Bashir Ahmad
30 Mei 2008
WISMA Putera telah menghantar surat kepada kerajaan United Kingdom meminta penjelasan berhubung penyiaran satu iklan di Britain yang menggambarkan orang Melayu sebagai pengganas.
Demikian kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri kepada Radio 24 hari ini.
Kata Abdul Rahim, iklan tersebut telah ditarik balik daripada penyiaran pada 28 Mei 2008 berikutan bantahan Malaysia.
Difahamkan Kementerian Luar telah mengambil tindakan ekoran sepucuk surat daripada seorang pelajar Malaysia di United Kingdom yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 26 Mei 2008.
Kandungan surat tersebut seperti berikut:
Kesal iklan Barat gambarkan Melayu pengganas
MINGGU lepas ketika saya menonton filem di panggung wayang, saya amat terkejut melihat satu iklan kepunyaan Royal Marines Commando Kerajaan Britain.
Iklan yang bertujuan menarik minat rakyat Britain untuk menyertai pasukan tersebut telah menggunakan 'pelakon' yang menggunakan bahasa Melayu sebagai watak kumpulan pengganas.
Dengan berlatarbelakangkan suasana seperti mereka baru sahaja menyelesaikan 'operasi keganasan' (menunjukkan keadaan yang kacau-bilau dengan helikopter yang terhempas dan terbakar), 'ketua' kumpulan pengganas tersebut menembak-nembak ke udara sambil menyatakan dengan jelas dalam bahasa Melayu, "Akulah orang yang paling jahat dalam dunia ini. Mari lawan aku. Aku akan bunuh semua'.
Saya kemudiannya memasuki laman rasmi Royal Marines Commando (http://www.royalmarines.mod.uk/server/show/nav.6898#) dan mendapati iklan 30 saat itu turut boleh dilayari dan ditonton di halaman utama laman berkenaan.
Sehinggakan, link dan URL video tersebut turut disediakan agar ia boleh dikongsi dengan pengguna lain. Saya berasa kesal dan marah kerana orang Melayu seolah-olah digambarkan sebagai pengganas dalam iklan berkenaan.
Jika didengari betul-betul, loghat pelakon tersebut bukanlah loghat dalam bahasa Melayu Indonesia tetapi bahasa Melayu Malaysia dan 'ketua kumpulan pengganas' tersebut pula mempunyai iras wajah Melayu.
Namun walau apa jua loghat dan rupa wajahnya, tindakan menggunakan bahasa Melayu bagi menggambarkan peranan kumpulan pengganas dalam iklan tersebut sesuatu yang tidak boleh diterima langsung.
Bukan sekadar bahasa Melayu malah apa jua bahasa di dunia ini. Bayangkan kesannya kerana iklan tersebut ditayangkan sebagai selingan di kesemua panggung-panggung wayang utama di UK dan mungkin juga di televisyen.
Memandangkan iklan tersebut merupakan iklan rasmi Kementerian Pertahanan Britain, saya menyeru agar Kementerian Pertahanan Malaysia dan juga Kementerian Luar menyiasat perkara ini dan mengarahkan agar iklan tersebut ditarik balik dengan permohonan maaf.
Bangsa Melayu bukan bangsa pengganas dan kita tidak pernah menjajah negara lain seperti bangsa mereka.
Saya juga memohon siasatan dapat dibuat terhadap suara siapakah yang dipinjamkan dalam iklan tersebut dan adakah iklan tersebut mendapat kerjasama atau bantuan dari mana-mana syarikat pengiklanan tempatan.
ISMARIAH ZAINAL ABIDIN, University Of Sheffield, United Kingdom
Penghargaan wajar diberikan kepada Ismariah di atas keprihatinan dan semangat patriotiknya.
Kerajaan UK bukan sahaja wajar menjawab surat Wisma Putera sebagai penjelasan rasmi, malah patut memohon maaf.
Ketika terroris dan terrorisme menjadi istilah momokan dan kebencian yang dihalakan kepada umat Islam oleh Barat, dimensi prejudis ini telah diperluaskan kepada orang Melayu pula. Kita percaya loghat Bahasa Melayu yang digunakan dalam iklan berkenaan bukan loghat Indonesia. Maka ia lebih menjurus kepada Bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Maka Malaysia sebagai pengguna Bahasa Melayu yang terbesar mempunyai hak untuk menyuarakan kekesalan di atas sikap tidak sensitif pihak berkuasa tentera UK.
Orang Melayu tidak lagi malas, bukan pak turut dan sama sekali bukan pengganas. – malaysiaaktif.com
Sunday, June 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment