Bernama20 Julai 2008
KUALA LUMPUR -- Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan tidak pernah campur tangan dalam pemilihan berita media di negara ini khususnya di Radio Televisyen Malaysia (RTM).Beliau berkata media di negara ini bebas memikirkan keutamaan sesuatu berita itu dan pihaknya tidak pernah memberi arahan mengenai berita yang boleh disiarkan dan yang mana tidak."Seboleh-bolehnya kita izinkan pihak media memikirkan apakah yang dimaksudkan nilai berita."Saya sendiri pun tak pernah beri arahan tentang berita apa yang perlu diberi keutamaan, kurang diutamakan dan menyerahkan kepada RTM dan media lain untuk mencari apakah keutamaanya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Debat Antarabangsa Bahasa Mandarin di sini malam ini.Ahmad Shabery mengulas teguran Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Jumaat lepas tentang pengamal media yang memberi liputan keterlaluan mengenai kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mengaibkannya walaupun beliau belum lagi dibukti bersalah.Menteri Besar Kelantan itu kecewa dengan keghairahan media yang melaporkan berita penahanan Anwar di muka depan beserta gambar tetapi pembebasan beliau dengan jaminan polis dilaporkan secara ringkas sahaja.Ahmad Shabery berkata isu yang melibatkan Anwar itu pasti mendapat liputan yang lebih meluas jika ia berlaku kepada mana-mana ahli politik negara yang mengamalkan kebebasan media secara total."Saya rasa kalau ada kes sebegini (di negara lain) sudah tentu lebih besar lagi perkara ini ditimbulkan kerana apabila tidak ada kawalan langsung sudah tentulah media akan pilih sesuatu yang bersifat sensasi kerana yang bersifat sensasi akan lebih diminati ramai dan penjualan akhbar serta berita tentu akan lebih laku lagi," katanya.Beliau berkata laporan media sekarang ini bukan dibuat atas kehendak kerajaan sebaliknya untuk kepentingan orang ramai yang ingin tahu perkembangan sesuatu isu itu.Ahmad Shabery juga meminta media terutamanya RTM untuk tidak mensensasikan perkara itu sehingga dilihat berlaku tidak adil kepada mereka yang berkenaan.-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment