Sunday, February 8, 2009

Nizar, janganlah jadi keldai tunggangan Anwar



BASHIR AHMAD

8 Februari 2009



SEORANG teman menghantar SMS berbunyi:`` Dulu di Terengganu ada kes sembahyang 2 imam, kemudian sembahyang 2 masjid, sekarang ada 2 MB.''

Apa yang dimaksudkan sedang berlaku di Perak. Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak sebagai Menteri Besar yang baru, menggantikan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang dititahkan supaya meletakkan jawatannya bersama seluruh exco kerajaan Pakatan Rakyat.

Tapi Nizar enggan meletakkan jawatan dan masih tinggal di kediaman rasmi Menteri Besar. Bukan sahaja masih tinggal di kediaman rasmi MB, beliau juga memanggil mesyuarat `haram' exco Pakatan Rakyat yang sudah tidak boleh berfungsi lagi. Tidak berfungsi bukan sahaja tanpa perkenan Sultan Perak, tetapi kerana Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengisytiharkan bahawa seluruh jentera perkhidmatan awam negeri itu akan hanya menerima arahan daripada Dr. Zambry.

Menurut Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, perbuatan Nizam itu mengikut peruntukan Quan adalah penderhakaan.

Oleh kerana Nizar adalah dari Pas yang sentiasa mendakwa bahawa perlembagaan parti adalah Quran, maka tiada lagi sebab bagi beliau untuk enggan meletakkan jawatan Menteri Besar.

Jika di Thailand, sudah pasti Nizar akan menerima hukuman segera kerana menderhaka kepada Raja. Di Malaysia, apakah hukuman terhadap mereka yang menderhaka kepada Sultan?

Ada dua kemungkinan mengapa Nizar mahu terus menjadi Menteri Besar. Pertama mungkin kerana beliau sudah terlalu `syok' menjadi Menteri Besar, dengan kuasa besar, gaji besar dan segala macam kemudahan.

Kedua mungkin beliau mahu mematuhi arahan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak melepaskan jawatan itu sebagai satu taktik politik, sekalipun ia boleh mencetuskan keadaan tidak aman di negeri itu khasnya dan Malaysia amnya.

Boleh dipercayai bahawa arahan kepada Nizar itu berasal daripada Anwar Ibrahim, ahli politik yang sentiasa menggunakan taktik `kacau' sebagai cara untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa. Anwar telah menggunakan taktik revolusioner ini sejak zaman universitinya ketika mana beliau memimpin pergerakan mahasiswa.

Taktik menimbulkan kekacauan ini telah digunakan oleh kumpulan komunis dan sosialis di banyak negara untuk menjatuhkan kerajaan yang ada. Malah kecenderungan untuk menggunakan istilah `rakyat' oleh Anwar juga amat berbau komunis dan sosialis.

Anwar menamakan partinya sebagai Parti Keadilan Rakyat. Anwar juga menamakan pakatan pembangkang sebagai Pakatan Rakyat. Anwar juga memomokkan `ketuanan Melayu' dengan `ketuanan rakyat' yang diketuai oleh beliau dan Pakatan Rakyat.

Bukankah komunis telah menamakan China sebagai Republik Rakyat China? Begitu juga Korea Utara dinamakan Republik Demokratik Rakyat Korea. Perjuangan diktator-diktator terkenal dunia seperti Mao Tze Tung, Stalin dan Fidel Castro ditegakkan dan dicanangkan atas nama perjuangan rakyat. Apa bezanya perjuangan mereka dengan perjuangan Anwar sekarang?

Nampaknya perjuangan Pas sekarang lebih mirip kepada perjuangan golongan kiri. Jika tidak seluruh Pas, sekurang-kurangnya Nizar dan orang-orang Pas di Perak telah berada di bawah telunjuk Anwar, orang yang sentiasa menggunakan taktik kumpulan berhaluan kiri dalam sepak terajang politiknya. Lihat betapa ahli-ahli Pas telah merusuh di Kuala Kangsar keranan menentang pelantikan Dr. Zambry, sehingga beberapa orang daripada mereka sanggup menghalang kenderaan dengan berbaring di atas jalan raya. Sebilangan mereka juga membaling batu yang memecahkan beberapa kereta.

Ada satu teori kononnya Pas berada dalam Pakatan Rakyat kerana mahu `memperalatkan dan menunggang' Anwar. Tapi kini rakyat Malaysia hanya nampak bahawa Pas yang menjadi keldai tunggangan Anwar.

Kasihan Nizar, seorang jurutera yang berjiwa Islam telah menjadi keldai tunggangan Anwar, seorang ahli politik berfahaman kiri yang jika berkuasa nanti berkemungkinan besar menjadi diktator.

Kasihan Nizar, seorang Melayu yang juga menjadi keldai tunggangan DAP yang menguasai lebih banyak kerusi daripada Pas dan PKR di Perak (17 berbanding 6 Pas dan 5 PKR sekarang).

Nizar hanya boleh membebaskan dirinya dan Pas daripada belenggu Anwar dan DAP dengan menerima hakikat bahawa beliau bukan lagi Menteri Besar Perak dan segera mengosongkan kediaman rasmi yang dihuninya secara haram sekarang.

Dengarlah nasihat abang beliau Mohd. Radzi Jamaluddin sebagaimana yang dilaporkan oleh Mingguan Malaysia hari ini seperti berikut:

``Mohd. Radzi berkata, adik-beradiknya sememangnya bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas Mohammad Nizar tetapi memintanya menerima takdir Allah yang mempunyai hikmah di sebaliknya.''

Memang benar, apa yang berlaku adalah ketentuan Allah, Tuhan yang menentukan siapa yang berkuasa dan siapa yang kena turun kuasa. Kehidupan di dunia adalah tertakluk kepada ketentuan Allah, Tuhan semesta alam. Jika Nizar seorang yang beriman, tentulah beliau amat memahami hakikat ini. Jika Allah menghendakki beliau berkuasa semula, tanpa beliau berbuat apa pun beliau akan diangkat menjadi seorang yang berkuasa.

Lihatlah betapa Anwar sendiri yang telah memulakan permainan kotor dengan cuba mencuri ahli-ahli Parlimen BN untuk membentuk kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat. Apabila BN menggunakan taktik dimulakan oleh beliau sendiri, Anwar marah dan mengatakan apa yang berlaku tidak mengikut lunas undang-undang. Pada hal itulah ketentuan Allah yang sepatutnya menjadi renungan orang-orang yang beriman.

Jika kita tidak suka sesuatu dilakukan terhadap kita, janganlah mulakannya terhadap orang lain. Tapi Anwar yang gila kuasa melihat dia berhak melakukan apa sahaja yang dia suka demi mendapatkan kuasa. Malangnya sebilangan rakyat Malaysia percayakan silap mata beliau. Mereka termasuklah sebilangan besar ahli dan pemimpin Pas, termasuk Nizar.

Secara jujur cubalah Nizar bertanya diri sendiri. Adakah saudara pernah bermimpi untuk menjadi Menteri Besar? Penulis percaya bahawa saudara Nizar dulu tidak pernah bermimpi menjadi Menteri Besar Perak. Tiba-tiba keadaan melonjakkannya menjadi Menteri Besar walaupun Pas hanya menang 6 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Tidakkah semuanya itu berlaku atas ketentuan Allah? Samalah juga dengan Dr. Zambry yang pasti tidak menyangka beliau tiba-tiba menjadi Menteri Besar.

Pokoknya jika kita mahu mengubah kententuan Allah kembalilah kepada-Nya dengan jalan dan cara yang betul. Melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan huru-hara dan menyusahkan seluruh negeri dan rakyat adalah cara yang dilarang oleh Allah.

Ikutlah nasihat adik-beadik saudara. Itu adalah nasihat yang benar dan datang daripada hati orang-orang yang sahih menyayangi anda kerana pertalian darah.

Orang-orang seperti Anwar dan pemimpin-pemimpin DAP hanya menyukai anda ketika anda tunduk kepada kehendak mereka. - malaysiaaktif.com


No comments: