Sunday, August 24, 2008

Sokongan pengundi kepada Anwar menipis

Bashir Ahmad24 Ogos 2008

AKHBAR Cina paling laris dan berpengaruh di Utara Semenanjung, Kwong Wah Yit Poh melaporkan dalam berita utama di muka depan pada 24 Ogos 2008, majoriti undi yang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan peroleh pada hari pengundian 26 Ogos ini adalah sekitar 3,000 sahaja.Menurut akhbar tersebut, pada hari penamaan calon 16 Ogos lalu, Anwar diramalkan akan memperoleh majoriti 15,000 undi.Unjuran terbaru yang menggambarkan kemerosotan sokongan kepada Anwar itu dibuat berdasarkan pandangan yang dikutip daripada pelbagai pihak dengan mengambil kira dua faktor utama -- kempen kuat BN dan ramai pengundi muda yang menyokong Pakatan Rakyat dijangka tidak pulang ke Permatang Pauh pada hari mengundi.Para pemerhati politik yang ramai berkerumun di Permatang Pauh menjelang hari pengundian, dapat melihat betapa sengitnya kempen pilihan raya kecil ini. Bagi Anwar ia adalah survival politiknya, bukan sekadar memburu cita-cita untuk ke Putrajaya bagi menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam. Jika tewas karier politiknya juga akan kelabu. Betapa terdesaknya Anwar hinggakan beliau sanggup memberikan cerita ekslusif kepada Kwong Wah Yit Poh mengenai teori perkataan Rahman yang dipercayai oleh ramai orang, khususnya di kalangan kaum Cina sebagai bayang nama-nama Perdana Menteri sejak Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Mahathir, Tun Hussein Onn dan selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Anwar dengan harapan teori barunya akan dipercayai oleh para pengundi Cina telah menegaskan bahawa perkataan Rahman sepatutnya dieja sebagai Rahmaan dalam ejaan rumi Bahasa Melayu, mengikut tajwid bacaan al-Quran. Maksud beliau, jika berdasarkan ejaan Rahmaan, maka beliaulah yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana namanya bermula dengan huruf A. Mereka yang mempercayai teori Rahman ini sebelum ini beranggapan Datuk Seri Mohd Najib akan menjadi Perdana Menteri kerana huruf n menyusul selepas huruf a (Abdullah).Pilihan raya kecil Permatang walaupun menampilkan pertandingan antara Anwar dan Datuk Arif Shah (calon BN), ramai yang melihatnya sebagai pertembungan antara Anwar dan Najib yang menjadi Pengarah Pilihan Raya BN dan bakal Perdana Menteri apabila Abdullah Ahmad Badawi berundur pada pertngahan 2010.Jika Anwar tewas, bukan sahaja cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri, malah masa depan karier politiknya dan Pakatan Rakyat amat terjejas. Sebab itulah Anwar, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP bekerja cukup keras. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz yang kurang sihat turut hadir bersama Anwar pada hari penamaan calon untuk menampakkan sokongannya kepada tokoh politik yang sedang menghadapi tuduhan liwat.Isu aduan liwat Mohd Saiful menjadi serangan utama terhadap Anwar yang sehingga kini enggan bersumpah laknat untuk menafikan dakwaan bekas pembantunnya. Selepas Saiful bersumpah laknat dan mencabar Anwar melakukan perkara yang sama, Penasihat PKR itu cuba mengelak dengan menyatakan ramai ulama menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian kerana tiada tuntutan dari segi syariat.Keengganan Anwar untuk bersumpah dibaca sebagai `tidak berani' bersumpah kerana takut dilaknati. Pada hari ini muncul pemidang kecil di merata ceruk yang memuatkan gambar Saiful sedang bersumpah, lafaz sumpahnya dan tajuk besar ``Saiful Bersumpah.'' Tujuan dan mesej poster ini sangat jelas.

No comments: