Nasir Sukiman17 November 2008
INGAT lawatan mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair ke Malaysia, beberapa bulan lalu. Beliau telah memberi ucapan di sebuah majlis anjuran kerajaan.
Sebelum beliau pulang, mantan PM kita, Tun Dr Mahathir Mohamed mengadakan sidang akhbar dihadiri ramai wartawan tempatan dan luar negara.
Melihatkan gambar di salah satu blog, jelas wartawan yang hadir cukup ramai dan kecaman serta saranan Mahathir agar Blair dibicarakan sebagai penjenayah perang mendapat tempat esoknya.
Tetapi bukan di dalam dada akhbar-akhbar arus perdana tempatan mahupun akhbar kerdil. Media elektronik juga turut memulaukan liputan dan gambar sidang akhbar Mahahtir.
Mengapa? Semuanya tidak penting. Apakah tidak wajar Blair diheret ke Mahkamah Jenayah Dunia di The Haque kerana 16 perkataannyalah antara penyebab Iraq digempur tentera George W Bush.
(The British government has learned that Saddam Husssein recently sought significant quantities or uranium from Africa.- petikan buku WHAT HAPPENED Steve McClellan)
Kerana penipuan dan keceluparan Blairlah maka terhukum dan matinya Presiden Saddam Hussein dan musnahnya sebuah negara Islam.
Malang sungguh keadaan pada hari sidang akhbar dan malang juga bagi semua media yang tidak mempedulikan kenyataan negarawan agung kita, Dr Mahathir.Jika tidak silap antara yang menyiarkan kenyataan beliau itu adalah sebuah laman web akhbar Singapura.
Kesimpulannya, hampir semua media di Malaysia tidak berani atau diberitahu usah siarkan sebarang kenyataan bekas PM kita itu. Ada suara dan tangan ghaib yang berkuasa atau mabuk kuasa hingga tergamak dan nekad berbuat demikian.
Apa berlaku itu dicatat oleh Dr Mahahtir dalam blog beliau chedet.com. Dulu ketika menjadi PM selama lebih 22 tahun, semua kenyataan dan ucapan beliau dilaporkan secara menyeluruh , tetapi sejak Oktober 2003, keadaan tiba-tiba berubah. Bukan saja Dr Mahathir mula disekat oleh semua media tempatan, malah tulisan dan pandangan orang sekelilingnya seperti Datuk Mohd Noor Azam (setiausaha politik) pun dinyahkan daripada akhbar.
Khabarnya di Balai Berita, Kalimullah Hassan sendiri memastikan tulisan Noor Azam diteliti sebelum disiarkan. Akhirnya oleh kerana tidak mahu Noor Azam ‘marah’ dan merajuk, maka rencana beliau tidak jadi disiarkan. Maka sejak itu berkuburlah ruangan Cetusan Rasa yang ramai pengikutnya.
Siapa yang menghalang tersiarnya berita agar Blair diheret ke The Haque. Mungkin ada pengarang takut melanggar larangan daripada suara ghaib atau khuatir dipecat menyebabkan ansuran bulanan Mercedes tidak terlunas, ansuran bagi banglo tergendala atau bilik mandi RM10,000 tidak lengkap!
Tetapi hari ini, Dr Mahathir sudah pun mula mendapat tempat semula di dalam akhbar dan di kaca televisyen. Malah kenyataanya sudah diulas dan dipaparkan. Semuanya bukan secara kebetulan atau mengikut selera editor media terlibat. Kata ‘orang dalam’ ada arahan siarkan semula semua berita berkaitan Dr Mahathir, lagipun tinggal beberapa bulan saja lagi Pak Lah di Putrajaya dan ‘orang KJ” pula dah mula meninggalkan Balai Berita dan Chan Sow Lin.
Permainan politik seperti ini sebenarnya bukanlah baru. Pada 80-an dulu, kecoh ‘orang Musa Hitam’ nak ambilalih Balai Berita. Dua tiga nama disebut-sebut. Selepas tu, ‘orang Daim’ pula diselangseli dengan ‘geng Halim Saad'. Kemudian orang ‘orang Anwar Ibrahim’ pula yang merampas kuasa di Balai Berita dan di Chan Sow Lin!
Tuesday, November 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment