Wednesday, July 9, 2008

Bukti rakyat tolak Anwar

Utusan Malaysia7 Julai 2008
MELAKA - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jumlah mereka yang hadir menyertai 'Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun' anjuran pakatan pembangkang di Kelana Jaya semalam, membuktikan rakyat menolak sokongan kepada pembangkang terutamanya terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, sasaran pembangkang yang meramalkan seramai satu juta orang menyertai perhimpunan itu ternyata meleset, sekali gus menggambarkan sokongan rakyat kepada penasihat PKR itu semakin berkurangan.
Menurutnya, rakyat telah sedar bahawa keamanan, keselamatan dan pembangunan negara lebih penting daripada menyokong perjuangan seseorang individu yang belum tentu arah tujuannya.
''Daripada penganjuran perhimpunan tersebut yang tidak mendapat sambutan orang ramai itu, jelas menunjukkan 'sengat' Anwar Ibrahim semakin berkurangan," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai penganjuran 'Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun' membantah kenaikan harga minyak anjuran pakatan pembangkang yang gagal meraih sasaran yang diharapkan oleh mereka.
Selain itu, kata Mohd. Ali, orang Melayu perlu berhenti daripada menjadi alat kepada parti pembangkang khususnya DAP yang secara jelas menggunakan PKR untuk mencapai objektif yang dirancang oleh parti itu.
''Orang Melayu jangan jadi seperti 'menang sorak kampung tergadai' mengikut peribahasa orang lama-lama.
''Itulah sebenarnya yang diperjuangkan oleh PKR dan Anwar Ibrahim, mereka ingin juara sorak, tetapi pada masa yang sama, kampung (tanah air) tergadai," katanya.

No comments: