Thursday, August 28, 2008
Anwar angkat sumpah sebagai anggota parlimen
KUALA LUMPUR -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh di Dewan Rakyat.Dengan berpakaian baju Melayu berwarna gelap lengkap bersongkok, Anggota Parlimen Permatang Pauh yang baru itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, diikuti dengan amalan tradisi mengetuk di meja anggota Parlimen sebagai tanda persetujuan dan sokongan daripada Anggota Parlimen di Dewan Rakyat.Anwar, 61, yang dilantik ketua pembangkang, turut menerima kata-kata nasihat daripada Pandikar Amin, yang selepas majlis angkat sumpah itu berkata, beliau berharap Anwar dapat memainkan peranannya di Dewan dengan baik.Beliau berkata Anwar juga akan diberikan segala keistimewaan yang dinikmati oleh seorang ketua pembangkang.Sebaik sahaja upacara ringkas itu berakhir, Anggota Parlimen Sepanggar Datuk Eric E. Majimbun dari Barisan Nasional (BN) sebelum mengajukan soalan pertama, sempat mengucapkan tahniah kepada Anwar yang berjaya memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh, dan di atas pemilihan beliau sebagai ketua pembangkang.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz pula sebelum menjawab soalan pertama, turut mengucapkan tahniah kepada Anwar.Bercakap kepada media selepas menghabiskan masa kira-kira 10 minit di Dewan Rakyat, Anwar berkata beliau merasa terharu dapat kembali ke Parlimen selepas 10 tahun."Selepas segala yang saya harungi sepanjang tempoh itu, sekarang saya merasa terharu dapat kembali (ke Dewan Rakyat), ia adalah hak saya," katanya.Anwar memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 15,671 Selasa lepas, memperolehi 31,195 undi, mengalahkan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, yang memperolehi 15,524 undi. Seorang lagi calon Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hilang wang pertaruhan selepas memperolehi hanya 92 undi.Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, dilucutkan dari jawatan dalam kerajaan pada tahun 1998, berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan liwat.-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment