Monday, September 28, 2009

Sarkas Isa Samad di Bagan Pinang

BASHIR AHMAD11 September 2009BN tewas bertalu-talu dalam tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung sejak pilihan raya umum Mac 2008. Ini adalah satu mesej yang tidak menggembirakan bagi barisan baru pemimpin UMNO walaupun angka majoriti kemenangan lawan telah merosot dalam dua pilihan raya kecil terbaru - Permatang Pasir dan Manek Urai.

Sekadar penyedap hati, mungkin mereka boleh berkata sesama sendiri bahawa kesemua kawasan pilihan raya kecil itu (kecuali Kuala Terengganu) dimiliki oleh pembangkang semasa kerusi wakil rakyat dikosongkan atas sebab kematian atau sengaja dilepaskan oleh penyandang.

Dengan takdir Allah s.w.t, akan berlaku lagi satu pilihan raya kecil. Kali ini di Bagan Pinang, Negeri Sembilan, sebuah kawasan yang sejak dulu dalam genggaman BN.

Andainya BN mencapai kemenangan di Bagan Pinang kelak dengan majoriti yang lebih besar daripada PRU 2008, ia akan memberikan suntikan moral yang cukup menyegarkan selepas tewas berturut-turut dalam tujuh pilihan raya kecil sebelum ini.

Pada awalnya itulah andaian dan harapan. Namun panas di pagi hari ternyata terlalu sekejap kerana awan mendung tiba-tiba menjelma ketika tanah di perkuburan Allahyarham wakil rakyat BN masih basah.

Belum pun tarikh penamaan calon dan pengundian ditetapkan, UMNO sudah berhadapan dengan kemelut untuk memilih calon yang sesuai di kawasan pilihan raya yang terletak di kawasan Parlimen Teluk Kemang itu. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi supremo pilihan raya kecil BN terpaksa memberikan jawapan yang agak samar kepada wartawan setiap kali diajukan pertanyan mengenai isu calon ini.

Apa masalahnya jika ini kawasan yang boleh dianggap kubu BN? Jika di Permatang Pasir UMNO tersalah pilih calon yang menghadapi masalah integriti kerana namanya telah dibatalkan daripada senarai pengamal guaman Majlis Peguam, di Bagan Pinang kemungkinan akan berlaku sekali lagi masalah yang sama.

UMNO Bahagian Teluk Kemang yang diketuai oleh Tan Sri Isa Abdul Samad telah menamakan hanya seorang calon, iaitu Tan Sri Isa Abdul Samad.

Apa masalahnya jika Samad bertanding sekali lagi. Kata para pemerhati politik, banyak masalahnya.

Pertama Isa Samad sudah masuk kategori veteran yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan bagi tempoh yang sangat panjang. Beliau juga pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Jika begitu apa salahnya seorang yang cukup kaya dengan pengalaman mentadbir menjadi calon? Tentulah salah kerana UMNO yang sedang berusaha untuk melakukan transformasi akan dilihat tidak berupaya untuk melaksanakan usaha bagi memulihkan imej parti itu yang tercalar selepas PRU 2008.

Orang ramai akan berkata, apakah UMNO tidak mempunyai calon lain yang tidak mempunyai sebarang rekod cacat seperti Isa Samad yang pernah dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dalam politik wang atau rasuah politik? Ketika UMNO sedang menjalankan usaha reformasi bagi membersihkan imejnya daripada gejala politik wang dan rasuah, mencalonkan Isa Samad adalah bahan jenaka yang akan menyebabkan semua orang ketawa berdekah-dekah.

Orang akan berkata, memang UMNO sudah tidak mempunyai calon yang layak lagi untuk menjadi wakil rakyat. Bagi para pengundi generasi baru pula, UMNO akan terus dilihat sebagai parti yang tua, konservatif dan memang tidak mahu berubah sejajar dengan perkembangan semasa dan janji-janji yang dilaungkan oleh para barisan pemimpin barunya yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita percaya bahawa Najib dan timbalannya Muhyiddin amat menyedari faktor imej calon ini. Tetapi masalah ini bukan semudah itu untuk diselesaikan jika Bahagian Teluk Kemang dan Isa Samad tetap berdegil mahukan beliau menjadi calon.

UMNO boleh mencalonkan orang lain, tetapi akhirnya jentera pilihan raya tidak akan bergerak jika bahagian tidak menjalankan kerja.

Inilah dilema di Bagan Pinang yang hanya boleh diselesaikan jika Isa Samad mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan diri dan suku-sakat politik di Teluk Kemang. Barangkali Muhyiddin boleh berunding dengannya. Barangkali Muhyiddin boleh bertanya kepada bekas MB Negeri Sembilan itu, apakah yang sebenarnya beliau mahu?

Adakah Isa Samad bersikap degil dalam soal calon ini kerana beliau berdendam terhadap UMNO yang telah menghukumnya kerana politik wang dulu? Isa tidak puas hati kerana beliau berasa telah menjadi `kambing korban.' Adakah beliau dan pengikut-pengikutnya mahu menjadikan Bagan Pinang gelanggang membalas dendam? - malaysiaaktif.com

Tuesday, September 15, 2009

Maharaja Samy yang hanya popular dalam parti

BASHIR AHMAD15 September 2009HEBAT Samy Vellu. Hanya empat daripada 27 orang anggota jawatankuasa pusat MIC yang baru dipilih tidak termasuk dalam `senarai orang presiden'.

Semua jawatan tertinggi -- timbalan presiden dan tiga naib presiden -- dimenangi orang-orang pilihannya.

Samy yang menang tanpa bertanding bagi memegang jawatan Presiden MIC selama tiga tahun lagi sehingga 2012 ketawa besar. Beliau layak dipanggil Maharaja Samy Vellu. Tiada siapa yang boleh menggugatnya.
Kalau perhimpunan agung ke-63 MIC baru-baru ini tidak menghadkan tempoh jawatan presiden ke tiga penggal, tentulah Samy masih mempunyai peluang untuk merombak janjinya untuk bersara pada 2012. Barangkali usul berkenaan diluluskan untuk membolehkan Samy mengekalkan rekod perkhidmatan terpanjang.
Jika ditanya, semua orang berpendapat Maharaja Samy sudah terlalu lama memimpin MIC. Politikus paling kanan negara, Tun Mahathir Mohamad juga berpendapat Maharaja Samy patut bersara sekarang, bukan pada 2012. Suatu masa dulu Mahathir pun pernah digelar `diktator' oleh puak Anwar Ibrahim kerana terlalu lama jadi Presiden UMNO. Apabila Barisan Nasional mengalami keputusan yang kurang menggembirakan pada pilihan raya umum 1999, Mahathir melihat itu adalah isyarat yang paling jelas baginya untuk berundur.

Tapi Maharaja Samy tetap mahu memimpin MIC sehingga 2012 walaupun dia dan partinya kalah teruk dalam pilihan raya umum 2008.

Sebab itulah Mahathir memberi peringatan bahawa sepatutnya Samy sudah mengundur diri. Mendengar komen bekas bosnya itu, Maharaja Samy murka dan bertitah, orang luar tidak berhak campur tangan dalam urusan MIC. Yang berhak menentukan apa jua dalam MIC ialah ahli-ahlinya.Kemarahan Samy telah mendorong seorang perwakilan perhimpunan agung MIC mengesyorkan selipar diletakkan atas gambar Tun Mahathir. Jika Samy tidak marah, tentulah `usul selipar' itu tidak akan dicadangkan.Penghinaan terhadap Mahathir telah membangkitkan kemarahan di kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO khususnya. Menyedari keterlanjuran yang berlaku, Maharaja Samy cuba membetulkan keadaan dengan menggantung keahlian anggota MIC yang membuat `cadangan celupar' itu. Tapi nasi sudah jadi bubur. Terlajak kata tidak boleh diundur.

Sebenarnya, ramai orang MIC sendiri berkata, yang berhak menentukan apa jua dalam MIC ialah Maharaja Samy. Ahli-ahli yang MIC yang menentang suara Maharaja akan dicantas.

Nampaknya Datuk Seri Najib Tun Razak pun tidak layak memberikan nasihat kepada Samy walaupun beliau yang memimpin BN sekarang. Nanti kalau-kalau ada yang akan mencadangkan selipar di atas gambar Najib pula.

Cuma Najib secara sinis berpesan dalam ucapan merasmikan Kongres MIC pada Sabtu lalu bahawa ``tiada gunanya kita popular dalam parti sahaja, tapi tidak popular di kalangan rakyat.'' Akhirnya rakyat yang akan menentukan nasib parti dalam pilihan raya umum, bukannya ahli-ahli parti.

Mesej Najib itu amat jelas ditujukan kepada bekas budak pejabat yang terus menggenggam jawatan Presiden MIC sejak 1979, walaupun beliau sudah ditolak oleh rakyat kawasan Parlimen Sungai Siput dalam PRU 2008.

Kasihan Najib. MCA dalam krisis yang sangat teruk. MIC pula tidak menghadapi krisis dalaman, tapi menghadapi sindrom di bawah telunjuk Maharaja Samy yang masih popular dalam parti, tapi tidak lagi di kalangan rakyat. Yang menanggung akibat ialah MIC dan BN. - malaysiaaktif.com

Wednesday, September 2, 2009

Bangsa dan negara yang gagal setelah 50 tahun merdeka

KOPITIAM TALK
28 Ogos 2009

AMAT jelas bahawa Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong telah tersesat dalam fahaman kebangsaannya apabila dia menyatakan “mempelajari bahasa asing mampu menyatukan padukan kaum di negara ini untuk merealisasikan 1Malaysia."

Tidak boleh dinafikan bahawa mengetahui bahasa asing akan memudahkan kita berkomunikasi dengan kaum yang memiliki bahasa itu, tetapi tidak mungkin membina perpaduan dari aspek nasionalisme negara. Bahasa perpaduan Malaysia adalah tetap Bahasa Melayu.

Sekiranya generasi merdeka dari orang bukan Melayu, India dan Cina telah dapat menguasai Bahasa Melayu dengan baik menerusi satu aliran sekolah dari sejak awal kemerdekaan negara, maka pada hari ini kita tidak mempunyai menteri yang bercakap memerlukan bahasa asing untuk perpaduan.

Sebabnya Ka Siong berpendapat demikian kerana beliau tidak dapat merasakan kebanggaan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa itu sebagai bahasanya sendiri.

Nyatalah sesudah 52 tahun merdeka, Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal melahirkan anak bangsa yang berjiwa kebangsaan tulen, gagal untuk mewujudkan perasaan perpaduan menerusi satu bahasa sekalipun semua kaum membuat perisytiharan menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.

Ini adalah oleh kerana sekalipun generasi baru bukan Melayu telah mempelajari Bahasa Melayu dari sekolah rendah lagi, tetapi tidak semua dapat berbahasa Melayu dengan fasih kerana Bahasa Melayu menjadi bahasa asing di sekolah rendah jenis kebangsaan dan bukannya sebagai bahasa pengantar utama. Lain halnya sekiranya Bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar utama di sekolah jenis kebangsaan sekalipun persekitaran adalah dari kaum sendiri.

Sebaliknya Singapura telah berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum menerusi satu bahasa iaitu bahasa Inggeris. Hala tuju Singapura jelas dari awal lagi. Ia telah menghapuskan sekolah aliran Cina ,Tamil dan Melayu dari sejak kemerdekaan dan hanya mengekalkan sekolah pengantar Inggeris hingga ke peringkat universiti.

Perdana Menterinya Lee Kuan Yew dengan berani menutup semua institusi pelajaran tinggi Cina yang menjadi pusat perkauman Cina. Lee menutup Nanyang University dan Nge Ann College.

Bahasa Inggeris bukan sahaja menjadi bahasa komunikasi antara rakyat Singapura berbilang kaum tetapi juga antara satu kaum termasuk pengunaan seharian di rumah, malah generasi baru Cina Singapura ada yang tidak dapat berbahasa Cina apatah lagi kaum India.

Ini adalah kerana Singapura tegas dalam pelaksanaan dasar bahasa nasionalnya dengan menutup semua sekolah Cina, India dan Melayu. Tetapi Di Malaysia walaupun Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, kita menjalankan dasarnya secara tolak ansur, tidak tegas dari awal lagi. Kononnya untuk kerharmonian hubungan kaum, tetapi akhirnya ternyata menjadi masaalah perkauman yang lebih besar. Sistem pelajaran nampak bercelaru dan tidak pasti walaupun sudah selepas 52 tahun merdeka.

Semua pihak telah menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa nasional, tetapi kita tidak bertegas dalam perlaksanaannya di mana mungkin seperti Singapura apabila ia menerima bahasa Inggeris.

Akhirnya sesudah 52 tahun merdeka kita terbukti menjadi suatu bangsa yang gagal dalam ertikata tidak mendukung aspirasi nasional,yang menterinya melihat bahasa asing sebagai bahasa 1Malaysia.

Bagi Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr.Wee Ka Siong bahasa asing sebagai bahasa yang mampu menyatupadukan kaum, tentulah bahasa Cina. Orang Melayu mesti mengetahui bahasa Cina atau bahasa Tamil untuk perpaduan nasional, tidak cukup sekadar dengan mereka memahami Bahasa Melayu.

Maka itulah lagu 1Malaysia pun yang diperdengarkan oleh radio dalam semua bahasa. Program TV yang berbahasa Melayu nampaknya diambil bahagian hanya oleh hanya orang Melayu, orang bukan Melayu nampak terasing dari program yang bersifat kenegaraan dan patriotik.

Yang penting bagi negara kita ialah bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Bahasa Mandarin dan Tamil hanyalah bahasa sampingan sahaja dan bukannya bahasa perpaduan. Untuk Ka Siong merasakan bahasa Cina juga sebagai bahasa perpaduan maka ternyatalah beliau tidak menerima kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa nasional. Dalam kata-kata lain beliau mahukan dasar pelbagai bahasa.

Adalah menyedihkan kita mempunyai Timbalan Menteri Pelajaran yang masih rasis dalam pemikirannya. Contoh besar sebuah negara dan bangsa yang gagal. Kita berjaya sebagai negara yang makmur, tetapi kita menjadi bangsa yang miskin roh dan keperibadiannya.

MUNSYI ABDULLAH
malaysiaaktif.com
KOMEN

Tuesday, September 1, 2009

Tunku tidak kompromi kuasa Melayu

KOPITIAM TALK1 September 2009
SEKALIPUN Perdana Menteri Malaysia pertama terkenal sebagai seorang yang liberal dan demokratik, tetapi beliau tidak pernah bertolak ansur dalam soal taraf orang Melayu sebagai bumiputera negara ini yang mewajarkan mereka mendapat beberapa keistimewaan. Bagaimanapaun Tunku tidak pernah menampakkan pendekatan dalam melaksanakan hak ini sehingga boleh menimbulkan prasangka dan kemarahan di pihak bukan Melayu. Almarhum tidak berfahaman kebangsaan sempit atau jingoism tetapi apabila tercabar beliau akan menunjukan pegangannya yang kuat dan sanggup bertindak tegas. Ini jelas apabila Tunku menyingkirkan Singapura kerana Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew (LKY) mendakwa bahawa “tidak satu pun kaum terbesar di negara ini sama ada Cina, India dan Melayu boleh mendakwa lebih penduduk asli daripada yang lain kerana datuk nenek mereka datang ke negara ini tidaklebih daripada 1,000 tahun dahulu” Tunku menjawab bahawa asal keturunannya dari Moguls India iaitu Marong Maha Wongsa yang mengasaskan Kesultanan Kedah lebih dari 1,200 tahun yang lalu dan wujud sehingga hari ini( lihat Looking Back muka 120). Tunku mengambil keputusan untuk menyingkirkan Singapura dari Malaysia setelah persidangan Parlimen pada Mei 1965 di mana LKY membuat ucapan yang menyentuh kedudukan kuasa orang Melayu yang kata Tunku menjadi “the straw that broke the camel's back”. Tunku juga marah dengan ucapan LKY di Dewan Masyarakat Delta Singapura di mana beliau mencadangkan “rancangan alternatif iaitu dengan Singapura, Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang bersatu untuk memutuskan ke arah mewujudkan Malaysian Malaysia. Katanya “ Singapura tidak pernah bersetuju kepada pemerintahan Melayu apabila ia menyertai Malaysia, tetapi apa yang ia setuju ialah pemerintahan rakyat Malaysia (Malaysian). Seseorang mestinya telah membuat kesilapan besar dalam membuat pertimbangan jika dia memikirkan rakyat bersetuju kepada pemerintahan Melayu dalam menyertai Malaysia”. Anggapan LKY bahawa dia mewakili orang Cina dalam membuat cadangan bagi pihak empat negeri lain telah disanggah oleh Tunku dalam interviu dengan akhbar The London Times dengan menyatakan bahawa LKY bersengketa dengan Barisan Sosialis Singapura, MCA dan juga Parti Komunis Malaya yang mewakili jumlah orang Cina yang lebih besar. Saya mengemukakan fakta sejarah ini adalah untuk mengingatkan semua pihak supaya menyedari bahawa dalam merayakan 52 tahun merdeka, kita sekarang berada dalam keadaan yang menyebabkan bapa kemerdekaaan telah mencabut duri dalam daging. Kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam dan lain-lain soal sensitif yang melanggar prinsip penyelesaian kepada masalah pertikaian kaum yang disemai oleh LKY sehingga mencetuskan peristiwa 13 Mei telah menjadi perbincangan semula sehingga lembu mencabar orang beragama Hindu dan babi berselimutkan bendera UMNO mencabar orang Melayu. Professor Dzulkili Abdul Razak menulis dalam New Sunday Times 30 Ogos 2007 mengenai perayaan ke-52 merdeka bahawa peristiwa-peristiwa sejarah yang membawa kapada perayaan tahunan ini mesti dilawati semula. “``They say, history is a great teacher. But unless this is done in earnest, Merdeka tends to have a repititive dampening effect in which the context is largely lost. It will reduce to a once -time cyclical happening, devoid of any meaning.''” Sebenarnya inilah yang dirasakan oleh mereka yang telah menyaksikan sendiri pembinaan sejarah negara ini dari dari awal apabila keruntuhan fahaman terhadap keperluan menjadikan sejarah sebagai guru telah dilupai sama sekali dalam pilihan raya 2008. Jika kemerdekaan 50 tahun telah memberikan fahaman yang lebih mendalam dari racun yang disemaikan oleh LKY lebih 40 tahun dahulu, maka hal itu tidak akan berlaku. Pilihan raya 2008 menyaksikan letupan dan luahan perasaan yang terpendam sekian lama yang tidak pernah mati dan hanya menunggu ketika yang sesuai untuk meledak. Apabila Musa Hitam bekas Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa kebebasan yang diberikan oleh Abdullah Badawi tidak dapat dielakan lagi, maka beliau telah terlupa bahawa LKY dapat mengelakkannnya sekalipun Singapura telah lebih jauh daripada Malaysia melangkah ke hadapan dalam globalisasi. Singapura masih dengan demokrasi dunia ketiga walaupun berminda dunia maju, tetapi Malaysia masih berminda dunia ketiga sekalipun demokrasinya berkategori dunia termaju.MUNSYI ABDULLAHmalaysiaaktif.com