun getah kira-kira 40 kilometer dari simpang Jalan Gua Musang-Jalan Kuala Krai.
Pemerhatian dan tinjauan juga menunjukkan golongan muda yang antara lain mendapat bantuan padang permainan dan peralatan sukan memberi sokongan kepada Umno-BN begitu juga kakitangan dan pekerja yang pulang dari Lembah Klang yang sedar sumbangan kerajaan pusat kepada Kelantan dan Manek Urai.
Dengan aktivis dan pemimpin Pas sendiri mengakui kemenangan tipis itu adalah bukti Umno semakin diterima semula rakyat berikutan kegagalan pada pilihan raya umum Mac 2008 itu, jelas kerajaan pusat tidak lagi boleh mengabaikan kebajikan pengundi yang memangkahnya dan perlu terus membina jambatan lebih besar menyambungkan Manek Urai baru dengan Manek Urai Lama.
Dua jambatan gantung yang uzur di Lata Rek juga perlu diganti sebagai persediaan memenangi hati pengundi dan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum pada 2013 kelak.
Ada pemerhati lain pula beranggapan, kehadiran pemimpin Umno dan Pemuda yang berkempen dengan hanya menaiki kereta Perodua Viva dan bukannya Mercedes Benz menjalar selain Rexton hitam seperti di Permatang Pauh memikat hati penduduk kampung.
Sokongan padu dan pertambahan pengundi berbanding majoriti 1,352 bagi Pas pada Mac 2008 juga perlu diambilkira Umno dalam menyalurkan bantuan dan merangka projek khususnya untuk mengeluarkan lagi kira-kira 200 keluarga Manek Urai daripada paras miskin tegar.
Nik Aziz mesti ingat menggesa penduduk bersabar dan berdoa menantikan berkat tidak lagi boleh diterima penduduk yang rata-rata memperolehi RM750-RM1,000 sebulan dengan harga makanan terutama beras yang naik mendadak tahun lalu.
Pas juga tidak lagi mampu menipu golongan muda khususnya lulusan pusat pengajian tinggi yang bekerja di Kuala Lumpur yang sudah pun melihat apa itu kemajuan dan pembangunan.
Hakikat mereka lulusan universiti dari Manek Urai dan Kelantan terpaksa berhijrah mencari pekerjaan di tempat lain membuka mata mereka terhadap kegagalan Pas melaksanakan tuntutan Islam yang tidak hanya mahu umatnya berdoa tanpa usaha gigih membina negeri dan menambah kebajikan.
Umno yang jelas telah bangkit daripada penolakan pengundi pada pilihan raya umum 2008 perlu menguatkan lagi jentera kempen terutama Pemuda yang bekerja keras siang dan malam di Manek Urai demi memastikan sokongan padu kembali kepadanya pada pilihan raya kecil akan datang (jika ada).
Kemenangan tipis Pas di Manek Urai adalah bukti pengundi Melayu sudah celik dan tidak mahu terus dibuai dengan impian ‘masuk syurga’ jika undi Pas kerana Islam tidak mengajar umatnya membiarkan kemiskinan membelenggu kehidupan di dunia. - malaysiaaktif.com
Thursday, July 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment