Wednesday, November 26, 2008

Fatwa yoga: Bersoraklah syaitan-syaitan di Malaysia

BASHIR AHMAD26 November 2008
FATWA mengharamkan yoga bagi umat Islam yang diumumkan oleh media pada Sabtu lalu telah menjadi isu besar. Akhbar membincangkannya melalui kenyataan dan komen-komen yang disiarkan, bukan sahaja dari mulut orang Islam tapi juga bukan Islam.Pada hari ini penulis meneliti kandungan Utusan Malaysia yang boleh dianggap sebagai suara Melayu dan masyarakat Islam. Tiada lagi berita atau rencana mengenai isu fatwa yoga. Tentu ada sebabnya Utusan Malaysia menghentikan polemik mengenai fatwa yoga. Sebaliknya isu tersebut masih mendapat perhatian besar akhbar The Star dan theSun, yang selalu ke depan dalam mengemukakan tuntutan dan pandangan bukan Islam.The Star yang semalam menyiarkan berita utama di muka depan berjudul Yoga Fatwa on hold (Fatwa yoga ditangguh), hari ini sekali lagi menjadikan isu tersebut berita utama muka depan dengan tajuk Rulers decide. Mesej tersurat yang The Star cuba sampaikan ialah fatwa tersebut belum muktamat dan setiap negeri hanya boleh mengharamkan yoga setelah diperkenan oleh Sultan atau Raja. Yang tersirat, Islam telah diperlekeh.theSun yang turut menjadikan isu tersebut bahan laporan utama di muka depan semalam dengan tajuk Yoga fatwa on hold, bagaimanapun mengendurkan sedikit perhatiannya pada hari ini dengan menyiarkan kenyataan MB Perak sebagai berita utama di muka 6 dengan tajuk Fatwa not a problem if royal consent given: MB.Sekadar maklumat latar, dua akhbar ini turut ke depan dalam menyiarkan pandangan pihak gereja di Malaysia yang menuntut hak menggunakan perkataan Allah dalam kitab-kitab agama Kristian.Peranan akhbar Inggeris dalam mengupas dan menjuarai isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam adalah satu fenomena baru. Ketara hanya pada zaman pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat telah memberikan ruang kepada perbincangan mengenai agama. Isu Inter Faith Council juga muncul pada zaman Abdullah dan mendapat tentangan hebat umat Islam.Melalui pengalaman, semua pengarang akhbar tahu bahawa isu agama amat sensitif dan perlu ditangani dengan penuh kewaspadaan kerana ia boleh membangkitkan kemarahan yang mudah menggoncang keamanan. Namun pada kebelakangan ini, kewaspadaan terhadap isu agama kelihatan tidak dipedulikan lagi. Kenapa The Star dan theSun cuba menjuarai perbincangan isu yoga? Ingin ditanya apakah motif pengarang-pengarang bukan Islam berkenaan? Jika perbincangan mengenai fatwa yoga dijuarai oleh akhbar berbahasa Melayu, ia adalah berbeza kerana khalayaknya boleh dikatakan orang Melayu yang beragama Islam walaupun sebilangan kecil pembaca adalah bukan Melayu. Apabila akhbar yang pengarang dan sebahagian besar pembaca dan kakitangan jabatan pengarangnya adalah bukan Islam, maka ia adalah satu perkara yang berbeza.Amat jelas suara yang mahu disampaikan oleh The Star dan theSun ialah fatwa mengenai yoga itu tidak munasabah dan wajar ditentang. Apa hak The Star dan theSun mahu menentang fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, iaitu pihak yang diberi kuasa oleh negara untuk mengeluarkan fatwa mengenai apa jua perkara yang berkaitan dengan umat Islam?The Star yang lebih ke depan daripada akhbar lain lebih banyak mengetengahkan pandangan yang mempertikai Majlis Fatwa Kebangsaan dan fatwa yoga yang dikeluarkannya. Akhbar ini antara lain memetik pandangan Sultan Selangor, Raja Muda Perak, Mufti Perlis dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.Natijah persoalan yang cuba dibangkitkan ialah kenapa yoga diharamkan sedangkan bab senaman tanpa membabitkan mantra dan meditasi (beratib) tidak menyalahi ajaran Islam? Majlis Fatwa Kebangsaan sudah pun menjelaskan bahawa pengharaman itu bertujuan supaya umat Islam tidak terjerumus ke tahap yang boleh menjejaskan akidah dengan mengamalkan yoga yang secara sistematik boleh menyebabkan pengamal secara tidak sedar beralih daripada senaman biasa ke tahap lebih tinggi yang mengandungi unsur ajaran Hindu.Umat Islam sepatutnya menerima secara terbuka dan ikhlas fatwa ini sebagai satu panduan demi kebaikan mereka, jika mereka mahu memelihara iman mereka. Banyak lagi senaman lain yang tidak melibatkan unsur agama boleh diamalkan. Kenapa yoga dijadikan isu? Barangkali ada unsur komersial kerana penentangan ini berpunca daripada kalangan yang menjadikan yoga sebagai sumber pendapatan. Atau ada udang yang lebih besar di sebalik batu, iaitu mahu memperlekeh Islam dan institusi-institusi Islam di Malaysia. Di manakah keutuhan agama Islam jika sebahagian umat Islam sendiri mempertikai perkara-perkara yang dilaksanakan hanya dengan tujuan demi memilihara kesucian Islam. Sungguh malang orang-orang seperti Mufti Perlis dan Nik Aziz turut diseret oleh The Star untuk mempertikai fatwa ini yang telah dibuat selepas kajian dan perbincangan yang halus dan panjang lebar? Jangan lupa pengumuman fatwa ini pernah ditangguhkan. Pasti ada sebab dan kewajarannya.Penulis percaya Mufti Perlis dan Nik Aziz amat memahami tentang sejarah bagaimana arak diharamkan bagi umat Islam. Sebelum larangan diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w, arak bebas diminum oleh umat Islam. Larangan diturunkan apabila seorang sahabat Rasulullah mengimamkan sembahyang dalam keadaan mabuk, menyebabkan tunggang-langgang solat jemaah yang dipimpinnya.Larangan yang diperintahkan bukan setakat tidak minum, tapi hendaklah menjauhi arak. Tidak pula larangan itu sekadar ``minum arak boleh, tapi haram sampai mabuk.''Dalam semangat yang samalah, penulis yakin Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengharamkan yoga. Walaupun ada bab yang tidak menyalahi agama, tapi ditakuti ada pengamal yang secara tidak disedari terlajak ke peringkat yang boleh merosakkan akidah. Tujuan fatwa itu ialah supaya umat Islam menjauhi sebarang bentuk senaman yang pada akhirnya boleh menjejaskan atau merosakkan akidah mereka, sama seperti menjauhi arak yang mengotorkan hati dan merosakkan fikiran.Dan penulis juga percaya bahawa bersoraklah syaitan-syaitan di Malaysia apabila fatwa mengenai yoga ini dipertikai termasuk oleh kalangan yang beragama Islam.Bertambah gempitalah sorakan syaitan-syaitan itu kerana kehidupan umat Islam di Malaysia boleh dicorakkan oleh bukan Islam, termasuk The Star dan theSun. Di manakah maruah umat Islam, termasuk Sultan dan Raja yang menjadi ketua agama negeri, apabila mereka dengan begitu mudah diperalatkan oleh puak yang mahu memperlekeh Islam sehingga akhirnya agama ini diragui oleh umatnya sendiri.Jika Sultan dan Raja mempunyai pandangan yang berbeza dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, bincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Jangan bincang dalam media terutama akhbar yang sahih tidak berjiwa Islam. Segala keputusan hendaklah disampaikan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak-pihak berkuasa agama dengan cara bijaksana.Semua orang tahu, termasuk bukan Islam, bahawa arak dan babi adalah haram bagi umat Islam. Tapi di Malaysia tiada pun sekatan kepada bukan Islam daripada minum arak atau memakan babi. Malah penternakan babi dibenarkan dan iklan-iklan arak disiarkan begitu kerap dan ketara oleh akhbar bukan Islam, terutama The Star dan theSun.Jika umat Islam membiarkan bukan Islam mencorakkan apa yang halal dan haram bagi mereka, di manakah letaknya martabat Islam sebagai agama rasmi dan agama majoriti penduduk Malaysia. Kelihatan proses itu sudah bermula. Satu benteng kekuatan iman telah roboh, dirobohkan oleh kelemahan umat Islam itu sendiri. - malaysiaaktif.com

Tuesday, November 25, 2008

Sisters In Islam atau Sisters Anti-Islam?

CUBIT-CUBIT24 November 2008
APA hal bising-bising fasal fatwa yang mengharamkan yoga bagi umat Islam. Fatwa sudah dikeluarkan setelah Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil masa yang panjang untuk mengkaji sama ada amalan yoga itu haram atau halal bagi umat Islam. Tidak mungkin fatwa itu akan ditarik balik, sekalipun banyak NGO yang menggunakan nama Islam membantah. Apatah lagi jika yang membantah itu NGO bukan Islam.Antara yang lantang ialah Sisters In Islam (SII), sebuah NGO wanita yang kononnya mewakili wanita Islam atau Muslimin. Ada-ada sahaja yang SII bantah. Dulu ia membantah fasal poligami, seolah-olah menuntut amalan itu diharamkan. Andainya SII layak memberikan fatwa, pasti sudah banyak benda yang haram dihalalkan dan yang halal diharamkan.(Lihat komen Sisters In Islam dalam Utusan Malaysia ) Maaf cakap. Ada satu hadis yang menyebut bahawa ramai penghuni neraka adalah wanita. Agaknya suka membantah hukum-hakam adalah salah satu sebab ramai wanita terjerumus ke dalam neraka, selain tidak taat kepada suami.Dalam soal fatwa mengenai yoga ini, apa perlu SIS bising-bising. Ikut sahajalah. Janganlah berhujah dari segi logik tentang kebaikan senaman yoga.Majlis Fatwa Kebangsaan pun telah menjelaskan bahawa bab senaman fizikal yoga adalah tidak bercanggah dengan ajaran agama. Yang majlis itu khuatir ialah apabila pengamal-pengamal yoga cuba meningkatkan amalan mereka dengan mencuba bab-bab yang melibatkan unsur-unsur rohaniah agama Hindu, termasuk mencari kedamaian melalui mantra dan meditasi untuk mencapai kesatuan dengan Tuhan. Apa yang ditakuti ialah kemungkinan pengamal-pengamal yoga dari kalangan penganut agama Islam ini merosakkan akidah tanpa sedar apabila mereka mengamalkan senaman budaya Hindu secara sistematik ke peringkat yang lebih tinggi. Persoalannya, adakah tanpa yoga ahli-ahli SII tidak mempunyai cara lain untuk menyihatkan tubuh badan dan akal fikiran? Setahu Si Keldai ada banyak bentuk senaman yang boleh dilakukan tanpa sebarang unsur yang melibatkan akidah. Malah orang-orang Melayu sendiri mempunyai amalan senaman tradisi yang wujud lebih lama daripada senaman aerobik yang diperkenalkan oleh Barat. Tanyalah orang-orang tua yang panjang umur. Pasti mereka mengamalankan senaman yang diwarisi daripada nenek-moyang dahulu. Orang Cina pula mewarisi senaman taici yang tidak melibatkan unsur-unsur kerohanian.Jika ahli-ahli SII masih mahu meneruskan amalan yoga, tepuklah dada dan tanya selera. Nah...berapa ramai yang mengaku Islam berzina dan minum arak, walaupun mereka tahu perbuatan itu adalah dosa besar. Ini adalah soal iman. Apa yang Majlis Fatwa Kebangsaan putuskan adalah satu panduan setelah melihat semakin ramai umat Islam, khususnya wanita terlibat dalam amalan ini. Jika fatwa tidak dikeluarkan, mungkin lebih ramai lagi yang akan menyertai kelas-kelas yoga. Sekiranya SII menganggap amalan yoga itu tidak bertentangan dengan kesucian agama Islam, teruskanlah beryoga.Tapi ingatlah betapa ketika Rasulullah s.a.w menyampaikan larangan meminum arak dulu, ada sahabat-sahabat yang sedang minum arak terus mencampakkan gelas minuman. Dan mereka tidak lagi mengulangi amalan jahiliah itu sampai mati. Mereka lakukannya tanpa soal atas dasar keimanan.Maka apa perlunya SII dan lain-lain NGO yang dianggotai orang Islam mempertikai fatwa mengenai yoga ? Nampak sangat mereka tidak memahami erti iman dan beriman. Orang yang beriman bukan sahaja tidak akan melakukan perkara yang sah haram, malah akan menjauhi perkara-perkara yang hanya berunsur was-was dan syak wasangka.Perbuatan SII hanyalah memburukkan imej Islam di kaca mata bukan Islam. Maka jika SII membantah, tentulah NGO-NGO bukan Islam akan teransang untuk membantah 10 kali lebih hebat.Jika SII mahu terus membantah, pakailah saja nama baru Sisters Anti-Islam.SI KELDAI

Tuesday, November 18, 2008

Suara ghaib di sebalik pengarang akhbar

Nasir Sukiman17 November 2008

INGAT lawatan mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair ke Malaysia, beberapa bulan lalu. Beliau telah memberi ucapan di sebuah majlis anjuran kerajaan.
Sebelum beliau pulang, mantan PM kita, Tun Dr Mahathir Mohamed mengadakan sidang akhbar dihadiri ramai wartawan tempatan dan luar negara.
Melihatkan gambar di salah satu blog, jelas wartawan yang hadir cukup ramai dan kecaman serta saranan Mahathir agar Blair dibicarakan sebagai penjenayah perang mendapat tempat esoknya.
Tetapi bukan di dalam dada akhbar-akhbar arus perdana tempatan mahupun akhbar kerdil. Media elektronik juga turut memulaukan liputan dan gambar sidang akhbar Mahahtir.
Mengapa? Semuanya tidak penting. Apakah tidak wajar Blair diheret ke Mahkamah Jenayah Dunia di The Haque kerana 16 perkataannyalah antara penyebab Iraq digempur tentera George W Bush.
(The British government has learned that Saddam Husssein recently sought significant quantities or uranium from Africa.- petikan buku WHAT HAPPENED Steve McClellan)
Kerana penipuan dan keceluparan Blairlah maka terhukum dan matinya Presiden Saddam Hussein dan musnahnya sebuah negara Islam.
Malang sungguh keadaan pada hari sidang akhbar dan malang juga bagi semua media yang tidak mempedulikan kenyataan negarawan agung kita, Dr Mahathir.Jika tidak silap antara yang menyiarkan kenyataan beliau itu adalah sebuah laman web akhbar Singapura.
Kesimpulannya, hampir semua media di Malaysia tidak berani atau diberitahu usah siarkan sebarang kenyataan bekas PM kita itu. Ada suara dan tangan ghaib yang berkuasa atau mabuk kuasa hingga tergamak dan nekad berbuat demikian.
Apa berlaku itu dicatat oleh Dr Mahahtir dalam blog beliau chedet.com. Dulu ketika menjadi PM selama lebih 22 tahun, semua kenyataan dan ucapan beliau dilaporkan secara menyeluruh , tetapi sejak Oktober 2003, keadaan tiba-tiba berubah. Bukan saja Dr Mahathir mula disekat oleh semua media tempatan, malah tulisan dan pandangan orang sekelilingnya seperti Datuk Mohd Noor Azam (setiausaha politik) pun dinyahkan daripada akhbar.
Khabarnya di Balai Berita, Kalimullah Hassan sendiri memastikan tulisan Noor Azam diteliti sebelum disiarkan. Akhirnya oleh kerana tidak mahu Noor Azam ‘marah’ dan merajuk, maka rencana beliau tidak jadi disiarkan. Maka sejak itu berkuburlah ruangan Cetusan Rasa yang ramai pengikutnya.
Siapa yang menghalang tersiarnya berita agar Blair diheret ke The Haque. Mungkin ada pengarang takut melanggar larangan daripada suara ghaib atau khuatir dipecat menyebabkan ansuran bulanan Mercedes tidak terlunas, ansuran bagi banglo tergendala atau bilik mandi RM10,000 tidak lengkap!
Tetapi hari ini, Dr Mahathir sudah pun mula mendapat tempat semula di dalam akhbar dan di kaca televisyen. Malah kenyataanya sudah diulas dan dipaparkan. Semuanya bukan secara kebetulan atau mengikut selera editor media terlibat. Kata ‘orang dalam’ ada arahan siarkan semula semua berita berkaitan Dr Mahathir, lagipun tinggal beberapa bulan saja lagi Pak Lah di Putrajaya dan ‘orang KJ” pula dah mula meninggalkan Balai Berita dan Chan Sow Lin.
Permainan politik seperti ini sebenarnya bukanlah baru. Pada 80-an dulu, kecoh ‘orang Musa Hitam’ nak ambilalih Balai Berita. Dua tiga nama disebut-sebut. Selepas tu, ‘orang Daim’ pula diselangseli dengan ‘geng Halim Saad'. Kemudian orang ‘orang Anwar Ibrahim’ pula yang merampas kuasa di Balai Berita dan di Chan Sow Lin!

Thursday, November 13, 2008

Pas Selangor tak habis-habis majlis sambutan

NASIR SUKIMAN13 November 2008
SEMPENA Aidilfitri memanglah wajar Pas di bawah gabungan Pakatan Rakyat menganjurkan jamuan.
Dulu UMNO pun tidak pernah melepaskan peluang mendekatkkan diri dengan masyarakat. Tetapi hari ini, Pas melangkah setapak lagi dengan menganjurkan pula majlis korban perdana sempena Aidiladha.
Kedua-duanya adalah acara berkaitan agama dicampur dengan kempen senyap-senyap Pas untuk menguasai masjid dan surau seperti didakwa Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhd Muhammad Taib.
Tetapi pokoknya benarkah dakwaan Muhd Taib itu? Mungkin di beberapa kawasan di Selangor ada pertukaran di kalangan AJK surau dan masjid, tetapi jangan lupa di bawah kerajaan UMNO ada masjid tidak menganjurkan mesyuarat agung sehingga 10 tahun.
Ini menyebabkan wujudnya AJK yang jumud dan pelbagai projek bermanfaat tergendala sehingga ada juga rancangan terbantut dan pentadbiran tidak licin.
Bagaimanapun pada mata kasar, dua perubahan jelas sejak Pas berkuasa. Pertama pensyarah dan khatib solat Jumaat yang pernah ‘digam’ dulu kini boleh berkhutbah serancak dulu.
Tema yang mereka bawa pun amat relevan dan tidak ada kena mengena dengan politik semasa. Malah kehadiran semula khatib dan imam berwibawa ini amat dinantikan.
Di sesetengah tempat pula, bekas imam yang diyakini sebagai pro kerajaan pun diberikan peluang berkhidmat semula, sekali gus menolak dakwaan imam UMNO diketepikan.
Sepatutnya menteri menegur ahli-ahli UMNO yang jarang ke surau dan masjid supaya mengubah sikap mereka dan sedia berjemaah.
Dalam soal ibadat tidak timbul ‘orang Pas' atau ‘orang UMNO' tetapi selama ini memang ramai orang politik yang tidak tahu melangkah ke surau dan masjid, seolah-olah mereka asyik mencari duit dan bermesyuarat.
Pas dan Pakatan Rakyat pun usahlah sejak Mac hingga kini sibuk dengan acara sambutan saja. Di manakah projek membantu peniaga kecil Melayu seperti di Ampang Jaya.
Ramai yang berselerak berniaga di gerai kecil, kedai sederet tidak bermaya. Bilakah mereka ini boleh dibela? - malaysiaaktif.com

Wednesday, November 12, 2008

Mahathir pura-pura tidak tahu

KOPITIAM TALK12 November 2008
MANTAN Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun pura-pura bertanya bagaimanakah Datuk Zaid Ibrahim termasuk dalam golongan peguam yang berpendapatan lumayan di negara ini sedangkan beliau tidak pernah membaca berita Zaid mempertahankan mana-mana kes jenayah yang bayaran guamannya besar..
Lalu Mahathir menyatakan kemungkinan pendapatan Zaid itu daripada menjalankan urusan berkaitan dengan kes-kes penswastaan kerajaan dan lain-lain keperluan “conveyancing” kerajaan. Masakan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Mahathir tidak tahu yang sebenarnya.
Tun Mahathir telah mengulas kenyataan Zaid yang mempertahankan bayaran ex-gratia RM5 juta kepada bekas ketua hakim negara kerana dibandingkan dengan pendapatan peguam terkemuka pun mencecah RM2 juta setahun.
Zahid telah mengusahakan pembayaran itu dengan restu Perdana Menteri Datuk Abdullah Badawi dalam konspirasi mereka untuk membalas dendam terhadap Mahathir.
Sebenarnya bukan semua firma guaman Melayu yang berpendapatan dua juta ringgit setahun kecuali firma-firma yang mempunyai cable dengan kerajaan. Zaid tidak mungkin mendapat peluang-peluang kerja guaman dari kerajaan jika beliau bukan orang UMNO.
Bagaimanapun setelah meletakkan jawatan Menteri, Zaid menyatakan “Ketuanan Melayu” tidak perlu.
Keadaan sama seperti Tun Mahahtir sendiri yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun menerusi tiket UMNO, tetapi kemudian hentam UMNO dan meninggalkan UMNO kerana marahkan Abdullah. Marahkan nyamuk kelambu dibakar.
Bezanya ialah Zaid sekalipun masih berada dalam UMNO, tetapi menggambarkan dirinya bukan orang UMNO. Mahathir pula sesudah keluar UMNO, tetap berdarah sejati UMNO, tidak lupa daratan dan tidak lupa ketuanan.
Zaid marahkan UMNO dan Mahathir kerana penyingkiran Anwar Ibrahim dari UMNO yang dengan itu melibatkan juga masa depan politiknya.
Bagaimanapun Perdana Menteri Abdullah telah memberikan semula tempat kepadanya atas nasihat menantunya Khairy, anaknya Kamaruddin dan beberapa orang lagi di `tingkat empat' untuk menjalankan misi khas tetapi ternyata senjata menikam diri. Apabila sesaorang yang dilantik tanpa berasaskan kepada akar umbi maka dia tidak memahami perasaan ramai.
Apabila Zaid membuat kenyataan-kenyataan yang melupakan asal usulnya setelah meletakkan jawatan sehingga ke tahap tidak dapat melihat faedah Ketuanan Melayu maka ternyatalah bahawa Abdullah Badawi telah melakukan satu lagi kesilapan politik besar yang menambah kemarahan orang kepadanya.
Perlu disebutkan bahawa Zaid juga adalah salah seorang pengasas Majlis Peguam Islam dengan tujuan untuk mencari populariti politik di kalangan orang Islam di negara ini ketika beliau memulakan karier politiknya..
Mungkin sekarang beliau juga berfikir tidak perlu lagi majlis itu baginya kerana tanpa Islam pun, dengan segala kekayaannya dia tidak sahaja boleh hidup di kalangan orang Islam tetapi boleh diterima dengan baik oleh kaum India dan Cina yang tidak beragama Islam.
Taraf pemikiran liberalnya adalah sejalan dengan Pak Lah yang nampak bahawa orang bukan Melayu pun berpeluang menjadi Perdana Menteri Malaysia berikutan dengan kemenangan keturunan kulit hitam Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Cuma Perdana Menteri Singapura Hsien Loong agak ketinggalan tetapi realistik apabila beliau tidak nampak orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Singapura untuk suatu jangka waktu yang lama. Tetapi Pak Lah membarakan harapan perkara itu kerana beliau menyatakannya dalam keadaan DAP mengharapkan Lim Kiat Siang menjadi Timbalan Perdana jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Orang bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini memerlukan lebih banyak manusia seperti Zaid Ibrahim yang lupakan tongkat sekalipun pernah bertongkat.MUNSYI ABDULLAH
KOMEN

Tuesday, November 11, 2008

Papan tanda: Kenapa Anwar membisu seribu bahasa?

KOPITIAM TALK10 November 2008KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim adalah seorang bekas pejuang bahasa, rakan karib kepada penulis dan sasterawan, pencinta dan pembaca sajak, menghayati dan menjiwai hasrat serta semangat pejuang-pejuang Bahasa Kebangsaan di negara ini.
Kejayaannya dalam pilihan raya lalu adalah disokong kuat oleh imejnya sebagai pejuang rakyat dan dengan itu beliau membawa bersamanya tidak sahaja harapan akar umbi bukan Melayu, tetapi perasaan dan hati nurani orang Melayu di akar umbi terutama di Pulau Pinang yang berada dalam perasaan terhina.
Yang ada pun pada orang Melayu di Pulau Pinang ialah simbol-simbol yang mendaulatkan kedudukan mereka seperti masjid dan kedudukan Bahasa Kebangsaan.
Adalah mengejutkan dalam soal yang berkaitan dengan kedaulatan sekalipun hanya merupakan simbol tidak diambil berat oleh beliau. Anwar membisu seribu bahasa terhadap langkah kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP untuk memasang tanda pelbagai bahasa di kawasan tapak Warisan di George Town.
Apakah sebagai Ketua Pembangkang beliau tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan sekutunya supaya jangan melakukan sesuatu yang boleh menghakiskan pengaruhnya sendiri (Anwar) di Pulau Pinang?

Tidakkah ini membayangkan sikap beliau sekiranya menjadi Perdana Menteri kelak.
Setelah kejayaan cemerlang parti pembangkang yang menghapuskan kuasa dua pertiga kerajaan Barisan Nasional, Anwar berazam untuk menggulingkan kerajaan BN dan menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Rakyat telah turut serta dalam keghairahan beliau ini dan sekalipun 16 Sepetember telah mencatatkan sejarah hitam dalam karier politiknya sebagai seorang yang tidak dapat menunaikan janjinya kepada mereka, namun sebahagian besar masih mempercayainya..
Sentimen politik, ketaksuban kepada kepimpinan dan kelemahan berfkir secara rasional, terpenaruh dengan karisma pemimpin, telah membutakan mata rakyat terhadap kemungkinan yang akan berlaku kepada kepentigan bangsa, agama dan negara jika Anwar Ibrahim menjadi Pedana Menteri.
Apakah beliau akan dapat mengawal sentimen dan dasar parti-parti yang meletakannya sebagai Ketua Pembangkang atau akan lebih mementingkan untuk membuat penyesuian bagi mengekalkan kuasa.
Tidak ada pejuang bahasa, tidak ada penulis dan sasterawan, tidak ada badan-badan bahasa yang sanggup melihat pencerobohan, penghinaan dan provokasi yang senghaja dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengisi sentimen penyokong-penyokongnya atau untuk kepentingan politik dengan menghina kedudukan Bahasa Kebangsaan.
Anwar Ibrahim seolah-olah langsung tidak merasai perasaan ini yang telah bergegar di seluruh negara termasuk di kalangan ahli-ahli partinnya sendiri..
Terlalu merendahkan taraf pemikirannya jika Anwar Ibrahim dianggap turut percaya dengan strategi DAP meletakkan tulisan jawi untuk menjustifikasikan penggunaan pelbagai bahasa lain di papan tanda di Pulau Pinang. Apakah tulisan rumi yang bersifat tulisan antarabangsa tidak difahami oleh kebanyakan pelawat luar negara yang memahami bahasa Inggeris.
Kenapakah DAP menggunakan tulisan jawi di papan tanda di Pulau Pinang sedangkan seorang anggota Parlimen DAP mahu menghapuskan tuklisan jawi di Bukit Bintang Kuala Lumpuir? Tidakkah ini menghina kemampuan berfikir orang Melayu?
Apakah Anwar Ibrahim membisu kerana beliau percaya kepada matlamat menghalalkan cara?
Semua ini adalah membayangkan kepada orang Melayu tentang dasar dan cara kepimpinan Anwar Ibrahim sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Sebagai seorang Melayu dan Islam, melihat kepada tindak tanduknya terutama selepas pilihan raya, saya yakin bahawa Anwar bijak sebagai seorang seniman jalanan untuk mencapai matlamat dengan menghalalkan cara tetapi dalam jangka masa cara dihalalkan, banyak sudah matlamat dan maruah yang berkaitan dengan dasar nasional dan keagamaan dihancurkan..
Saya bersukur Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008.MUNSYI ABDULLAH

Monday, November 10, 2008

Kaum minoriti mungkin jadi PM Singapura

Bernama9 Nov

SINGAPURA,-- Singapura, yang majoriti penduduknya berbangsa Cina, mungkin mempunyai perdana menteri daripada kaum minoriti suatu hari nanti, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.Bagaimanapun, perkara itu tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat, kata Lee pada sesi dialog bersama kira-kira 350 pemimpin peringkat akar umbi Melayu di sini semalam, yang dipetik oleh media tempatan.Lee menyatakan perkara itu apabila diminta mengulas keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini, yang menyaksikan Barrack Obama dipilih sebagai rakyat kulit hitam pertama menjadi pemimpin negara berkenaan."Bolehkah kita mempunyai perdana menteri bukan daripada bangsa Cina, seorang Melayu-Islam suatu hari nanti? Ini satu kemungkinan. Adakah ia akan berlaku tidak lama lagi? Saya tak fikir begitu kerana seseorang itu perlu menang dalam pengundian terlebih dulu," kata Lee.Beliau berkata wujud sentimen seperti siapa yang mengundi siapa dan kaitan yang wujud antara pemilih dan orang yang dipilihnya, yang tidak akan luput sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini, sekali pun mungkin ada pihak yang berharap perasaan ini tidak wujud lagi.Lee berkata kemenangan Obama tidak bermakna soal bangsa tidak lagi menjadi isu di Amerika Syarikat kerana keputusan pilihan raya itu menunjukkan bahawa calon Republikan John McCain meraih sebahagian besar undi daripada bangsa kulit putih, manakala Obama pula menerima undi daripada pengundi berbangsa Latin, Asia dan Afrika.Katanya, realiti yang wujud di Singapura ialah pola pengundian berasaskan kaum akan berkekalan.Beliau berkata walaupun keadaan hari ini amat jauh berbeza daripada yang wujud dua atau tiga dekad lepas, namun masih sukar untuk melihat wujudnya sesuatu jawatan yang bebas daripada sentimen bangsa dan agama.Bagaimanapun, katanya, pemimpin tempatan perlu lebih mengutamakan kepentingan nasional daripada kepentingan bangsa masing-masing.Inilah sebabnya, tidak wujud amalan di mana seseorang Anggota Parlimen dipilih bagi mewakili kepentingan bangsa masing-masing, seperti di Malaysia dan New Zealand, kata Lee.Menjawab soalan sama ada pemimpin tempatan menghadapi masalah untuk mengimbangkan kepentingan kaum masing-masing dengan kepentingan negara, Lee berkata: "Kalau dia berbangsa Cina, saya akan bertanya kepadanya adakah dia seorang rakyat Singapura yang kebetulan berketurunan Cina atau adakah dia seorang berbangsa Cina, yang kebetulan tinggal di Singapura?"Beliau berkata Singapura tidak sama dengan Malaysia kerana republik ini tidak mempunyai "kerajaan gabungan di mana terdapat parti Cina, parti Melayu dan parti India dan kemudian kita cuba mendesak dan melihat siapa yang mampu mendesak dengan lebih hebat".Singapura juga tidak berniat untuk menuju kepada sistem perwakilan berasaskan nisbah seperti yang diamalkan di New Zealand, di mana segelintir Anggota Parlimen yang dipilih bagi mewakili kaum Maori, boleh mengenakan harga setiap kali kerajaan ingin mendapatkan sokongan mereka, kata Lee."Saya rasa amalan ini tidak sesuai dengan Singapura. Di Singapura, apabila anda dipilih, anda perlu berfikir tentang kepentingan Singapura," katanya.Mengenai kesulitan mencari orang Melayu yang memiliki bakat kepimpinan, beliau berkata perkara itu sukar ditemui dalam semua kaum.Walaupun jumlah orang Melayu yang berbakat telah banyak bertambah berbanding sebelum ini, namun jumlah ahli profesional Melayu seperti doktor, peguam dan jurutera, masih kecil berbanding purata nasional, katanya.

Sunday, November 9, 2008

Shahrizat...jangan tunggu lama-lama

CUBIT-CUBIT8 November 2008
ADA satu lagu yang liriknya antara lain berbunyi:`` Jangan tunggu lama-lama...nanti diambil orang.''
Maka Si Keldai tujukan lagu ini kepada Shahrizat Abdul Jalil yang sudah mendapat 66 pencalonan bagi jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia, tapi masih membisu sama ada mahu bertanding jawatan itu atau mempertahankan jawatan Naib Ketua.
Khabarnya beliau mahu menunggu mesej yang lebih kuat melalui jumlah pencalonan yang lebih besar apabila sebahagian lagi Mesyuarat Wanita Bahagian berlangsung hujung minggu ini.
Setakat ini Rafidah Aziz mendapat 110 pencalonan. Jika mengambil kira bahawa Rafidah telah mengisytiharkan akan menyerahkan kuasa pimpinan sayap UMNO itu pada Jun tahun depan tapi 66 bahagian masih mahu mencalonkan Shahrizat, maka ia adalah satu mesej yang cukup jelas.
Apa yang Shahrizat tunggu lagi? Jangan tunggu lama-lama kerana seorang lagi tokoh pergerakan itu, Kamalia Ibrahim sudah mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia. Jika Shahrizat mengambil keputusan hanya akan mempertahankan jawatan Naib Ketua, maka bersedialah untuk dicabar oleh Kamalia.
Bagi jawatan Naib Ketua, Shahrizat memperoleh 98 pencalonan berbanding 51 pencalonan untuk Kamalia. Silap hari Kamalia akan menang kerana arus mahukan peralihan pucuk pimpinan dalam UMNO cukup jelas, apatah lagi Najib Tun Razak sudah menang jawatan Presiden tanpa bertanding.
Pencalonan terbanyak kepada Muyiddin Yassin bagi jawatan Timbalan Presiden memberikan isyarat bahawa pada keseluruhannya ahli-ahli UMNO condong untuk memberikan sokongan pemimpin yang berani bersuara selaras dengan angin peralihan yang bertiup kencang.
Jika Shahrizat enggan menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Ketua Wanita, ertinya beliau mengambil langkah yang menyongsang arus. Akhirnya Rafidah akan menang tidak bertanding dan Shahrizat akan terpaksa bertarung dengan Kamalia yang lebih awal lagi telah menunjukkan pendirian yang lebih tegas dan berani.
Rafidah menjanjikan akan menyerahkan jawatan Ketua Wanita kepada Shahrizat yang belum tentu dapat mempertahankan jawatan Naib Ketua. Apa jua alasan yang Rafidah berikan untuk mewajarkan peralihan kuasa pada Jun adalah dangkal kerana Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung pada Mac. Untuk apa Rafidah memegang kuasa hanya selama tiga bulan sebelum menyerahkan kepada orang lain sebagaimana yang dijanjikannya.
Maka dengarlah nasihat Si Keldai tua ini. Jangan tunggu lama-lama...nanti diambil orang.
SI KELDAI

Thursday, November 6, 2008

Pakatan blog propembangkang sudah berpecah

CUBIT-CUBIT6 November 2008

TIDAK banyak yang dilaporkan mengenai satu forum di Universiti Malaya baru-baru ini yang membincangkan masa depan media di Malaysia anjuran SSIG, sebuah bahagian di bawah Kementerian Penerangan.Ahli-ahli panelnya ialah Ahirudin Attan @ Rocky, penulis blog Rocky's Bru; Ketua Pengarang The Star, Wong Chun Wai; Presiden NUJ (Kesatuan Wartawan Malaysia) Norila Daud dan Bob Teoh dari portal berita Sin Chew Daily.Mauduk perbincangan ialah tiada kebebasan media di Malaysia kerana wujudnya banyak undang-undang yang menyekat kebebasan. Ahli-ahli panel sehati sejiwa menyuarakan perlunya undang-undang berkaitan dihapuskan. Selagi undang-undang ini wujud, apa perlunya ditubuhkan Majlis Media yang kerajaan cadangkan. Yang menariknya, salah seorang peserta kemudian bertanya: Adakah kebebasan media mempunyai kaitan dengan tadbir urus yang baik (good governance)?Bob Teoh memberikan jawapan yang pantas dan tepat. Katanya, di Singapura tiada kebebasan media tapi tadbir urusnya adalah yang terbaik. Sebaliknya di India ada kebebasan media, tapi tadbir urus negara itu semua orang tahu adalah tidak baik.Nah, jawapan Bob Teoh itu boleh dijadikan panduan yang baik untuk menentukan sama ada kebebasan media amat diperlukan di Malaysia. Yang amat ketara, Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkangnya sangat perlukan kebebasan media untuk menghentam dan meruntuhkan kerajaan BN.Jika anda masih belum pasti jawapannya, mungkin Ahirudin @ Rocky boleh membantu dengan jawapannya kepada seorang pemblog bernama Mahaguru yang turut hadir dan bertanya. Soalan Mahaguru yang dilontarkan kepada Rocky lebih kurang bermaksud: perlukah pemblog tidak memihak kepada mana-mana parti dalam menulis hal-hal politik?Sebelum bertanya Mahaguru menjelaskan bahawa sebelum pilihan raya 8 Mac lalu, beliau adalah penyokong PKR. Sekarang bagaimana? Beliau tidak menjelaskan tapi di hati kecil Si Keldai berkata, barangkali Mahaguru tidak lagi dengan PKR.Selayang fikir, pertanyaan Mahaguru itu bunyinya terlalu bahlul. Dua kali fikir, barulah Si Keldai dapat menangkap maksudnya. Rupa-rupanya beliau ingin kepastian sama ada pendirian Rocky juga sudah berubah.Rocky menjawab, sebelum dan semasa kempen PRU 12 itu, kesemua kira-kira 60 orang pemblog yang bergabung di bawah pakatan Bloggers United yang diketuainya adalah propembangkang. Beliau mengakui keadaan sekarang sudah berubah. Lalu Rocky menyimpulkan bahawa pada idealnya memang elok molok tidak memihak, tetapi jika mahu memihak terpulanglah kepada diri masing-masing. Tepuk dada dan tanya selera.Bagi Si Keldai kata-kata Rocky itu adalah satu jawapan yang jujur. Bloggers United yang boleh diterjemahkan sebagai Pemblog Bersatu, sekarang sudah berpecah haluan. Ada yang masih sokong pembangkang, tapi ada juga yang sokong parti-parti BN. Rocky berada di mana? Jika anda tidak dapat meneka jawapannya, lebih baiklah anda jadi keldai.Khabarnya Rocky juga sedang merancang untuk membina satu portal berita. Ala Malaysiakini, Malaysia Today, Agenda Daily atau Malaysian Insider? Oleh kerana kerja ini memerlukan modal, juga ingin ditanya siapa rakan kongsi Rocky? SI KELDAI

Tuesday, November 4, 2008

Kemenangan Hamilton isyarat kejayaan Obama?

CUBIT-CUBIT3 November 2008

IZINKAN Si Keldai ini beralih angin dari dalam negara ke perkembangan di seberang laut.Jika anda peminat sukan lumba kereta, anda pasti sudah mengetahui bahawa Lewis Hamilton melakar sejarah sebagai pelumba bukan kulit putih yang pertama menjadi juara dunia Formula One.Hamilton dari Britain dan berdarah kacukan. Walaupun media berbahasa Inggeris merujuknya sebagai `black driver' tapi hakikatnya kulit beliau tidaklah hitam. Warna kulitnya seakan sawo matang.Kemenangan Hamilton mencatat sejarah bukan sahaja kerana beliau bukan berkulit putih seperti juara-juara sebelumnya, malah beliau adalah juga juara paling muda pada usia 23 tahun.Dalam masa yang sama dunia juga sedang memerhatikan seorang lagi yang berketurunan kacukan dan berwarna kulit sama dengan Hamilton.Siapa tidak kenal Barack Obama, calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Democrat yang nasibnya akan diketahui dua hari lagi dalam pelihan raya dengan calon kulit putih dari Republican, John McCain. Ini juga perlawanan antara orang muda dan orang tua. Obama berusia 47 tahun, manakala McCain 72 tahun.Andainya Obama menang, maka beliau juga akan mencatat sejarah sebagai Presiden AS bukan kulit putih pertama.Adakah kemenangan Hamilton di litar Brazil boleh dilihat sebagai pembayang kepada apa yang akan berlaku di Amerika? Jika para pengundi di Amerika melihat kemenangan Hamilton sebagai petanda atau isyarat, maka akan tercatatlah dua sejarah dunia dalam tempoh selang beberapa hari sahaja. Yang ingin diketahui, jika menang, adakah angka majoriti kemenangan Obama kecil atau besar. Hamilton menang tipis apabila beliau berjaya menduduki tempat kelima dalam perlumbaan pagi ini. Jika Hamilton menduduki tempat keenam, gelaran juara dunia 2008 pasti milik pelumba kulit putih Brazil, Felipe Massa yang memenangi perlumbaan di negaranya itu.Jika berlaku perubahan di litar F1 dan di White House, apakah lagi perubahan yang akan berlaku di dunia ini? Yang pasti umat manusia sejagat akan berhadapan dengan perubahan iklim ekoran pemanasan bumi yang merupakan ancaman nombor satu kepada kesejahteraan dan survival seluruh makhluk di planet biru ini.Di Malaysia, bagaimana pula?

Sunday, November 2, 2008

Berita perkahwinan lebih menyenangkan

CUBIT-CUBIT2 November 2008
KETIKA pergolakan politik yang tidak menyenangkan masih menjadi sajian akhbar saban hari, berita perkahwinan anak lelaki ADUN Pas Sungai Abong, Johor Dr. Sheikh Ibrahim Salleh dengan anak perempuan ADUN BN Bukit Bunga, Kelantan Mohd Adhan Kechik amat menyenangkan.
DR. SHEIKH Ibrahim Salleh (kiri) dan isteri, Dr. Salmah Bahari (kanan) serta Mohd. Adhan Kechik (dua dari kiri) bergambar bersama pasangan pengantin iaitu Salleh dan Ernie Muneerah pada majlis perkahwinan anak mereka di Muar, semalam.
Harapan Si Keldai, semoga ia membuka pintu cahaya di zaman kemuraman yang menyelubungi umat Islam akibat suasana politik sekarang.Kata orang, perkahwinan bukan sekadar ikatan antara dua sejoli, tetapi juga menaut silaturrahim dua keluarga.Pada 30 Oktober lalu di Pakistan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dikahwinkan dengan seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia empat. Polis menyerbu majlis perkahwinan itu kerana undang-undang di Pakistan melarang perkahwinan remaja berusia di bawah 18 tahun.Adalah jelas kenapa berita perkahwinan itu mendapat liputan hangat seluruh dunia. Namun kata bapa kanak-kanak lelaki itu, mereka dikahwinkan bagi menyelesaikan pertikaian antara dua keluarga.Tidaklah Si Keldai berharap sangat perkahwinan anak ADUN Pas dan UMNO akan menyelesaikan pertikaian antara dua parti Melayu ini, tapi ia sekurang-kurangnya membayangkan betapa dalam beberapa hal kedua-dua pihak juga boleh mengetepikan perbezaan politik.Alangkah baiknya jika kedua-dua ADUN itu mengundang pucuk pimpinan parti masing-masing ke majlis yang mulia ini.Namun begitu, ingin juga dicatatkan bahawa Mingguan Malaysia 2 November 2008 yang menyiarkan gambar dua wakil rakyat itu berdiri sebelah menyebelah bersama pasangan pengantin, turut menyiarkan berita Presiden Pas, Hadi Awang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri Selangor melantik Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Pebadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). SI KELDAI