Monday, December 8, 2008

Adakah Najib akan teruskan dasar liberalisasi?

KOPITIAM TALK7 Disember 2008
ABDULLAH Ahmad Badawi yang menyangka kemenangan terbesar BN penuh bersejarah dalam pilihan raya 2004 kerana keyakinan seluruh rakyat kepadanya , telah mengambil langkah berani bagi membuat eksperimen terhadap kekuatan demokrasi Malaysia dengan membuka “era liberalisasi baru” sesuai dengan tuntutan globalisasi.
Beliau menampakan perpisahan dari aliran lama dan mahu mencatatkan sejarah baru era kepimpinannya. Beliau merungkaikan ikatan tertulis dan tidak tertulis antara rakyat yang sekian lama menjadi syarat hidup bersama . Beliau mengizinkan tunjang kekuatan negara yang masih rapuh diganggugugat yang menyebabkan kecairan nilai-nilai yang selama ini bertahan di bawah pengawalan.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh berleluasanya media siber dengan blog dan portal berita yang tidak terbatas dan terkawal.
Dengan itu kita melihat pendekatan media bukan Melayu telah melampaui batas kesopanan yang telah dipersetujui bersama. Kawasan isu-isu sensitif telah diceroboh dan dibicangkan secara terbuka. Provokasi terhadap nilai-nilai nasional dilakukan tidak sahaja di media cetak dan eletronik tetapi juga di jalan raya termasuk oleh golongan peguam yang hanya memahami kebebasan dari buku undang-undang dan bukan daripada proses sejarah sosialisasi negara.
Jelas orang bukan Melayu terutama generasi baru telah mendapat kesedaran baru bahawa sekatan-sekatan di bawah kontrak sosial adalah semata-mata untuk kepentingan orang Melayu dan Islam sehingga mereka melihat orang Melayu sebagai “pembuli”.
Sikap kepimpinan negara yang tidak menunjukan reaksi keras terhadap pelbagai isu sensitif sama ada bersifat ucapan, tulisan dan yang sebelum ini dianggap sebagai hasutan dan perkauman telah menggalakkan lagi berbagai-bagai provokasi sehingga kepada soal Ketuanan Melayu.
Tanpa disedari oleh orang Melayu, eksploitasi bijak media bukan Melayu ( Inggeris, Cina dan Tamil) mengenai isu-isu kepentingan Melayu telah berjaya memprojekannya sebagai isu perkauman dan isu perjuangan bukan Melayu digambarkan sebagai perjuangan nasional.
Dasar liberalisasi, keterbukaan dan ketelusan telah memberikan kesempatan keemasan kepada bukan Melayu untuk memperkecilkan kepimpinan Melayu yang selama lebih 50 tahun telah dapat membuktikan kewibawaan mereka dalam krisis dan dalam damai.
Ketika orang Melayu berada dalam krisis keyakinan yang paling mencabar ini dan ketika peralihan pucuk pimpinan daripada Abdullah kepada Najib Tun Abdul Razak telah pasti, seorang wartawan bukan Melayu yang akan meninggalkan The New Straits Times dalam sebuah tulisannnya telah menasihatkan bakal Perdana Menteri baru supaya meneruskan dasar kebebasan yang telah dijuarainya bersama rakan-rakannya dari keturunan India.
Apakah Najib akan meneruskan dasar liberalisasi yang telah menghancurkan asas kekuatan rakyat Malaysia?
Apakah kita berasa amat malu dan berat untuk kembali kepada nilai dan prinsip asas sedangkan di bawah dasar liberalisasi sekarang kita berasa perlu untuk menutup semula majlis rumah terbuka hari raya Aidilfitri yang setiap tahun berjalan dengan aman damai sebelum perisytiharan dasar keterbukaan dan ketelusan?
Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak telah mengembalikan keyakinan rakyat dalam keadaan negara masih berdarah. Tetapi adalah lebih rumit dan sukar bagi Najib untuk membetulkan suatu keadaan negara yang terbukti kesetiaan sesetengah rakyat, persahabatan dan setiakawan mereka adalah palsu.
Negara memerlukan pemimpin yang dapat menghayati dan menyempurnakan Wawasan 2020 menerusi dasar, nilai dan identiti sendiri yang telah pun terbukti berkesan dan berjaya.
Kembalilah kepada prinsip asal. MUNSYI ABDULLAH
KOMEN

No comments: