Sunday, June 1, 2008

Pak Lah terima Ezam, MT UMNO belum tentu

Bashir Ahmad
31 Mei 2008
SELEPAS Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan keluar daripada UMNO, pengumuman Mohamad Ezam Mohd. Noor untuk kembali ke UMNO menjadi berita politik utama dalam akhbar.
Apabila Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut hadir dan berkata bahawa permohonan Ezam telah diterima, akhbar melaporkan seolah-olah bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu secara automatik sudah menjadi ahli UMNO semula.
Tiba-tiba Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencelah bahawa permohonan Ezam mestilah dibawa kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO terlebih dulu untuk dibincangkan sama ada boleh diluluskan atau tidak.
Menjadi persoalan apakah maksud sebenar Pak Lah apabila beliau berkata bahawa ``permohonan Ezam telah diterima." Adakah beliau bermaksud bahawa beliau telah meluluskan permohonan Ezam atau beliau telah menerima borang permohonan Ezam? Jika maksud beliau permohonan Ezam diluluskan, maka jelas bahawa kenyataan Muhyiddin itu bertujuan untuk membetulkan kenyataannya.
Tidak menghairankan jika Muhyiddin berniat untuk menegur Pak Lah secara terbuka kerana selepas 8 Mac 2008 (PRU 12), beliau adalah salah seorang pemimpin UMNO yang sangat berterus terang dalam memberikan pandangan, sekalipun dilihat boleh menyinggung perasaan banyak pihak, termasuk bos politiknya Pak Lah.
Namun kenyataan Muhyiddin kemudiannya telah disokong oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menegaskan bahawa kedudukan permohonan Ezam hanya boleh diputuskan oleh MT UMNO.
Dalam kenyataannya semalam, Najib juga mengakui bahawa ada dua reaksi di kalangan ahli-ahli UMNO terhadap permohonan Ezam untuk kembali ke UMNO, parti yang pernah dikutuknya habis-habisan semasa berada dalam PKR bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada yang menyokong dan ada juga yang tidak bersetuju. Cuma tidak diketahui puak mana yang lebih ramai.
Mudah difahami alasan mereka yang bersetuju. Ketika UMNO berada dalam keadaan yang goyah selepas PRU 12, kemasukan semula seorang tokoh muda yang boleh dikatakan berkaliber adalah ibarat menyiram sedikit air kepada sebatang pokok di musim kemarau. Apatah lagi si pemohon itu adalah bekas orang kuat Anwar yang kini menjadi musuh utama kepada pemimpin-pemimpin UMNO, terutama sesiapa jua yang menjdi presiden.
Jika sekalipun tidak menyerlahkan kesan positif lain yang segera, setidak-tidaknya ia menghasilkan kemenangan moral. Betul Ezam telah keluar daripada PKR sebelum memohon semula untuk kembali ke UMNO, tetapi ketika perang psikologi semakin kuat antara Anwar dan UMNO, kemasukan semula Ezam memberikan markah kepada Pak Lah.
Sebab itulah Pak Lah yang berkeadaan paling tertekan sekarang untuk mempertahankan kedudukannya menganggap kemasukan Ezam satu perisitiwa yang istimewa, lalu beliau sendiri menghadiri sidang akhbar pengisytiharan rasmi hasrat Ezam. Satu pertanyaan, adakah Khairy Jamaluddin turut memainkan peranan?
Secara nakal Utusan Malaysia telah menyiarkan berita kononya Ezam akan mempertimbangkan sama ada mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Keesokan harinya, Ezam menafikan berita tersebut sekeras-kerasnya.
Dari segi logik, adalah tidak munasabah bagi Ezam untuk menyatakan beliau mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda sedangkan permohonannya masih belum diluluskan oleh MT UMNO. Kalau pun boleh bertanding, beliau belum pun memperoleh semula kekuatan untuk bersaing dengan Khairy, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Khir Toyo yang telah mengumumkan hasrat untuk merebut jawatan tersebut.
Percaturan politik yang terbaik bagi Ezam jika benar-benar sudah berada dalam UMNO semula, ialah menyokong kuat salah seorang pemimpin kanan dan salah seorang tokoh muda dalam UMNO yang boleh dijadikan tempat bernaung dalam jangka panjang. Jika anda berada dalam kedudukannya, siapa yang patut anda sokong?
Pilihan pemimpin kanan yang patut disokong adalah sangat jelas, iaitu Pak Lah. Sebab itulah Pak Lah turut meluangkan masanya untuk menghadiri sidang akhbar bersama Ezam.Pemimpin muda yang patut Ezam sokong belum jelas, tapi tidak sukar untuk kita membuat tekaan.
Apa pun, yang lebih penting bagi Ezam sekarang ialah sama ada MT akan meluluskan permohonannya. Sudah pasti Pak lah akan menyokong permohonannya, tapi pasti juga akan ada suara-suara mempersoal keikhlasannya. Dalam keadaan sekarang, ketika mana Pak Lah memerlukan sebanyak mungkin sokongan dalam parti, Pak Lah tidak boleh memaksa lain-lain ahli MT untuk menerima bulat-bulat kehendaknya. Jika ramai yang membantah, Pak Lah akan terpaksa akur dengan kehendak majoriti.
Mereka yang tidak bersetuju dengan kemasukan Ezam akan mempersoal apa untung dan rugi jika beliau diterima semula menjadi ahli UMNO. Ramai orang yang masih meragui kejujuran bekas orang kuat Anwar itu. Lalu ada wartawan yang memanjangkan prasangka mereka kepada Ezam dalam bentuk pertanyaan sama ada beliau masuk semula UMNO untuk menjadi spy (pengintip)?
Sudah tentulah Ezam akan berkeras menafikan beliau mahu jadi pengintip untuk Anwar dan PKR? Jawapan sebenarnya hanya Allah dan Ezam yang tahu.
Mereka yang tidak percayakan Ezam ini akan terus bertanya, besar sangatkah untungnya jika permohonan Ezam diluluskan? Adakah Ezam masih berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut? - malaysiaaktif.com

No comments: