Wednesday, July 16, 2008

Siapa pemenang Debat Shabery-Anwar?

Bashir Ahmad
16 Julai 2008


TIADA siapa yang tewas dalam Debat Shabery - Anwar yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 9 malam 15 Julai 2008.

Kira-kira 200 orang berada di dewan debat. Difahamkan setiap pihak boleh membawa 50 penyokong, manakala yang lain adalah jemputan biasa. Setiap kali pendebat mengemukakan hujah yang dianggap bernas, para penyokongnya akan bersorak. Apa yang berlaku, jumlah sorakan boleh dikatakan hampir sama banyak.

Pengerusi debat Datuk Johan Jaafar berjaya mengawal ketenteraman dengan memperingatkan pendebat-pendebat sebelum sesi sejam bermula supaya tidak keluar tajuk. Para penyokong pula diminta mengawal emosi kerana sebarang luahan perasaan di luar kawalan akan mengganggu urusan rakaman kerana debat anjuran AgendaDaily itu disiarkan secara langsung oleh TV9, Astro Awani, Bernama TV dan siaran tertangguh TV3.

Di luar pekarangan Dewan Bahasa, di pintu masuk, kira-kira 30 orang penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdemo memperotes kenaikan harga minyak. Tiada insiden buruk berlaku kerana kehadiran polis sangat ketara. Setiap orang yang memasuki dewan tempat berlangsung debat terpaksa menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum dibenarkan masuk. Hanya pembawa kad jemputan sahaja dibenarkan masuk.

Sebelum debat bermula, Anwar Ibrahim kelihatan kurang tenang ketika berdiri di belakang rostrum. Entah apa yang difikirkannya selama dua tiga minit. Selepas seketika, barulah beliau kelihatan selesa dengan suasana.

Shabery Cheek tampak selesa dari mula. Sesiapa yang sebelum ini meragui kemampuan Menteri Penerangan yang baru ini untuk berhadapan dengan Anwar telah membuat kesimpulan yang silap. Barangkali mereka belum mengenali Shabeery. Kini berjuta-juta penonton TV telah mengenali Shabery.

Shabery boleh bercakap dan berhujah. Jika sebelum ini beliau menyatakan kesediaan untuk disingkir daripada jawatan menteri kabinet jika gagal, jelas sekali bahawa jawatan Menteri Penerangan akan terus kukuh dalam genggamannya. Shabery yakin diri dan Shabery menang!

Debat ini telah menonjolkan Shabery ke khalayak umum. Beliau semakin terkenal sebagai menteri, ahli politik dan pendebat. Tentu masa depannya dalam UMNO semakin cerah. Bosnya Pak Lah tentu gembira kerana Shabery telah berjaya menyampaikan mesej mengenai kenaikan harga minyak mengikut kacamata kerajaan. Malah Shabery ketika menggulung hujah sempat menyatakan bahawa kehadiran Anwar bersamanya untuk berbahas selama sejam dan buat pertama kali mendapat liputan langsung TV di seluruh negara, adalah bukti kerajaan Pak Lah terbuka.

Anwar juga tidak kalah. Sejak tahun 1998, bekas Timbalan Perdana Menteri ini tidak pernah mendapat peluang untuk menonjolkan dirinya semula melalui TV. Beliau mendapat kesempatan untuk mengumumkan bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah hari ini, esok harga minyak akan turun sebanyak 50 sen.

Pemimpin de facto PKR itu bukan sahaja dapat mengumumkan `harga minyak Pakatan Rakyat' tapi juga dapat menjelaskan bagaimana ia boleh dilakukan tanpa membebankan perbendaharaan negara. Sama ada pendengar boleh menerima penjelasannya, adalah soal lain. Jika anda penyokong pembangkang, sudah pasti anda akan menerima bulat-bulat apa yang Anwar lontarkan. Jika anda penyokong kuat kerajaan, sukar bagi anda untuk menerimanya.

Untuk mengetahui penjelasan dan hujah siapa yang lebih banyak diterima, kita kena bertanya kepada kumpulan atas pagar.

Di rumah penulis lalu bertanya kepada isteri yang turut menonton debat itu melalui TV. Si isteri adalah suri rumah sepenuh masa dan belum sekalipun pernah mengundi dalam pilihan raya. Senang cakap, beliau tidak ambil pusing sangat soal politik. Beliau menonton debat itu sampai habis kerana mahu memahami apa yang sebenarnya berlaku di sebalik kenaikan harga minyak dan penstrukturan semula sibsidi bahan api.

Penulis yang baru pulang dari Dewan Bahasa dan Pustaka terus bertanya - siapa yang menang?

Jawab si isteri:``Dua-dua boleh diterima. Ada perkara yang Anwar cakap masuk akal dan Shabery juga begitu.''

Nampaknya tiada siapa yang kalah. Semua menang.

Bagi Shabery, debat itu memberikan kemenangan peribadi yang paling besar. Kini semua orang sekarang kenal siapa Shabery Cheek.

Bagi Anwar, beliau pertama kali sejak sekian lama mendapat peluang untuk bercakap serentak kepada berjuta-juta rakyat Malaysia. Anwar cuba menggunakan kesempatan itu sepenuhnya. Perkataan `rakyat' yang merupakan klise politiknya diulang berkali-kali.

`` Jangan susahkan rakyat...kita mesti tolong rakyat.''

Sasarannya ialah golongan berpendapatan rendah yang dipercayainya menjadi tulang belakang sokongan kepada Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan Rakyat pada pilihan raya 8 Mac lalu. Beliau cuba memperkukuhkan dirinya dan pengaruh partinya di kalangan golongan berpendapatan rendah yang selalu diistilahkannya sebagai `rakyat'.

Para penyokong Anwar yang hadir di Dewan Bahasa, boleh dikatakan majoriti orang PKR. Tidak nampak wajah Pas yang dikenali dan tentulah tiada laungan `Allahuakhbar.'

Anwar juga sempat melaungkan beliau sekali lagi menjadi mangsa fitnah setelah berkali-kali difitnah. Ketika itu kedengaran pekikan ``sumpah Quran'' dari kelompok penyokong kerajaan. Tidak kurang 10 orang Ahli Parlimen dan Adun UMNO yang hadir. Antara mereka ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Khairy Jamaluddin.

Apabila debat selesai, mereka yang keluar untuk pulang disambut oleh kumpulan demo anak-anak muda PKR yang berbaris di seberang pintu masuk Dewan Bahasa. Mereka berpekik``turunkan harga minyak...Pak Lah berhenti.''

Buat apalah mereka terus berdemontrasi. Anwar sudah pun diberikan peluang yang sangat luas untuk menuntut penurunan harga minyak dan hujahnya telah didengari berjuta-juta rakyat Malaysia. Demo jalanan membantah kenaikan harga minyak tidak perlu lagi. Anwar dan Pakatan Rakyat perlu membatalkan segala bentuk demo.

Kalau Pakatan Rakyat terus berdemo, itulah tandanya bahawa mereka jahat kerana menggunakan cara yang keras untuk memaksa orang lain supaya menerima kehendak mereka. Ini tidak demokratik. Suara mereka sudah didengari sejelas-jelasnya. Anwar sudah bercakap ke seluruh negara malam tadi.

Terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat pertimbangan. Jika kerajaan berasa apa yang sedang dilaksanakan adalah betul, maka tiada perubahan akan dilakukan. Sekiranya Anwar dan sekutunya masih tidak puas hati, tunggulah pilihan raya umum akan datang supaya rakyat yang benar-benar membuat keputusan. Jangan terlalu rakus dan gelojoh. Bersabarlah sebagaimana yang Allah tuntut dalam Quran. Jangan cuba mengetepikan takdir Allah. Buruk padahnya. - malaysiaaktif.com

No comments: