26 April 2009
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz telah memberikan reaksi keras dan kasar terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahukan dia disingkir dari kabinet. Kata Nazri:" Dia dah tua, apa kita nak peduli, dia boleh cakap apa yang dia nak cakap, tetapi saya tetap menteri kabinet."
Nazri tentu berasa lebih hebat lagi apabila Datuk Seri Najib tidak mempedulikan desakan Mahathir itu, sebaliknya melantiknya pula duduk dalam Majlis Tertinggi UMNO.
Dari segi adat dan kemelayuan,tentulah Nazri dilihat tidak wajar berkata demikian, tetapi itu adalah reaksi balas yang wajar terhadap Mahathir yang menjatuhkan air mukanya dan juga tidak merestui pelantikan yang dibuat oleh Najib.
Mahathir bukan sahaja menghina Nazri malah tidak menghormati Najib yang baru sahaja menjadi Perdana Menteri yang masih dalam keadaan memerlukan sokongan dan teguran membina.
Jika mahu dikira kesilapan dalam pelantikan, tidak sahaja Najib yang berbuat salah kalau mahu dikatakan salah. Malah Mahathir sendiri banyak membuat kesilapan. Beliau melantik Abdullah Ahmad Kok Lanas menjadi Ketua Pengarang NST, tetapi dia tidak sekadarkan mahu jadi Ketua Pengarang tetapi juga mahu jadi "king maker". Banyak tindakannya yang merosakkan nama Mahathir kerana dia ingat semua menteri tidak layak, tetapi kerana mengenang jasanya Mahathir tidak peduli apa orang lain kata.
Nazri tidak boleh dinafikan sebagai seorang menteri yang efektif dalam parlimen, seorang pendebat yang handal dan cekap, pedas dan tajam. Dalam kata-kata lain, dia berkeupayaan besar untuk membantu Najib. Kenapa Mahathir tidak boleh mengambil kira semua ini dan lebih mementingkan dendamnya kerana Nazri mencabarnya keluar dari UMNO.
Mahathir mesti juga sedar bahawa cakap-cakapnya sudah mulai tidak” masin” seperti dahulu lagi. Kekalahan BN dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang turut dibantunya, sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkannya terhadap kehakisan pengaruhnya.
Berpadalah-padalah dalam memberikan kritikan, jangan sampai orang naik meluat. Dalam dunia ini kita tidak boleh dapat semua yang kita kehendaki.
Mahathir juga mesti ingat bahawa dia telah membakar kelambu kerana seekor nyamuk. Kesannya dideritai oleh UMNO sampai hari ini. Lebih baiklah Tun menolong Najib memadamkan kebakaran ini daripada mencurahkan api.
MUNSYI ABDULLAH
malaysiaaktif.com
Sunday, April 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment