Tuesday, December 9, 2008

PM nafi pelan peralihan kuasa Mac depan akan berubah

Utusan Malaysia9 Dis 2008
Oleh AMRAN MULUP dan ARSHAD KHAN
KUALA LUMPUR . – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa akan berlaku perubahan dalam pelan peralihan kuasa yang dipersetujui dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac depan.
Abdullah berkata, semua perkara yang dipersetujui antara beliau dengan Najib sebelum ini tidak akan berubah dan beliau akan berpegang kepada pelan berkenaan.
Justeru, Perdana Menteri meminta semua pihak agar tidak lagi menimbulkan sebarang persoalan atau khabar angin berhubung pelan peralihan kuasa itu.
“Tidak perlu timbulkan perkara-perkara ini... yang tetap itu tetaplah,” katanya ketika mengulas kenyataan beberapa penulis blog termasuk bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa wujud kemungkinan Abdullah hanya akan menyerahkan jawatan Presiden UMNO kepada Najib dan bukannya jawatan Perdana Menteri.
Abdullah bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau sebelum ini pernah menyatakan akan menyerahkan tugas-tugas Perdana Menteri kepada penggantinya beberapa hari selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO yang ditetapkan pada 24 hingga 28 Mac depan.
Abdullah berkata, beliau memerlukan sedikit masa selepas perhimpunan tersebut untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum menyerahkan jawatannya itu kepada Najib.
Mengulas mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan pada Januari depan, beliau yang juga Pengerusi BN berkata, beberapa pemimpin BN telah memberikan pandangan masing-masing berhubung pilihan raya kecil itu.
Katanya, calon BN daripada parti UMNO akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut Perdana Menteri, BN yakin akan dapat mengekalkan kerusi di kawasan Parlimen berkenaan yang dimenangi dalam pilihan raya umum Mac lalu.
Selain itu, katanya, konvensyen BN akan diadakan pada Februari depan seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.
Pada peringkat ini, ujar Abdullah, semua parti komponen BN sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak sebelum membawa isu-isu masyarakat ke konvensyen berkenaan.
Katanya, walaupun tidak banyak yang diperkatakan mengenai konvensyen itu ketika ini ia tidak bermakna konvensyen itu dilupakan.
Beliau juga memberitahu, pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini beberapa perkara sensitif turut dibangkitkan tetapi ia tidak boleh didedahkan.
Katanya, adalah menjadi perkara biasa Dewan Tertinggi BN berbincang mengenai semua jenis isu.
KOMEN

No comments: