Saturday, February 7, 2009

Saman Sultan Perak perbuatan hina raja - Najib

IPOH 6 Feb. - Tindakan pakatan pembangkang mahu menyaman Sultan Perak di mahkamah merupakan satu perbuatan menghina raja yang tidak wajar sama sekali dilakukan oleh sesiapa yang menyanjung tinggi Raja Berperlembagaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, perbuatan itu jelas mempersoalkan maruah dan imej Sultan Azlan Shah sebagai raja pemerintah yang mempunyai hak membuat tafsiran dari segi perlembagaan berhubung kedudukan seseorang Menteri Besar.
''Keputusan yang dibuat oleh Tuanku berdasarkan pengamatan Tuanku bahawa ia menepati Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
''Jika sekiranya Mohammad Nizar dan pakatan pembangkang nak saman Tuanku, ia mempersoalkan maruah dan imej Tuanku sebagai raja pemerintah," kata beliau kepada Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini petang ini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Terdahulu Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis angkat sumpah Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Ditanya perasaannya selepas kejayaan BN menguasai kerajaan negeri, Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, perkembangan terbaru itu memberi kesempatan kepada BN untuk berkhidmat kepada rakyat Perak.
''Saya anggap ini bukan kemenangan peribadi tapi sebagai satu kemenangan kepada rakyat Perak untuk memulakan satu era baru demi masa depan mereka," katanya.
Di Kuala Lumpur, Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, pakatan pembangkang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan BN jika masih berkeras untuk melantik Menteri Besar baru.
Katanya, pakatan pembangkang tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Datuk Seri Ir. Jamaluddin Mohammad Nizar oleh Sultan Azlan Shah dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri adalah jelas di luar batas kuasa peruntukan artikel itu.

No comments: