Thursday, August 7, 2008

Nik Aziz masih gagah dalam Pas

Bashir Ahmad7 Ogos 2008
KISAH SATIRA: Alkisah, pada suatu hari riuh rendahlah dua kumpulan ayam yang tinggal berlainan reban. Sekumpulan berbulu hijau dan sekumpulan berbulu campuran merah, putih dan kuning. Mereka ini asalnya dari satu keturunan dan pernah tinggal sereban, tapi akhirnya membesar berasingan kerana perbezaan warna bulu.Akibat tinggal berasingan dan berlainan warna bulu, lama kelamaan mereka bermusuhan. Selalu saja berlaga dan patuk mematuk.Disebabkan permusuhan itu hanya merugikan, maka ada yang mencadangkan supaya mereka berjumpa dan berdamai. Kalau boleh barangkali tinggal sereban. Selama ini tengok muka pun tidak boleh. Maka riuh rendahlah hingga gegak-gempita suara perbincangan sesama sendiri di kedua-dua rebanAkhirnya berkatalah wakil kumpulan berbulu merah, putih dan kuning:``Elok sangatlah kita bermuzakarah.''Jawab wakil kumpulan si ayam hijau:`` Kita ni bulu saja berwarna lain, tapi telor tetap sama. Memang elok kita bermuzakarah.'' Tiba-tiba kedengaran seekor ayam jantan berwarna hijau berkokok lantang dan garang:`` Hoi...bukan muzakarah, muqabalah.''Apabila si ayam-ayam lain mengangguk-angguk kepala tanda bersetuju, si ayam jantan berkokok lagi:`` Lebih baik demo buat reban baru, cat warna hijau...pakai atap hudud dan lantai qisas...dan demo semua pindah ke reban itu''Terbatuk-batuk semua ayam di kedua-dua reban yang sedang terangguk-angguk apabila mendengar kokokan pertama si ayam jantan itu.Selama ini mereka sangkakan si ayam jantan itu sudah terlalu tua untuk berkokok. Rupa-rupanya si ayam jantan ini adalah ayam sabung yang tajinya masih tajam dan kokokannya masih lantang.Disebabkan pening memikirkan untuk berpindah ke reban baru, akhirnya kata wakil ayam berbulu hijau:`` Kita tangguh sajalah perbincangan ini.'' KISAH BENAR: Jika ada perumpamaan yang sesuai untuk muzakarah alias muqabalah UMNO-Pas ialah hangat-hangat tahi ayam. Atau jika itu kurang tepat harap terimalah peribahasa baru ini - belum bertelor sudah riuh sekampung. Dan ada seorang yang bernama Tajol Rosli (Datuk Seri), sudah membuat tawaran untuk membeli telor yang belum pun bertunas dalam perut ayam. Baru riuh sekampung, Tajol sudah bermimpi di siang hari akan membeli telor yang hendak dikeluarkan dari buntut ayam. Dan yang dimimpinya bukan sekadar telor ayam biasa, tapi telor emas. Rupa-rupanya yang keluar hanyalah tahi ayam.Yang pasti ketawa besar ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Turut ketawa ialah anak-anak muridnya yang paling ramai di Kelantan, termasuk anak murid kesayangannya Husam Musa.Siapa sangka Nik Aziz sudah hilang bisanya. Episod muzakarah alias muqabalah ini membuktikan bahawa Nik Aziz adalah seorang ahli politik yang berbisa, walaupun kadang kala kenyataan politiknya dimomok dan diketawakan. Jika dia hanya sekadar seorang tuan guru agama, tidak mungkin Nik Aziz masih jadi Menteri Besar Kelantan sejak 18 tahun lalu. Nik Aziz adalah Tuan Guru Politik bukan sekadar Tuan Guru Agama.Kita tunggu sajalah Muktamar Agung Pas pada 15 Ogos ini. Siapa pemimpin Pas yang akan dijulang namanya sebagai ayam jaguh, dan siapa yang akan dibaling dengan tahi ayam.Ketika ini bolehlah kita mengandaikan bahawa Nik Aziz masih sangat berpengaruh walaupun ramai yang menganggap beliau sudah berada di hujung karier politiknya pada usia 77 tahun dan sering kali masuk hospital.Selagi Nik Aziz masih ada, Presiden Pas Haji Hadi Awang dan timbalannya Nasaruddin mahu tidak mahu terpaksalah merujuk kepadanya apa jua perkara yang melibatkan soal dasar dan menyentuh masa depan parti itu.Namun kepada orang-orang Melayu yang sangat berharap muzakarah UMNO-Pas berjalan, peluang masih ada. Berdoalah supaya masih ada pemimpin di kedua-dua pihak yang tidak hilang kebijaksanaan. Jika tidak hari ini, sebulan atau setahun dua lagi mungkin keadaan akan memaksa mereka untuk kembali ke meja pertemuan dan berunding.Dalam suasana politik yang terus tidak menentu sekarang, percayalah bahawa UMNO dan Pas akan menanggung kerugian jika terus bermusuhan. Yang bertepuk tangan ialah parti-parti bukan Melayu, tidak kiralah sama ada dari Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Mereka bertepuk tangan kerana Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menolak Dasar Ekonomi Baru dan menjunjung politik pelbagai kaum. Dalam kesempatan ini, bukan Islam juga turut mempersoal kedudukan Islam dan umat Islam di negara ini.Lihatlah siapa yang berada di keliling Anwar dalam PKR sekarang? Siapa yang paling lantang bersuara dan senada dengan Anwar. Jika ada suara Melayu hanyalah Azmin Ali. Dulu Ezam Mohd Noor bersuara lebih lantang daripada Azmin mempertahankan Anwar, tapi kepercayaannya sudah lenyap sama sekali. Malah Ezam sekarang adalah penentang nombor satu Anwar.Ada orang berkata Ezam keluar dan menentang Anwar kerana beliau tidak lagi mendapat tempat dalam PKR. Lain pula kata Ezam. Menurutnya, ada sebab yang lebih besar dan setakat ini beliau masih keberatan untuk mendedahkan `rahsia' berkenaan kerana akan melukakan hati keluarga Anwar. Barangkali suatu hari nanti Ezam akan terpaksa juga mendedahkan `rahsia Anwar' itu jika ia melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Ezam tidak mempunyai pilihan berasaskan kepentingan itu, dengan syarat ia mestilah satu kebenaran dan bukannya mainan politik sahaja.Buat ketika ini Anwar telah menjual prinsipnya semasa dalam UMNO dulu kepada bukan Melayu. Beliau berbuat demikian semata-mata kerana mahukan sokongan mereka untuk mencapai impian menjadi Perdana Menteri Malaysia yang tidak kunjung padam. Untuk itu, Anwar kelihatan sanggup mengubah apa jua pendiriannya, sekalipun suatu masa dulu beliau bercakap seolah-olah prinsip itu akan dipertahankan ke titisan darah terakhir.Pas dalam jangka panjang hanyalah penumpang sementara dalam bot Pakatan Rakyat. Dalam muafakat longgar ini, Anwar, PKR dan DAP yang memperoleh lebih banyak keuntungan berbanding Pas. Siang-siang lagi Pas sudah mengorbankan prinsip negara Islam, hudud dan qisas dan menerima falsafah negara kebajikan.Anehnya Nik Aziz tidak pula mempersoalkan muafakat Pas dengan Anwar, PKR dan DAP. Peduli apa jika Pas boleh terus memerintah Kelantan dan Nik Aziz terus menjadi Menteri Besarnya. Kedudukan Pas dan kedudukannya bertambah kukuh di Kelantan kerana suasana kucar-kacir di seluruh negara yang ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat.Maka sebab itulah Nik Aziz menentang muzakarah UMNO-Pas walaupun tujuannya adalah untuk kepentingan nasional orang Melayu dan umat Islam. Bagi Nik Aziz, sebarang langkah politik yang Pas ambil mestilah tidak menjejaskan kedudukan Pas, kedudukannya dan pengikut-pengikut setianya di Kelantan. - malaysiaaktif.com

No comments: