Friday, May 23, 2008

TEMBAKAN MAHATHIR TERSASAR KE ANAKNYA SENDIRI

Ahmad23 Mei 2008
TINDAKAN Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO yang bertujuan untuk menambah tekanan supaya Pak Lah berundur daripada jawatan Perdana Menteri ternyata tidak memberikan kesan yang ketara. Tiada Ahli Parlimen UMNO yang menyahut seruannya termasuk anaknya sendiri Datuk Mukhriz. Setakat yang diketahui hanya isterinya Tun Dr. Siti Hasmah dan seorang lagi anaknya, Datuk Mokhzani serta beberapa orang pemimpin UMNO peringkat tengah dan bawah di Kedah yang turut keluar daripada UMNO setakat ini.Malah banyak pihak percaya bahawa percaturan Mahathir itu telah memperkukuhkan kedudukan Pak Lah, sekurang-kurangnya sehingga pemilihan parti pada Perhimpunan Agung UMNO Disember akan datang. Majlis Tertinggi UMNO dalam mesyuarat khas untuk membincangkan tindakan Mahathir itu telah menyatakan sokongan kepada Pak Lah. Begitu juga seluruh Ahli Parlimen UMNO dilaporkan telah menyatakan sokongan kepada beliau.Sudah tentu langkah Mahathir juga tidak mendapat sokongan parti-parti Pakatan Rakyat. Walaupun sokongan Pakatan Rakyat kepada Pak Lah dikatakan mempunyai niat tersembunyi kerana kononnya pembangkang akan untung selama mana beliau terus menjadi Perdana Menteri, ada juga komen yang rasional daripada mereka.Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar menyifatkan tindakan Mahathir itu tidak wajar kerana ia boleh menggugat kestabilan negara. Pandangan tokoh muda Pas ini ada kewajarannya.Jika kedudukan Pak Lah boleh dikatakan tidak terjejas dalam masa yang terdekat ekoran tindakan Mahathir, sebaliknya orang yang kelihatan paling gelisah sekarang ialah anaknya sendiri, Mukhriz. Ahli Parlimen Jerlun yang juga berjawatan ahli EXCO Pemuda UMNO Malaysia ini yang siang-siang lagi sudah mengumumkan hajatnya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah ditanya oleh wartawan apakah itu sebabnya beliau tidak mengikuti jejak langkah ayahnya keluar daripada UMNO.Mukhriz menjawab bahawa beliau kekal dalam UMNO tidak kena mengena dengan faktor mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO. Jawapannya itu sukar ditelan bulat-bulat.Dalam membuat keputusan untuk kekal dalam UMNO, Mukhriz tidak dapat mengelakkan daripada mengambil kira kedudukannya sebagai Ahli Parlimen. Jika beliau keluar daripada UMNO dan tidak menyertai mana-mana parti lain, bermakna beliau akan menjadi Ahli Parlimen bebas yang tunggal di Dewan Rakyat. Datuk Ibrahim Ali yang hadir sebagai Ahli Parlimen bebas sebelum ini dikatakan dalam proses menyertai Pas.Mukhriz perlu juga mengambil kira bahawa dalam suasana politik yang tidak menentu sekarang, segala kemungkinan boleh berlaku. Andainya ada Ahli-Ahli Parlimen BN melompat ke Pakatan Rakyat, kemungkinan besar pilihan raya baru akan diadakan sebagai jalan keluar terbaik daripada keadaan tidak stabil dan tidak menentu yang boleh mendatangkan kesan-kesan buruk kepada negara. Jika Perdana Menteri terpaksa memanggil pilihan raya baru, mahukah Mukhriz bertanding atas tiket bebas?Ternyata bahawa anak Mahathir ini tidak mempunyai pilihan melainkan untuk kekal dalam UMNO walaupun beliau menyedari bahawa tindakan bapanya itu menyusahkan dirinya. Jika UMNO sudah memandang sepi suara bapanya yang telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, siapalah Mukhriz. Malah bosnya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein Onn telah menyatakan rasa tidak senang terhadapnya kerana masih mendesak Pak Lah supaya meletakkan jawatan. Selepas pilihan raya pada 8 Mac lalu, Mukhriz telah menghantar sepucuk surat kepada PakLah memintanya meletakkan jawatan. Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat exco Pemuda UMNO Malaysia, tapi Mukhriz tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin, hanya sekadar diberi peringatan.Hishamuddin yang mempengerusikan mesyuarat tersebut menyatakan beliau berpuas hati dengan penjelasan Mukhriz.Terbaru, Hishamuddin berubah pendirian. Beliau akan merujuk Mukhriz kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO kerana beliau mengulangi desakan supaya Pak Lah meletakkan jawatan. Apakah yang mendorong Hishamuddin untuk berubah pendirian? Jika dulu beliau tidak mencadangkan sebarang tindakan diambil terhadap Mukhriz, sekarang lain pula ceritanya.Adakah Hishamuddin melihat kedudukan Pak Lah sekarang lebih kuat daripada hari-hari awal selepas 8 Mac? Jika semua orang tahu bahawa Mukhriz mahu jadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia, mereka juga tahu bahawa Hishamuddin mahu jadi Naib Presiden UMNO.Barangkali Hishamuddin berpendirian bahawa dengan menekan Mukhriz dan menyokong kuat Pak Lah, peluang beliau untuk memenangi salah satu daripada tiga jawatan Naib Persiden UMNO adalah lebih cerah. Jika pendapat beliau betul, maka ia juga membawa makna bahawa peluang Mukhriz untuk merebut jawatan yang Hishamuddin kosongkan telah bertukar daripada cerah kepada kelabu.Jika benar andaian ini, maka nyatalah bahawa tembakan Mahathir tersasar kepada anaknya sendiri, bukan Pak Lah.Setakat ini tiga orang telah menyatakan niat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang Hishammuddin. Mukhriz, Datuk Seri Khir Toyo dan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin. Jika peluang Mukhriz semakin kelabu, peluang siapakah yang akan lebih cerah? Anda tentu tahu jawapannya. - malaysiaaktif.com

No comments: