Tuesday, February 17, 2009

Memang layak Elizabeth Wong letak jawatan

NASIR SUKIMAN17 Februari 2009KALAULAH wakil rakyat yang gambar bogelnya diedarkan melalui MMS bukannya daripada Parti Keadilan Rakyat atau rakan pembangkangnya baik Pas mahupun DAP, sudah tentu Anwar Ibrahim akan bertempik dari Doha menggesa ahli terlibat meletak jawatan.
Namun penasihat umum PKR itu jelas tidak dapat mengeksploitasi isu gambar bogel itu kerana selain kes gambar bogel Elizabeth Wong, 37, disebarkan, ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, juga baru saja terkial-kial cuba membersihkan namanya dikaitkan dengan gosip ditangkap khalwat.
Bukan itu saja, malah PKR juga menjadi kelam-kabut apabila Badrul dilaporkan hilang selama beberapa hari dan dibimbangi merancang untuk bertukar selera dengan menyertai UMNO.
Beliau akhirnya muncul bersama-sama Pengerusi PKR Selangor merangkap MB Tan Sri Khalid Ibrahim, Jumaat lalu. Itupun episod kehilangannya belum lagi terjawab begitu juga gosip mengenai kes khalwatnya itu.
Kini berdasarkan pengakuan Wong pula, jelas beliau sememangnya mengenali lelaki yang mengambil gambarnya ketika beliau tidur – bekas kekasihnya. Tidak dinafikan Wong berhak untuk tidur dalam apa posisi tidak kira berpakaian atau berbogel. Tetapi itu dulu dan dengan kini pun dalam lingkungan empat tembok bilik tidurnya ketika bersendirian.
Malangnya, kini beliau sudah pun menjadi ‘hak rakyat’ sebagai ADUN Bukit Lanjan dan setiap perlakuannya diteliti dengan begitu tajam terutama oleh pengundi dan rakyat jelata amnya.
Soal akhlak, kejujuran, keikhlasan dan setiap langkah wakil rakyat perlu dijaga kerana tersilap langkah maka padah akibatnya. Dalam hal ini, seperti kata ketua pembangkang DUN Selangor juga bekas MB Dr Khir Toyo, Elizabeth Wong harus berundur kerana beliau sudah terpalit dan mencemarkan kerajaan dan Dewan Undangan Negeri, malah sudah pasti pengundi diwakili berasa amat malu dengan episod duka itu.
Apa yang berlaku itu juga adalah gambaran jelas betapa suara lantang Elizabeth Wong di sidang DUN dan kegigihan menggembleng penduduk dalam pelbagai isu seperti pada tunjuk perasaan ketika majlis pemansuhan kutipan Tol di PJ Selatan tempoh hari, sebenarnya menyembunyikan kegagalan beliau dalam menjaga dan menjunjung tinggi nilai murni akhlak dan perlakuannya.
Memang benar, ada perbezaan pandangan berkaitan soal akhlak di kalangan pelbagai kaum tetapi segala-galanya bertukar apabila seseorang muncul dan dipilih menjadi pemimpin. Setiap kelakuan dan kata-kata mereka diteliti daripada pelbagai aspek oleh pelbagai kaum .
Jika benar gambar bogel Elizabeth Wong itu diambil sebelum pilihan raya 8 Mac, maka jelaslah Anwar boleh disimpulkan ‘main tangkap muat’ saja bila memilih calon tanpa membuat saringan ketat.
Kini bukan saja ADUN terlibat malah PKR dan Anwar sendiri perlu menanggung bahang kecaman dari lumpur dikocakkan akibat penyebaran gambar bogel itu.
Janganlah pula salahkan dan menuduh BN yang menjadi punca masalah Elizabeth Wong ini.
Pokoknya Wong dan beberapa orang lagi wakil PKR di Kedah dan Perak telah gagal menjaga integriti diri mereka. Menjadi wakil rakyat sama dengan menjadi pemimpin. Menjadi pemimpin mestilah tahu menjaga integriti termasuk akhlak diri. Jangan tahu melalak menuduh orang itu dan ini tidak betul, tapi diri sendiri seperti ayam berkokok yang tahinya berjurai-jurai di punggung. - malaysiaaktif

No comments: