Monday, May 12, 2008

Yang Tersurat dan Tersirat

Yang Tersurat dan Tersirat
Bashir Ahmad11 Mei 2008
UMNO yang mencecah usia 62 tahun pada Ahad ini (hari ini) harus terus relevan, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.
Justeru beliau menggesa ahli parti bekerja keras kerana hanya dengan cara itu UMNO akan terus mendapat kepercayaan masyarakat untuk menjadi wadah perjuangan rakyat khususnya kaum Melayu.
"Dalam politik ada pasang surut. Itu tidak bermakna UMNO harus mengalah dan tidak meneruskan perjuangannya untuk membela nasib Melayu dengan mengambil kira kepentingan kaum lain," katanya.
Begitulah laporan Bernama pada 9 Mei 2008 atau Jumaat lalu.
Kebetulan sebelum terbaca laporan ini semalam, penulis ketika membeli bekalan lauk untuk seminggu telah berbual dengan seorang penjual ikan di sebuah pasar tani di Taman Melawati, Ulu Kelang. Diceritakan bahawa beliau tinggal di Sabak Bernam. Wakil rakyatnya adalah orang UMNO yang menang dalam pilihan raya 2008 dengan kelebihan kira-kira 100 undi sahaja.
Penulis bertanya, pada pandangannya jika wakil rakyat itu bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang adakah beliau akan menang lagi?
Jawabnya, susah untuk menang.
Kenapa? Jawabnya lagi, wakil rakyat UMNO sudah kaya. Baru sepenggal jadi wakil rakyat, kereta dua tiga biji mahal sudah tersergam depan rumah.
Moral cerita ini ialah orang Melayu golongan bawahan yang menjadi penyokong kuat dan pengundi UMNO selama ini telah berubah pendirian terhadap parti berlambang keris, lambang Ketuanan Melayu kerana persepsi mereka juga sudah berubah.
Sebabnya parti ini, pada pandangan orang-orang seperti penjual ikan yang tidak berkelulusan tinggi ini, UMNO telah menjadi sebuah parti elitis untuk orang-orang kaya dan mahu cepat kaya.
Penjual itu bercerita lagi. Katanya ada seorang bekas office-boy yang menjadi orang kuat UMNO dan sangat kaya kerana dia rapat dengan Muhammad Taib semasa beliau menjadi Menteri Besar Selangor dulu.
Perihal UMNO menjadi parti orang kaya dan mahu kaya ini bukan tidak diketahui oleh para pemimpin UMNO. Sesiapa sahaja yang pergi ke PWTC ketika Perhimpunan Agung UMNO dapat melihat barisan kereta mewah yang memenuhi pekarangan bangunan tinggi yang menjadi simbol kekuatan parti orang Melayu ini.
Dan pada setiap pilihan raya kecil, deretan kereta-kereta besar 4WD dan sedan mewah bercermin gelap dilihat oleh orang-orang kampung bergerak megah seperti konvoi mafia ke kawasan kempen. Kereta-kereta siapa itu, tanya hati kecil mereka. Tidak sukar mengetahuinya kerana mereka yang berada di dalamnya adalah orang-orang UMNO yang datang berkempen dari seluruh pelosok tanah air.
Jika mereka ditanya kembali, apa salahnya orang-orang UMNO kaya? Sekalipun mereka diam, kita boleh membaca jawapan di hati kecil mereka.
Oleh kerana Muhammad Taib adalah orang yang arif, walaupun pelbagai kata-kata nesta dalam dunia blog telah dilemparkan mempertikai kebijaksanaannya, beliau tentulah dapat menyelami hati nurani orang-orang Melayu seperti si penjual ikan ini.
Untuk mengembalikan kepercayaan orang-orang yang selama ini setia kepada UMNO seperti si penjual ikan itu, ia bukan sekadar memerlukan ahli-ahli parti bekerja keras dan bersatu padu seperti yang Muhammad Taib sarankan. Ia memerlukan pemantapan iman, kawalan nafsu dan pengorbanan seperti yang dilakukan oleh para pengasas parti ini di semua peringkat, sama ada nasional, negeri, bahagian dan cawangan.
UMNO memerlukan anjakan pradigme untuk merebut semula kepercayaan orang Melayu di peringkat rakyat jelata yang selama ini hanya melihat betapa office-boy boleh menjadi kaya raya dalam masa yang singkat setelah aktif dalam UMNO dan sering dilihat berada dalam kelompok para pemimpin yang berkuasa, sama ada dalam parti dan kerajaan.
Politik wang dalam UMNO, sebagaimana yang disuarakan dengan penuh kekhuatiran oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Presiden UMNO dulu, akhirnya terbukti benar sebagai faktor yang menikam parti ini.
Pada zaman internet yang bebas, cerita-cerita mengenai rasuah tersebar luas. Yang menjadi bahan cerita ialah orang-orang yang menjadi pemimpin dan penegak Ketuanan Melayu. Yang bercerita ialah bukan Melayu dan sebilangan orang Melayu sendiri. Ramai juga orang Cina yang kaya raya kerana rasuah dan kegiatan haram, tetapi disebabkan kuasa pemerintahan berada di tangan Melayu, maka `tuan-tuan Melayu' inilah yang menjadi sasaran.
Oleh kerana yang internet-savvy atau mahir internet ialah generasi baru, maka tertanamlah imej buruk terhadap UMNO di kalangan mereka yang merupakan penentu kuasa politik akan datang. Cerita-cerita ini mereka panjangkan dari kawasan bandar hingga ke kampung halaman mereka.
Saya masih ingat kata-kata Mahathir dalam ucapan presiden lebih kurang empat lima tahun sebelum beliau bersara. Katanya (lebih kurang) : `` Pemimpin-pemimpin mestilah bukan sahaja bersih daripada rasuah, tapi mestilah juga kelihatan bersih daripada rasuah."
Merujuk kepada kata-kata hikmat Mahathir, apakah orang-orang Melayu golongan bawahan boleh menerima seseorang wakil rakyat yang belum cukup sepenggal menjadi wakil rakyat sudah mempunyai banglo dan dua tiga biji kereta mewah sebagai ``kelihatan bersih daripada rasuah.''
Mungkin sebilangan kecil mereka ini benar-benar memperolehi harta dan kekayaan secara halal, tapi perkara-perkara seperti ini mudah menimbulkan persepsi buruk yang menyeluruh kesannya. Apatah lagi orang-orang UMNO ini sentiasa datang dengan Mercedes apabila memenuhi jemputan kenduri kahwin di kampung.
Bayangkan jika mereka ini boleh berbahasa Inggeris dan membaca laporan The Star mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menaikki kapal terbang dengan tiket kelas ekonomi, walaupun beliau berhak sekurang-kurangnya membeli tiket kelas bisnes.
Orang-orang UMNO boleh mengatakan bahawa Guan Eng sengaja berbuat begitu untuk tujuan politik. Mereka juga boleh berkata, lihatlah berapa lama beliau boleh terbang di kelas ekonomi? Tapi sama ada berpolitik atau tidak, ini adalah perkara-perkara yang mudah melekat di hati rakyat seperti si penjual ikan itu.
Samalah juga dengan Datuk Nik Abdul Aziz yang masih hidup sederhana dan terus menjadi imam di madrasah dekat rumahnya, walaupun beliau sudah berpenggal menjadi Menteri Besar Kelantan.
Kesimpulannya, jika UMNO mahu kembali gagah sebagai penegak Ketuanan Melayu yang turut dihormati oleh bukan Melayu, cakap si penjual ikan itu hendaklah menjadi renungan dan landasan untuk pembaharuan semula supaya UMNO terus relevan. - malaysiaaktif.com

No comments: