Thursday, July 17, 2008

Debat Shabery-Anwar jadi perintis

Bernama17 Julai 2008

KUALA LUMPUR -- Debat awam seperti yang melibatkan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lepas dilihat sebagai satu kemajuan yang merintis jalan membentuk budaya politik baru ke arah menambah baik falsafah pengurusan negara.Daripada sambutan dan reaksi rakyat terhadap debat Shabery-Anwar yang berkisar kepada kenaikan harga minyak, perbahasan terbuka seperti itu mungkin satu permulaan kepada lebih banyak debat seumpamanya.Namun, ada pihak berpendapat bahawa sesetengah isu memerlukan perbincangan secara terbuka manakala ada juga menganggap sesetengah perkara itu sukar dibahas secara terbuka kerana ianya sensitif dan lebih kompleks."Debat ialah sebahagian daripada demokrasi yang matang dan kita harus bergerak ke arah itu," kata penganalisis politik Khoo Kay Peng.Katanya perbahasan seperti itu akan membolehkan ahli politik membincangkan dasar dan pendekatan dalam menangani pelbagai isu.Pengatur strategi DAP, Liew Chin Tong, berkata rakyat Malaysia perlu menerima debat sebagai sebahagian daripada proses politik setelah ianya dipelopori di Amerika Syarikat pada tahun 1960 apabila John F. Kennedy dan Richard Nixon muncul dalam debat presiden yang pertama disiarkan menerusi televisyen."Kita mengambil masa 50 tahun untuk mengambil langkah serupa. Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Ahmad Shabery tetapi saya khuatir sama ada keterbukaannya itu dapat diterima oleh ahli parti yang lebih berpendirian keras," katanya.Ahmad Shabery sendiri berharap debat akan menjadi satu budaya dalam arena politik Malaysia."Saya menerima banyak komen, ada yang sokong dan ada yang marah, tapi ini biasalah. Yang penting ialah sama ada kita akan menjadikan debat ini sebagai satu perkara tetap dalam sistem politik kita," katanya.Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya memberi sokongan, dengan berkata kerajaan sedia menimbang membenarkan debat mengenai isu semasa, setelah kajian dibuat mengenai kesan daripada debat Shabery-Anwar itu.Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata penyertaan seorang menteri kabinet dalam debat seperti itu merupakan satu era baru dalam dasar keterbukaan kerajaan."Ini membuktikan kerajaan ini ikhlas dan kita dapat menunjukkan dasar-dasar kita kepada rakyat," katanya.-- BERNAMA

No comments: