Wednesday, February 4, 2009

BN ambil alih pemerintahan Perak

PUTRAJAYA, -- Barisan Nasional memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Perak ekoran tindakan empat Anggota Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN, demikian diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, Rabu.Empat wakil rakyat itu terdiri ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, kedua-dua daripada Parti Keadilan Rakyat, ADUN Jelapang, Hee Yit Foong daripada DAP, dan ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim yang baru-baru ini menyertai PKR tetapi kembali semula kepada Umno, katanya."ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah maklumkan melalui surat kepada Sultan Perak mengenai tindakan mereka keluar dari parti masing-masing semalam manakala ADUN Bota kembali kepada Umno hari ini."Mereka telah beri mandat kepada saya untuk mencalonkan Menteri Besar dan memberi aku janji untuk menyokong Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN," kata Najib, yang juga Pengerusi BN Perak, dalam satu sidang akhbar.Berikutan perkembangan terkini, BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi, dan menurut Najib, walaupun BN mempunyai bilangan kerusi DUN sama banyak dengan Pakatan Rakyat tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil raktyat Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar daripada kalangan anggota BN."Sejajar dengan perkembangan ini, saya akan menghadap ke bawah Duli Paduka Seri Sultan Perak untuk memaklumkan secara rasmi bahawa Barisan Nasional Perak mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru di Perak," katanya.Najib berkata beliau akan menghadap Sultan Azlan Shah secepat mungkin dan nama calon Menteri Besar akan diumumkan dalam masa terdekat.Beliau berkata Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan jika Menteri Besar hilang keyakinan atau majoriti, beliau hendaklah meletak jawatan bersama anggota exconya.Najib berkata keempat-empat wakil rakyat itu telah memaklumkan kepada Speaker DUN Perak selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

No comments: