Monday, July 6, 2009

Pas kena tenggek DAP

MAULANA ARRIF4 Julai 2009
Mari kita nilai kejantanan Pas berbanding DAP. Nampaknya Pas sudah jadi ayam betina dan DAP yang jadi ayam jantan. Siapa yang menenggek dan siapa yang kena tenggek?
Dulu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengusulkan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional. DAP yang bersuara paling kuat membidas dan mempersoal pendirian Pas dalam pakatan pembangkang. Sekutu mereka Anwar Ibrahim dan PKR tidaklah bising sangat.
Sebagaimana semua orang tahu, Hadi berundur ke belakang lalu membatalkan usul kerajaan perpaduan. Dalam sidang akhbar mengumumkan pembatalan itu, jurugambar media merakamkan Hadi yang berwajah tidak begitu ceria bersalam dengan Lim Kit Siang yang senyum melebar.
Kemudian Anwar dan Kit Siang menyalahkan UMNO sebagai punca angkara Hadi membuat cadangan kerajaan perpaduan. Tidak cukup dengan menyalahkan UMNO, sekutu kuat Anwar dalam Pas, Nik Abdul Aziz menyalahkan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan menyeru pemimpin muda itu meletakkan jawatan yang baru dimenanginya dalam muktamar Pas.
Tidak cukup dengan membelasah Nasharuddin, `Tuan Guru Politik' itu menyamakan UMNO dengan ajaran sesat dan komunis.
Dan tidak cukup dengan memperlekeh Hadi dan Pas kerana membuat usul kerajaan perpaduan serta cadangan untuk berunding dengan UMNO, DAP sekarang buat hal pula di Kedah. Kononnya disebabkan pembatalan projek rumah lapah babi, parti itu mengambil tindakan keluar daripada kerajaan pakatan yang diketuai oleh Pas di negeri itu.
Dalam reaksi terbarunya, kata Hadi beliau akan ke Kedah untuk meninjau apa yang sebenarnya berlaku dan akan membuat penilaian dari sudut Islam. Barangkali Hadi sedang mengkaji apa tindakan yang patut diambil berdasarkan Quran dan hadis. Tapi berdasarkan perkembangan semasa, janganlah ahli-ahli Pas berharap sangat Pas Hadi akan membuat keputusan yang tegas.
Beliau bukan sahaja masih dilindungi bayang Nik Aziz yang kebelakangan ini sering sahaja menidakkan kenyataan dan tindakannya, malah sejak Pas berada sekelambu dengan PKR dan DAP, Hadi tidak lagi segarang dulu. Selalu sahaja Hadi dan Pas diperlekehkan oleh DAP.
Yang menyedihkan orang Melayu, Nik Aziz yang sepatutnya menyokong Hadi, pula bertindak seolah-olah beliau lebih memihak kepada DAP dan PKR. Bagi Nik Aziz, UMNO lebih buruk dari DAP.
Kita tengok bagaimana para pemimpin Pas mengendalikan krisis politik di Kedah sekarang. Jangan pula nanti Nik Aziz tidak fasal-fasal menuduh segala yang berlaku adalah juga angkara UMNO.
Barangkali pemimpin-pemimpin Pas sekarang sudah kena pukau sehingga tidak tentu arah. Pas bukan sahaja kena tenggek, tapi ada kemungkinan kena lapah jika para pemimpinnya terus jalan menonong.
Lihatlah betapa disebabkan Pas bermuafakat dan tunduk kepada DAP dan PKR yang menganjurkan penghapusan DEP dan pemberian sama rata kepada semua kaum, UMNO terpaksa membuka ruang bagi memenuhi kehendak semua kaum. Apabila Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan dasar liberalisasi pelaburan, Pas pula beria-ia mahu mempertahankan hak 30 peratus bumiputra.
Wahai Pas! Jika tidak kerana anda semua duduk di bawah ketiak Kit Siang dan Anwar, tidaklah akan berlaku apa yang anda tidak suka sekarang ini. Jangan salahkan orang lain. Hantukkan kepala anda semua ke dinding. - malaysiaaktif.com

No comments: